SEBUAH kereta perodua Myvi berwarna kuning berhenti di hadapan rumah. Seketika kemudian, selepas enjin kereta dimatikan, Ayra keluar dari kereta tersebut. Dengan langkah kaki yang malas, Ayra berjalan menuju ke arah pintu masuk rumahnya. Badannya terasa letih dan lesu. Dia baru sahaja pulang dari menghadiri sesi temuduga untuk bekerja dari tiga syarikat yang berlainan pada hari tersebut. Berkejaran ke sana sini membuatkan Ayra kepenatan. Di dalam fikiran wanita itu, dia ingin sahaja terus membaringkan badannya di atas tilam empuk setelah pulang ke rumah. Kini hajatnya semakin hampir apabila dia sudah pun berdiri di hadapan pintu rumahnya.
Baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, Ayra dikejutkan dengan bunyi motosikal yang masuk ke pekarangan rumah. Dia melihat ke arah Harzan yang baru sahaja memberhentikan motosikalnya dan mematikan enjin kenderaan tersebut. Tanpa membuang masa, Ayra melanjutkan pergerakan tapak kakinya menuju ke arah sofa. Fail di tangannya dicampak ke atas meja dan Ayra dengan malas menghempas tubuhnya ke sofa. Tudung yang membaluti kepalanya segera dilepaskan. Seketika kemudian, Harzan turut muncul di ruang tamu tersebut dan segera memetik suis kipas. Lelaki itu kemudian duduk di sofa dari arah bertentangan dengan Ayra. Matanya asyik menatap isterinya yang sedang memejamkan mata, menikmati hembusan angin dari kipas yang terpasang.
"Awak pun baru balik ke?" Satu pertanyaan terpacul keluar dari bibir Harzan.
"Ah.. hari ni saya pergi tiga interview.. letih betul ke sana sini.." Ayra membuka matanya yang terpejam. Bibirnya mempamerkan satu senyuman kelat.
"So, macam mana?"
"Hmm.. saya terpaksa tolak la dua tempat.. walaupun tak tahu keputusan lagi.." Wajah Ayra yang tadinya keletihan mulai berubah menjadi ceria.
"Hah, tolak? kenapa?"
"Sebab syarikat ketiga saya pergi interview tu, terus mereka beri keputusan.. saya diterima. Sebab syarikat tu perlukan pengurus pemasaran secepat mungkin untuk isi kekosongan. Dua hari lagi saya kena lapor diri.." Ayra semakin melebarkan senyuman.
"Wah..baguslah kalau macam tu.. awak dapat kerja kat syarikat mana?" Harzan semakin ingin tahu. Dia sangat teruja dan turut bergembira dengan perkhabaran daripada isterinya itu.
"Emm.. Syarikat.. Teraju Gadung.."
"Mereka buat bisnes apa?"
"Syarikat tu keluarkan pelbagai jenis makanan dan bahan masakan.. mereka ada kilang sos cili, sos tomato, kicap.. Mereka juga ada keluarkan roti, biskut, kerepek..barang-barang jenama Lestari tu, syarikat tu la yang keluarkan.." Ayra memberi penerangan ringkas.
"Oh.. jadi produk-produk jenama Lestari tu syarikat awak tu la yang keluarkan? Banyak juga produk mereka.." Harzan menunjukkan reaksi teruja.
"Hmm.. tapi itulah yang saya duk risau sekarang ni.." Ayra melepaskan satu hembusan berat dari mulutnya. Seolah dirinya sedikit mengeluh.
"Kenapa pulak?"
"Semua produk tu, nanti saya la yang kena urus.. kena fikir macam mana nak buat strategi pemasaran untuk tingkatkan jualan.. banyak produk macam tu, mahu tak sakit kepala nanti.." Ayra menyandarkan belakang badannya ke sofa. Matanya kembali dipejam. Harzan pula tersenyum. Lelaki itu bangkit perlahan-lahan dari duduknya dan berjalan menuju ke belakang sofa dimana Ayra berada. Jari-jemari kasar milik Harzan kemudian menyentuh bahu Ayra dan segera memijat isterinya itu. Ayra sedikit tersentak. Namun dia membiarkan sahaja Harzan terus menekan-nekan bahunya. Dia benar-benar menikmati urutan dari suaminya itu.
"Awak pasti boleh lakukannya.. Jangan cepat mengalah. Semakin besar jawatan yang disandang, semakin banyak tanggung jawab yang perlu dipikul.." Harzan bersuara lembut, seakan berbisik kepada isterinya. Ayra hanya diam membisu sambil menikmati pijatan Harzan di bahunya. Seketika kemudian, wanita itu mencelikkan matanya.
YOU ARE READING
Ikhlaskan Cinta
RomanceAyra Arissa yang bekerja sebagai Pembantu Peribadi kepada Rafiq dalam diam bercinta dengan bosnya itu. Pada masa yang sama, seorang pekerja am dipejabatnya iaitu Harzan turut menyimpan perasaan terhadap Ayra.