SEBULAN berlalu. Setelah pulang dari kerja, Ayra merehatkan diri seketika dengan membaringkan badannya di katil. Walaupun sudah biasa dengan rutin tugasnya di pejabat, namun beban yang begitu banyak berselirat di benaknya membuatkan Ayra tetap keletihan. Tanggung jawab yang digalas di syarikat baru itu benar-benar mencabar kemampuannya. Namun Ayra tetap bersyukur kerana selama sebulan ini, dia berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik. Tidak lama terbaring menghilangkan lelah, tiba-tiba telefonnya berbunyi. Satu pesanan ringkas diterimanya. Tanpa menunggu, Ayra langsung mencapai telefon bimbitnya untuk membaca pesanan yang masuk.
"Ah, Fiza.. ada apa pulak minah ni?" Ayra tersenyum apabila membaca nama Fiza terpampang di skrin telefon pintar miliknya. Mesej dari sahabatnya itu segera dibaca.
Salam.. dah lama kita tak keluar. Esok hari minggu. Jom berjimba malam ni. - Fiza
OK. lepas maghrib kita keluar. tapi sebelum pergi mana-mana, kita makan dulu. aku tak makan lagi ni. - Ayra
Suami kau macam mana? korang tak makan bersama ke? - Fiza
Pandai la dia cari makan sendiri. -Ayra
Hmm.. so, nak makan kat mana? - Fiza
Mana-mana je la. Lepas maghrib terus gerak. - Ayra
Cakap je la kedai mana, senang aku nak pergi nanti. -Fiza.
"Hmm.. nak makan kat mana ye?" Ayra bercakap sendirian. Dia terdiam sejenak sebelum membalas mesej dari Fiza. Otaknya dikerahkan untuk mencari tempat yang sesuai dengan seleranya. Beberapa minit berfikir, Ayra kemudian menggerakkan jari-jemarinya untuk menaip mesej pesanan kepada sahabatnya.
Kedai Tomyam Chiang Mai. Makan benda masam pun best jugak - Ayra
OK. Restoran Chiang Mai. Lepas maghrib terus gerak ye. - Fiza
OK. jangan lambat tau. aku lapar dah ni. - Ayra
Hek eleh.. selalunya kau je yang datang lambat. - Fiza
Setelah membaca mesej dari Fiza, Ayra terus ketawa terkekek-kekek. Ada benarnya kata Fiza. Setiap kali berjanji untuk bertemu, Fiza yang sentiasa menunggu Ayra yang tiba lebih lambat. Ayra tersenyum sendirian apabila mengingatkan peristiwa Fiza yang sering mengomel kerana terpaksa menunggu Ayra setiap kali mereka ingin berjumpa. Seketika kemudian, Ayra bangkit dari katil dan segera melepaskan pakaiannya. Dia mencapai tuala dan segera menuju ke bilik air untuk mandi. Kini Ayra sudah tidak mengunci pintu biliknya seperti dahulu jika ingin mandi. Mungkin dia sudah terbiasa dengan Harzan yang telah beberapa kali melihat tubuh badannya, maka bagi Ayra, tiada keperluan lagi untuk dia mengunci pintu bilik di saat ingin mandi. Malah ketika itu, Harzan juga masih belum pulang ke rumah.
Matahari mulai masuk ke peraduannya. Perlahan-lahan terggelam di ufuk barat, sesuai perintah Tuhannya. Langit senja yang kemerahan berkarat, seolah alam sedang sakit dan seakan menemani Ayra yang sedang menahan sakit hatinya. Perempuan itu gelisah bercampur amarah. Dia mundar mandir di dalam rumah. Sesekali, kepalanya dijenguk ke luar tingkap. Di saat seperti itu, Harzan masih juga belum pulang ke rumah. Di fikiran Ayra, bermacam-macam andaian mula timbul. Padahal suaminya itu tidak pernah berkelakuan seperti itu. Biasanya, setelah habis waktu kerja, Harzan pasti akan segera pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, laungan azan maghrib berkumandang. Ayra semakin resah. Dia bimbang jika sesuatu yang buruk telah menimpa suaminya.
"Ish, manalah dia ni.. buat orang risau pulak. Takkan la budak pejabat macam dia buat OT pulak.. masa ni tak balik lagi.. sepatah pun tak bagitau.. Jangan-jangan accident? Hishh.. minta jauh la.." Ayra menggerutu. Sejenak kemudian, dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja. Dia mula berhajat untuk menelefon suaminya yang masih belum kunjung tiba itu. Namun Ayra kemudian tersentak. Matanya melihat terdapat satu mesej pesanan dari Harzan di telefonnya. Pesanan tersebut segera dibuka dan di baca.

YOU ARE READING
Ikhlaskan Cinta
RomantikAyra Arissa yang bekerja sebagai Pembantu Peribadi kepada Rafiq dalam diam bercinta dengan bosnya itu. Pada masa yang sama, seorang pekerja am dipejabatnya iaitu Harzan turut menyimpan perasaan terhadap Ayra.