"Assalamualaikum.." Harzan melontarkan salam kesejahteraan sambil membuka pintu rumah. Lelaki itu perlahan-lahan menapakkan langkah kakinya ke dalam rumah. Di kedua belah tangannya terdapat beberapa beg plastik yang terisi dengan pelbagai jenis barang keperluan dapur.
"Waalaikumussalam.." Ayra yang berada di ruang tamu menjawab salam suci dari suaminya sambil matanya menatap skrin komputer riba. Pandangannya kemudian beralih kepada Harzan yang baru masuk ke dalam rumah dan sedang menutup pintu. Ayra sedikit tersentak dan matanya terbeliak apabila melihat barangan yang dibawa pulang oleh suaminya.
"Awak beli ke semua barang tu?" Ayra langsung menyapa. Dia seakan tidak percaya suaminya itu membeli begitu banyak barang. Sekilas pandang, Ayra sudah dapat mengagak, semua barangan yang dibawa oleh suaminya itu adalah barangan dapur dan bahan makanan.
"Ye la.. takkan la curi pulak." Harzan menjawab dengan santai sambil tersengih. Mendengarkan jawapan yang berseloroh dari suaminya itu, Ayra segera melepaskan hembusan nafas yang kasar.
"Tahu la awak tak curi.. tapi kenapa beli banyak sangat? Siapa nak makan semua tu? Nanti rosak.. membazir je.." Ayra menggerutu dengan sikap Harzan yang dirasakan agak boros walaupun bergaji kecil.
"La.. membazir apanya.. ni boleh buat stok sebulan makan kat rumah ni. Kalau tak cukup, nanti saya belikan lagi.." Harzan sedikit terhuyung hayang semasa berjalan kerana membawa beberapa beg plastik yang berat di kedua belah tangannya. Harzan terus tersenyum sambil berjalan menuju ke arah dapur. Ayra pula menatap tajam ke arah Harzan dari arah belakang lelaki yang sedang membimbit beban di tangan.
"Tak cukup apanya.. itu dah lebih dari cukup.. jangankan sebulan, dua bulan pun tak habis makan.. awak jangan la duk membazir sangat.. berjimat cermat sikit.. gaji awak pun bukannya besar sangat." Ayra jujur meluahkan rasa yang terbuku dihatinya. Dia bukan ingin merendahkan Harzan yang berpendapatan rendah, namun dia ingin suaminya itu lebih berjimat cermat dalam berbelanja. Harzan yang sudah meletakkan semua barangan yang dibawanya tadi ke dapur, segera berjalan kembali ke ruang tamu. Bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman. Sampai saja di ruang tamu, Harzan segera melabuhkan punggungnya di sofa, berhadapan dengan Ayra.
"Tak payah risau la.. pandai la saya uruskan kewangan saya. Lagipun dah jadi tanggung jawab saya untuk sediakan nafkah kat keluarga kita."
"Ye.. tahu.. tapi masalahnya, kat rumah ni hanya ada awak dan saya je.. barang yang awak beli tu, dah macam untuk makan lima orang tau? Tu tak kira kalau kita makan kat luar lagi.." Ayra masih cuba untuk menasihati suaminya itu.
"Makan kat luar? Hmm.. Sejak kahwin, kita tak pernah lagi keluar makan berdua kan? Apa kata esok kita makan malam kat luar?" Harzan segera memberikan cadangan. Kata-kata Ayra sebentar tadi telah memberi idea kepada lelaki itu untuk mencari jalan agar lebih merapatkan hubungan diantara mereka berdua. Walaupun sudah tinggal bersama, namun Harzan masih tidak merasai perasaan cinta dari Ayra terhadap dirinya. Dia akan terus berusaha untuk memenangi hati isterinya itu. Walaupun Ayra tidak pernah melawan atau meninggikan suara, namun wanita itu sering melayan Harzan dengan acuh tak acuh sahaja.
Setelah mendengar ajakan Harzan untuk mereka keluar makan bersama, Ayra segera membatukan diri. Matanya kembali terarah kepada paparan layar komputer riba dihadapannya. Ayra sama sekali tidak ingin menjawab. Dihatinya, Ayra sebenarnya menjadi serba salah. Dia ingin menolak ajak tersebut, namun tidak sanggup untuk dinyatakan. Dia juga ingin menerima, namun segan untuk mengiyakannya. Maka Ayra lebih memilih untuk mendiamkan diri.
"Emm.. Apa kata kita pergi honeymoon?" Harzan memandang ke arah Ayra dengan mata yang bersinar, penuh pengharapan. Dia sebenarnya tidak tahu untuk memilih topik yang harus dibicarakan. Harzan hanya tidak ingin merasa kekok dengan suasana sepi apabila Ayra tidak menjawab pertanyaannya tadi. Entah kenapa, terpacul pula dari mulutnya untuk mengajak isterinya itu berbulan madu. Ayra pula tiba-tiba terbeliak kedua biji matanya apabila mendengar ucapan Harzan.
![](https://img.wattpad.com/cover/368088914-288-k467691.jpg)
YOU ARE READING
Ikhlaskan Cinta
RomanceAyra Arissa yang bekerja sebagai Pembantu Peribadi kepada Rafiq dalam diam bercinta dengan bosnya itu. Pada masa yang sama, seorang pekerja am dipejabatnya iaitu Harzan turut menyimpan perasaan terhadap Ayra.