Bab 36

8 0 0
                                    

AYRA merasa bahagia apabila kehadirannya telah diterima oleh seluruh ahli keluarga Harzan. Malah yang lebih membahagiakan hatinya, dia sudah bersama semula dengan suaminya itu. Ayra hanya kesal dan menyalahkan dirinya kerana terlalu lambat untuk menerima Harzan di dalam hatinya. Kini baru dia sedar, betapa besar kasih Harzan terhadap dirinya. Ayra dilayan bagaikan seorang puteri raja oleh suaminya itu. Malah keluarga mentuanya juga sangat menghargai kehadirannya. Ayra yang sudah lama kehilangan kasih sayang orang tuanya kini mula mendapat kembali anugerah tersebut dari keluarga suaminya.

Petang itu, cuaca terlihat cerah. Harzan ingin keluar dan mengambil angin di sekitar kampung. Sedang lelaki itu melangkah keluar dari muka pintu, Ayra segera menyapa.

"Awak nak pergi mana?"

"Nak ronda-ronda kampung sekejap.. sambil tu nak singgah kat kebun, tengok abah." Harzan menjawab.

"Nak ikut.."

"Hmm.. jom la.." Harzan tidak keberatan untuk bersama isterinya itu. Ayra pula dengan laju menuju ke arah suaminya. Harzan kemudian menghidupakn enjin sebuah motosikal kapcai, honda C50 yang agak usang. Ayra yang melihat mula tercengang.

"Nak naik motor ni ke?" Ayra mengerutkan dahi.

"Dah tu nak naik apa? takkan awak nak jalan kaki?" Harzan lantas menjawab.

"Emm.." Ayra menggarukan kepala.

"Nak ikut ke tak?"

"Eh, nak la.." Ayra segera duduk di belakang Harzan sebagai pembonceng.

"Jangan tengok rupa.. motor ni nampak je buruk, tapi enjin masih power.." Harzan tertawa. Lelaki itu kemudian memulas minyak sehingga motor berderu kuat beberapa kali. Sejenak itu, Harzan mula meluncurkan motor dengan tiba-tiba sehingga Ayra terkejut dan hampir jatuh terlentang ke belakang. Mujur sahaja wanita itu sempat merangkul pinggang suaminya dan mengelakkan dirinya daripada jatuh.

"Harzan!!!" Ayra menjerit ketakutan. Harzan pula menghamburkan tawa kerana berjaya menakutkan isterinya. Di dalam rumah, Maryani melihat gelagat pasangan suami isteri itu sambil menggelengkan kepala. Di hatinya, dia bersyukur kerana anak lelakinya itu sudah kembali ceria. Dia tahu, selama ini anaknya itu seorang yang tabah hati. Namun beberapa hari lalu, Maryani menjadi gusar apabila melihat Harzan banyak termenung dan menangis kekecewaan. Dia tidak mampu membayangkan kesengsaraan yang dihadapi oleh Harzan sehingga mampu mengubah penampilan dan keperibadian anaknya itu. Kini, dengan kemunculan Ayra, anak sulungnya itu kembali ceria dan bersemangat. Maka tahulah Maryani, Ayra itulah racun dan penawar buat Harzan.

Maryani turut terkenangkan peristiwa malam tadi. Di saat Ayra bercerita mengenai dirinya yang sudah tidak mempunyai ibu bapa dan saudara, Maryani benar-benar tersentuh. Dia berjanji untuk mengembalikan kasih seorang ibu kepada menantunya itu. Dia tidak ingin Ayra merasa kesunyian lagi. Maryani tahu, Ayra sangat mendambakan kasih sayang dari keluarga sejak sekian lama. Maka sebagai keluarga baru kepada Ayra, dia berazam untuk membahagiakan menantunya itu.

Sementara itu, Harzan yang menunggang sambil membonceng isterinya menghentikan motosikal. Jarak destinasinya tidaklah terlalu jauh dari rumahnya. Kini, mereka sudah tiba di kebun milik keluarga Harzan. Ayra yang melihat suasana sekeliling mula terpukau. Mulutnya terlopong melihat sayur-sayuran yang menghijau, saujana mata memandang.

"Besarnya.. semua ni milik keluarga awak? seluas mana?" Ayra bertanya.

"Emm.. lebih kurang dalam dua belas ekar je.." Harzan menjawab dengan selamba.

"Dua..dua belas ekar? Ini bukan kebun.. Ini dah ladang namanya.." Ayra terkejut besar. Perkiraannya awalnya mengenai kebun sayur tersebut jauh meleset. Malah teknik penanam di sana bukanlah dilakukan secara konvensional melainkan menggunakan teknik fertigasi yang memerlukan modal yang besar, namun mudah penyelenggaraannya. Ayra terpaku melihat pokok cili yang bergantungan dan di tanam di dalam polybag. Ayra benar-benar terpempan sehingga tidak mampu berkata-kata. Dengan ladang cili seluas itu, Ayra menjangkakan, keuntungan keluarga Harzan mampu mencapai ratusan ribu ringgit bagi setiap musim penanaman. Ayra menelan liur. Dia langsung tidak menjangkakan keluarga suaminya itu memiliki pendapatan sebanyak itu.

Ikhlaskan CintaWhere stories live. Discover now