Bab 32

9 1 0
                                        

PULANG dari pejabat, Fiza segera menuju ke rumah Ayra. Dia tidak sanggup meninggalkan temannya itu sendirian berlama-lamaan. Sejak semalam, Ayra hanya menangis dan langsung tidak bercakap walaupun dengan Fiza sendiri. Temannya itu seakan mengalami kemurungan yang teruk.

Perpisahannya dengan Harzan pasti terasa lebih menyakitkan bagi Ayra berbanding perpisahannya dengan Rafiq beberapa bulan yang lalu. Dahulu, Rafiq hanyalah bergelar teman lelaki dan mereka berpisah kerana keinginan Ayra sendiri. Manakala dengan Harzan pula, lelaki itu sudah pun menjadi suaminya. Malah kali ini, Ayra pula yang dicerai dan ditinggalkan oleh suaminya itu.

Lebih teruk lagi, Ayra baru sahaja mengakui cinta yang sudah pun bertunas di dalam hatinya. Namun tanpa di sangka, Harzan pula membenci dan meninggalkannya. Kekecewaan pasti sudah membunuh jiwa Ayra. Wanita itu sudah terlihat ibarat mayat hidup yang tidak mampu berbuat apa-apa.

Setelah menghentikan kereta yang dipandunya, Fiza bergegas menuju ke pintu rumah Ayra. Anak kunci pintu masuk ke rumah Ayra dikeluarkan oleh Fiza. Dia segara membuka pintu untuk masuk menemui sahabatnya itu. Malam tadi, Fiza terpaksa mengambil kunci rumah Ayra untuk dia pulang ke rumahnya sendiri. Ayra langsung tidak memberi sebarang reaksi kepada kata-kata dan tingkah laku Fiza. Hal tersebut menyebabkan Fiza terpaksa mengambil kunci rumah Ayra dan mengunci sahabatnya itu di dalam rumah tersebut. Jika dia tidak berbuat sedemikian, Ayra pasti tidak akan menutup pintu atau mengunci pintu rumahnya sendiri.

"Ayra?" Fiza mencari keberadaan Ayra di dalam rumah. Dia segera menuju ke arah bilik tidur sahabatnya itu. Setelah masuk ke dalam bilik Ayra, Fiza kembali sayu apabila melihat keadaan wanita tersebut. Ayra masih tertiarap di katilnya. Tangisannya masih tidak terhenti sejak malam tadi. Tepatnya, sudah tiga hari Ayra menangis dan kesedihan. Namun setelah diceraikan semalam, tangisannya bertambah kencang.

Malah Fiza mula menganggap, jika Ayra masih tidak meninggalkan katilnya sejak malam tadi. Kedudukan tubuh Ayra sekarang masih terlihat sama dengan keadaan Fiza meninggalkan wanita tersebut malam tadi. Ayra tidak bergerak sama sekali. Hanya tangisannya sahaja yang kedengaran bersama linangan air mata yang masih tidak berhenti mengalir.

"Ayra.. aku ada benda nak bagitahu kau.. pasal Harzan.. tapi dengan keadaan kau macam ni, aku rasa, aku tak mampu nak sampaikan.." Fiza melabuhkan punggungnya di hujung katil sambil mengusap belakang badan Ayra. Mendengar nama Harzan disebut, Ayra menggerakkan kepalanya. Matanya memandang tepat ke arah Fiza.

"Kenapa.. dengan Harzan?" Suara Ayra kedengaran serak dan perlahan.

"Hmm.. kau makan dulu.. nanti aku bagitahu." Fiza cuba memujuk Ayra. Dia tahu Ayra sudah tidak makan sejak tiga hari yang lalu iaitu selepas pergaduhan Harzan dan Rafiq berlaku. Mendengar ucapan Fiza, Ayra hanya menggelengkan kepala. Dia masih enggan menjamah sebarang makanan. Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Ayra langsung tidak berselera untuk mendapatkan makanan.

"Jangan begitu Ayra.. kau perlu makan.. sikit pun takpe.. nanti aku bagitahu kau pasal Harzan." Fiza masih cuba memujuk temannya itu. Dia tiada cara lain. Fiza sepertinya mengerti, hanya nama Harzan sahaja yang mampu dia gunakan untuk mendapatkan perhatian daripada Ayra. Wanita yang baru menjadi janda itu kembali diam.

Fiza kemudian mengeluarkan sebuku roti dari tas tangannya. Roti tersebut dikoyakkan plastik bungkusannya dan isinya dicubit, lalu disuapkan ke mulut Ayra. Perlahan-lahan, Ayra mula mengunyah. Fiza menghela nafas lega. Akhirnya Ayra mahu juga menerima makanan walaupun hanya secebis roti.

Fiza menyuap lagi cebisan seterusnya. Kemudian Fiza mengeluarkan pula sekotak kecil air susu berperisa coklat. Penyedut minuman dicucuk pada kotak dan di hujungnya diletakkan pada mulut Ayra. Fiza mula gembira melihat perubahan Ayra yang mahu menerima makanan dan minuman. Wajah polos temannya itu terlihat seakan anak kecil yang perlu dipujuk terlebih dahulu sebelum disuap makanan. 

"Kenapa dengan Harzan?" Ayra kembali mengulangi pertanyaannya tadi. Fiza tersenyum sambil mengusap pipi gebu milik Ayra. Dia gembira apabila Ayra sudah mula berbicara kepadanya.

"Sungguh aku tak sangka, sebegitu besar cinta kau pada Harzan sebenarnya.. Kenapa selama ini kau nafi dan sembunyikan perasaan sebenar kau?" Fiza bersuara lembut sambil menatap wajah Ayra dan menyeka air mata yang masih tersisa pada kelopak mata temannya itu.

"Katakanlah Fiza.. kenapa dengan Harzan?" Ayra masih ingin tahu.

"Hmm.. sebenarnya aku tak sampai hati nak bagitahu.. tapi nak tak nak, kau mesti kena tahu.. aku ada berita sedih dan juga gembira untuk kau.." Fiza cuba melengahkan masa. Dia masih berfikir untuk menyusun kata. Fiza perlu berhati-hati dalam ucapannya agar Ayra tidak menjadi lebih terluka.

"Aku mulakan dengan berita sedih dahulu.. aku pun baru tahu hari ni.. sebenarnya.. semalam adalah hari terakhir Harzan bekerja.. dia pergi ke pejabat semalam pun untuk hantar surat resign je.." Fiza cuba mengatur ayat dengan sebaik mungkin. Namun khabar tersebut pasti sahaja membuatkan Ayra terkejut. Nafas Ayra terasa sesak. Padahal dipejabat sahaja dia dapat mengambil tahu keadaan Harzan daripada Fiza. Namun jika Harzan sudah berhenti daripada kerjanya, Ayra tidak tahu lagi bagaimana caranya untuk menemui lelaki tersebut. Malah panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas sahaja tidak dijawab oleh Harzan.

"Ta..tapi.. nanti.. bagaimana.." Ayra menjadi semakin bingung untuk mencari Harzan.

"Kau jangan bimbang.. berita gembiranya, aku dah ke HR untuk dapatkan maklumat pasal Harzan.. cuma.. masalahnya alamat rumah dia tu, dia guna alamat kat kampung.. jadi, aku rasa, nanti kita boleh cari dia kat sana.. ke mana lagi dia nak pergi kalau tak pulang ke kampung dia." Fiza ingin menghiburkan semula hati Ayra yang sedang berduka. Ayra hanya mendiamkan diri sambil termenung jauh. Sejenak kemudian, baru dia kembali membuka mulut.

"Tapi, kalau dia takde kat sana macam mana?"

"Jangan la cakap macam tu.. harap-harap la dia ada kat sana.." Fiza ingin bersikap optimis.

"Yang peliknya, dari mana Harzan dapat duit 40 ribu tu?" Ayra mula tertanya-tanya semula mengenai hal yang dia ingin tahu semalam.

"Hmm.. duit tu dia dapat daripada Dato' Mustafa Kamal.. Dato' berikan dia duit tu sebagai saguhati.. aku sendiri tengok masa dia dapat duit tu.. Hana, pembantu Dato' yang serahkan duit tu kat Harzan, depan mata aku sendiri." Fiza memberikan jawapan kepada pertanyaan Ayra.

"Oh.. tapi, kenapa dia sanggup berikan duit dia tu.." Ayra merasa bersalah.

"Sebab dia sangat sayangkan kau.. orang macam Harzan, dia tak peduli pun pasal harta tu semua.. yang penting, orang yang dia sayang dapat hidup dengan aman dan selamat."

"Kalau dia betul sayangkan aku, kenapa dia ceraikan aku? kenapa Fiza?" Ayra kembali menangis. Fiza menghembus lagi nafas yang panjang.

"Ayra.. kau sepatutnya faham.. dua hari Harzan tak pulang sebab dia kecewa apabila kau cuba melindungi dan menyebelahi Rafiq.. semalam dia kembali untuk menerima kau semula.. luka di hati dia, mungkin dia boleh buang, tapi bekasnya tetap ada..  bila dia pulang semalam, kau pula kembali bercakap di telefon dengan Rafiq di depan dia.. kau rasa, apa yang dia rasa? Waktu tu kau ibarat dah toreh-toreh semula luka di bekas parut yang belum sembuh." Fiza cuba memberi penjelasan dengan nada suara yang lembut. Dia tidak ingin menyalahkan Ayra untuk mengelakkan Ayra semakin kemurungan mengenangkan kebodohan dirinya sendiri.

"Aku..aku tak bermaksud begitu.. bila kumpulan samseng tu datang, aku cuba call Rafiq berkali-kali.. sebab dia dah janji untuk selesaikan hutang dia tu sendiri.. tapi masa aku call, dia tak jawab.. so, bila dia call aku semula, aku terpaksa jawab panggilan tu.. hutang dia, dia la yang kena bayar.. tapi lain pula jadinya.. Harzan pula yang bayarkan.." Ayra termenung sambil dihurung rasa kesal.

"Sudahlah Ayra.. yang dah lepas, biar je lepas.." Fiza melurutkan tapak tangannya ke belakang badan Ayra.

"Fiza.. aku kena cari Harzan.. aku.. aku tak boleh hidup tanpa dia.. aku betul-betul rindukan dia.." Ayra menangis tersedu sedan. Fiza tersenyum sambil mengangguk perlahan. Tangannya tidak berhenti mengusap belakang badan temannya itu.

Ikhlaskan CintaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang