HARZAN tersedar dari tidur setelah suara azan subuh memecah keheningan pagi. Dia tersentak apabila menyedari Ayra sedang tidur di sampingnya. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang sedang dilihat oleh matanya. Harzan merenung lama wajah Ayra yang masih lena di ulit mimpi. Berkali-kali lelaki itu cuba meyakini hal yang telah terjadi. Entah apa yang merasuk Ayra untuk datang mendampinginya. Malah Harzan sama sekali tidak sedar sejak bila isterinya itu masuk ke bilik.
‘Takkan dia rindukan aku kot?’ Harzan bermonolog. Seketika kemudian, dia baru menyedari ada tuala kecil di sampingnya dan sebekas air di sisi katil. Harzan segera memahami situasi tersebut. Dia yakin Ayra risau akan keadaannya yang demam malam tadi. Harzan kemudian menyentuh dahinya sendiri. Rasa panas sudah menghilang. Tubuhnya juga dirasakan sudah pulih walaupun masih tidak sihat sepenuhnya.
Tidak ingin mengganggu tidur Ayra, Harzan perlahan-lahan bergerak dan turun dari katil. Dia segera menuju ke bilik air untuk membersihkan badan. Lelaki itu tahu isterinya kepenatan. Di sebabkan itu, dia tidak ingin membangunkan lagi Ayra. Dibiarkan wanita itu meneruskan tidurnya buat beberapa puluh minit lagi.
Selesai mandi, Harzan kembali ke bilik. Sosok Ayra sudah tidak kelihatan di tempat tidur. Harzan tersenyum sendiri. Mungkin Ayra sudah tersedar sewaktu dia sedang mandi dan kembali ke bilik tidurnya. Tanpa berlengah, Harzan segera mengenakan pakaian dan membentangkan tikar sejadah.
Di pejabat, suasana agak sibuk. Harzan yang baru selesai melakukan fotoskopi salinan dokumen menuju ke arah Azian. Walaupun sudah menguruskan projek secara kontrak, namun Harzan masih tetap melaksanakan tugasnya sebagai pembantu am di pejabat.
“Kak Yan, ini dokumen yang Kak Yan minta tu..” Harzan menyerahkan salinan dokumen kepada Azyan.
“Kenapa muka kau nampak lain je? Berseri semacam je Kak Yan tengok kau Zan..” Azian menegur Harzan yang dia rasakan berbeza. Lelaki itu tidak lekang dengan senyuman sejak datang ke pejabat.
“Berseri celah mana pulak Kak Yan.. Demam ada la.. semalam panas sampai berpeluh satu badan.. Lepas makan ubat, rasa OK sikit pagi ni..” Harzan cuba menafikan. Namun senyumannya semakin melebar.
“Dah tu, yang kau tersenyum tu kenapa?”
“Aik, senyum pun tak boleh ke?” Harzan ingin bergurau dengan mengusik Azian.
“Bukan tak boleh senyum.. tapi mesti ada sebabnya.. sebab tu Kak Yan tanya, kenapa.. orang gila je senyum kalau takde apa-apa.” Azian membalas.
“Hahaha.. entahlah Kak Yan.. mungkin saya dah gila agaknya.. gila bayang.” Harzan melepaskan tawa.
“Hmm.. macam mana kau dengan Ayra? Kak Yan pun lupa nak tanya, apa khabar Ayra sekarang?”
“Dia sihat je Kak Yan.. cuma.. kelmarin baru pergi klinik, jumpa doktor.” Harzan tersengih seperti kerang busuk.
“Hah? Kenapa dengan dia?” Azian terperanjat.
“Takde apa-apa.. Ayra dah mengandung sekarang.” Harzan masih meneruskan senyum. Hatinya mekar berbunga-bunga. Ikutkan hati, dia ingin saja membertiahu semua orang dan seluruh isi dunia, jika dirinya bakal menjadi seorang bapa.
“Alhamdulillah.. tahniah Zan.. “ Azyan turut merasa gembira.Sedang mereka berbicara, pandangan Harzan teralih kepada Fiza yang melintas di sebelahnya. Wanita yang menjadi sahabat baik isterinya. Suara batuk dari Fiza menarik perhatian Harzan. Wanita itu juga terlihat agak tidak bermaya.
“Fiza kenapa? demam ke?” Harzan menyapa. Mendengarkan namanya disebut, Fiza menghentikan langkah kakinya dan menatap Harzan.
“Ah, ada demam sikit.. tapi masih OK. takdelah teruk sangat.. cuma batuk je la.” Fiza segera menjawab.
“Musim demam kot sekarang ni.. saya pun demam juga semalam.. malam tadi makan panadol, tidur awal.. bangun pagi ni rasa lega dah..” Harzan turut berkongsi rasa.
“Ah, saya pun semalam dah tidur awal.. dah makan ubat demam, ubat batuk.. terus tidur.. sedar-sedar dah subuh.” Fiza berkata sambil melepaskan batukan.
“Hmm.. dah tak sihat, jangan la duk keluar malam.. malam tadi balik pukul berapa?” Harzan bertanya.
“Malam tadi mana ada saya keluar pergi mana-mana.. memang tak larat.. duk kat rumah je.. lepas isyak, makan ubat, terus tidur..” Fiza menjawab.
“Tak keluar? Hmm.. baguslah kalau macam tu.. dah tak sihat, banyakkan berehat.” Harzan terperanjat dengan jawapan Fiza. Namun dia tetap mengawal emosinya agar tidak disedari oleh sahabat isterinya itu. Kini Harzan mula curiga. Jika Fiza tidak keluar pada malam tadi, maka Ayra keluar bersama siapa? Kenapa Ayra harus menipu dirinya?
“Kenapa Harzan?” Fiza menjadi pelik apabila melihat Harzan diam sambil termenung.
“Takde apa-apa.. saya duk fikirkan projek yang kena urus tu.. baru teringat, sepatutnya tengah hari ni saya kena ada kat sana..” Harzan cuba berdalih. Dia tidak ingin Fiza tahu mengenai kebohongan Ayra kepadanya.
“Ayra macam mana?” Fiza mengubah topik perbualan mereka.
‘Ah, Ayra macam tu la.. kan awak dah jumpa dia kelmarin.. semalam dia pun kat rumah je.. sibuk uruskan kerja dia.” Harzan berbohong untuk mengelakkan Fiza curiga. Dia yakin jika perbuatan Ayra ketahuan, Fiza pasti membela sahabatnya itu. Kini, setidaknya Harzan tahu, Ayra sudah berbohong kepadanya.
“Harzan, tolong jaga Ayra baik-baik.. saya tahu awak mampu jaga dan bimbing dia. Ayra tu perempuan yang baik. Dia cuma perlukan perhatian dan kasih sayang..” Fiza ikhlas menaruh harapan kepada Harzan. Mendengar ucapan Fiza, Harzan hanya mengangguk perlahan.
"Jangan hangguk je.. awak kena pastikan awak buat betul-betul.. Jaga Ayra sepenuh hati awak. Ayra tu sejak sekolah lagi dah kehilangan orang tua. Dia dah la anak tunggal. Takde dah adik beradik untuk dia melepaskan rindu.. dia betul-betul inginkan perhatian. Nak rasa di sayangi dan menyayangi.. dia dah lama kehausan kasih sayang.. tolong jangan sampai dia terjebak dengan orang yang salah. Sekarang awak dah jadi suami dia.. awak ada hak ke atas dia. Pastikan awak tunaikan tanggung jawab sebagai seorang suami dan berikan kasih sayang awak kepada dia." Fiza memberi syarahan pagi kepada Harzan. Sebagai seorang sahabat, dia sangat mengenali Ayra. Selama ini, Fiza yang menjadi tempat Ayra meluah perasaan. Selain Fiza, Ayra tiada lagi teman yang menjadi tempat untuk berkongsi segala suka dan duka.
“Ya lah.. saya akan cuba buat yang terbaik untuk bahagiakan dia.. hmm.. takpe la Fiza.. saya nak kena bertolak ke tapak projek dulu..” Harzan segera meminta diri dan melangkah pergi. Fiza hanya mengangguk setelah mendengar kata-kata Harzan. Azian pula diam memerhati.
Harzan kembali ke meja pejabat yang tesedia untuknya. Fikirannya jauh menerawang. Lelaki itu benar-benar terganggu mindanya setelah mengetahui pembohongan Ayra. Otaknya masih berteka-teki, dengan siapa Ayra keluar malam tadi. Malah mengapa isterinya itu mahu menipu dan berselindung daripadanya. Ayra juga enggan menjawab kemana akan pergi malam tadi. Fikiran Harzan semakin berserabut.
'Fiza kata, jangan sampai Ayra terjebak dengan orang yang salah? maksudnya?.. Apakah ada lelaki lain yang sedang berhubungan dengan Ayra sekarang? Mungkinkah.. Rafiq?' Harzan bermonolog. Mindanya tidak berhenti diperah untuk terus berfikir.
'Takkan aku nak tanya Fiza pula.. dia pasti takkan bagitau apa-apa kalau betul Ayra ada berhubung dengan lelaki lain.' Harzan memicit dahinya yang terasa semakin berdenyut. Beberapa detik kemudian, lelaki itu menghembuskan keluhan pendek. Harzan menepuk meja menggunakan dua telapak tangannya dan seraya itu juga dia bangkit berdiri. Dia tidak ingin terus memikirkan masalah peribadi ketika berada di pejabat. Waktu bekerja haruslah tetap fokus kepada kerja. Harzan melihat jam di tangannya. Tanpa terus membuang masa, Harzan segera keluar dari pejabat. Dia harus segera pergi ke tapak projek yang dikendalikannya.
YOU ARE READING
Ikhlaskan Cinta
RomanceAyra Arissa yang bekerja sebagai Pembantu Peribadi kepada Rafiq dalam diam bercinta dengan bosnya itu. Pada masa yang sama, seorang pekerja am dipejabatnya iaitu Harzan turut menyimpan perasaan terhadap Ayra.