"Harzan.. boleh tolong Kak Yan tak? Tolong fotostat semua dokumen ni.. buat 25 set salinan.." Azian memanggil Harzan yang sedang duduk di mejanya. Mendengar namanya dipanggil, Harzan segera berdiri dan menuju ke arah Azian. Setelah lelaki itu mendekati Azian, fail di tangan Azian bertukar tangan. Harzan yang mengambil fail dari Azian segera membuka dan membelek helaian kertas yang menjadi isinya.
"Ini projek kat Tanjung Pinang? Nak bina hotel kat sana?" Harzan fokus membaca isi dokumen yang harus dia membuat salinan itu.
"Ah.. kau kena sediakan secepat mungkin Zan.. pagi ni ada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.. kita nak usulkan projek ni dalam mesyuarat tu nanti." Azian memberi penjelasan.
"Hmm.. " Harzan masih fokus membaca isi dokumen tersebut. Azian yang sedang membelek beberapa helaian kertas di atas mejanya pula berhenti seketika. Dia menatap wajah Harzan yang sedang serius membaca isi fail.
"Kau tunggu apa lagi Zan? Pergi la fotostat cepat.. kemain duk baca fail tu, macam la kau faham.. Nah, ambil air nesface ni. Minum dulu. Bagi cergas sikit otak tu berfikir." Azian tersenyum sambil menghulurkan satu tin minuman kepada Harzan.
"Beberapa minggu lalu, saya ada pergi kat Tanjung Pinang tu Kak Yan.." Harzan meletakkan fail yang berada di tangannya ke atas meja Azian. Tangannya kemudian mencapai air tin yang diberikan oleh Azian kepadanya. Penutup air minuman itu segera dibuka oleh Harzan. Tanpa membuang masa, lelaki itu segera meneguk air nescafe pemberian Azian.
"Dah tu.. apa kaitan kau pergi sana dengan projek ni?" Azian penasaran. Dia ingin tahu apa yang sedang difikirkan oleh Harzan. Riak wajah lelaki muda itu terlihat serius dan jelas mempamerkan minat terhadap projek yang sedang dibincangkan.
"Kalau tengok dari planning kat proposal ni, saya rasa macam agak membazir la.." Harzan mula menyampaikan pendapatnya.
"Membazir apa pulak? Sebut harga yang ada pun memang dah ikut harga pasaran semasa.. Harga tanah tu memang dah dinilai ikut harga pasaran.. takde la membazir.. lagipun kawasan tu pun strategik."
"Memang la harga tu dah ikut harga pasaran semasa Kak Yan.. tapi saya rasa macam ada sedikit pembaziran.. syarikat sepatutnya boleh berjimat lagi kalau pilih opsyen lain." Harzan berkata-kata seolah sudah mahir dengan urusan syarikat. Selama ini, Harzan memang sering membaca dan belajar mengenai selok belok perniagaan yang dilakukan oleh syarikatnya bekerja. Walaupun awalnya dia langsung tidak mengerti, namun kerana minat dan tekadnya, Harzan sepertinya sudah memahami segalanya. Kata-kata yang dituturkan oleh Harzan sebagai seorang pekerja am menarik minat Azian. Dari lagak Harzan, dia sedang berbicara seolah dirinya seorang pengurus.
"Maksud kau macam mana Zan?"
"Hmm.. Masa saya pergi sana beberapa minggu yang lalu, saya ada perasan satu tapak projek terbengkalai.. saya dah tengok bangunan yang dah dibina kat situ.. masih elok dan kukuh.. baru berapa tahun lepas je projek tu dibuat.. tapi terpaksa dihentikan sebab pemaju ada masalah kewangan.. terlalu banyak buat projek mereka tapi tak laku.. loan bank pun tak boleh nak bayar.. bila saya selidik, tanah kawasan tu akan dilelong, beserta dengan bangunan tu sekali.. harga murah, di bawah harga pasaran. So, bagi saya, kalau syarikat kita ambil tanah tu dan bangunkan kembali projek yang terbengkalai tu, rasanya jauh lebih jimat dari projek kat proposal ni. Lagipun jarak tapak projek tu dengan tapak cadangan ni, dalam tiga kilometer je lebih kurang.." Panjang lebar Harzan memberi pendapat.
"Dah ada bangunan sekali? Hmm.." Azian turut berminat setelah mendengar penjelasan Harzan.
"Ye Kak Yan.. saya dah tengok sendiri.. struktur bangunan tu masih elok dan kukuh.. tak perlu roboh dan bina semula.. kita sambung je binaan bangunan tu bagi siap dengan sempurna.. kalau syarikat ada modal, boleh bina bangunan yang lebih besar." Harzan bersemangat sekali berucap. Dia kemudian meneguk lagi air tin yang berada dipegangan tangannya. Setelah selesai meneguk air, Harzan melanjutkan kata-katanya lagi.
ANDA SEDANG MEMBACA
Ikhlaskan Cinta
RomanceAyra Arissa yang bekerja sebagai Pembantu Peribadi kepada Rafiq dalam diam bercinta dengan bosnya itu. Pada masa yang sama, seorang pekerja am dipejabatnya iaitu Harzan turut menyimpan perasaan terhadap Ayra.
