Bab 8

5 0 0
                                    

Sebuah kereta meluncur laju membelah angin malam. Jalan raya yang dihiasi cahaya lampu yang terang benderang di kawasan kota itu agak lengang dari kenderaan. Kereta yang dipandu laju itu kemudian mula memperlahankan kelajuannya sebelum membelok masuk ke pekarangan sebuah hotel. Walaupun tidak terlalu mewah, namun hotel tersebut mempunyai kawasan parkir yang agak luas. Kereta itu kemudian masuk ke salah satu petak parkir dan berhenti disitu. Seketika selepas enjin dimatikan, dua orang wanita keluar dari kenderaan tersebut. Mereka adalah Fiza dan Ayra. Kedua orang wanita itu kemudian langsung berjalan menuju ke arah pintu hotel dan memasuki kawasan lobi.

"Kau ni takde orang lain ke nak ajak.. setiap kali nak jumpa orang, aku je yang kena temankan kau.." Ayra terlihat sedikit merungut sambil berjalan beriringan dengan Fiza.

"Dah kau je kawan yang aku ada.. temankan la aku kejap.. lagipun aku bukan ajak kau jumpa lelaki. Mak saudara aku tu perempuan." Fiza tersenyum sambil memberi penjelasan.

"Baru berapa hari lepas kau ajak aku temankan kau jumpa abang sepupu kau.. kali ni mak saudara pulak.. habis anak beranak kau bawa aku jumpa." Ayra tersenyum sinis. Dia sebenarnya tidak keberatan untuk menemani Fiza. Dia hanya sengaja ingin berseloroh kepada temannya itu. Lagi pula, mereka pada awalnya berjanji untuk keluar bersama pada malam tersebut. Namun perancangan mereka sedikit tergendala apabila dimaklumkan bahawa ibu saudara kepada Fiza mendatangi kota dimana mereka tinggal dan ingin bertemu dengan temannya itu. Kini Ayra terpaksa menemai Fiza terlebih dahulu untuk menemui ibu saudaranya sebelum melaksanakan aktiviti mereka yang sudah dirancang terlebih awal. Selesai pertemuan di hotel itu, nanti mereka akan meneruskan perancangan mereka.

"Alah.. bukan selalu.. elok juga kau kenal anak beranak aku.. mana la tahu nanti kau sangkut kat siapa-siapa dari ahli keluarga aku, boleh juga kita jadi saudara.." Fiza tertawa dengan usikannya terhadap Ayra.

"Ishh.. tak ingin aku.. aku pun tak lama dah nak kahwin dengan Rafiq tu nanti." Ayra menyampaikan perkhabaran kepada Fiza. Temannya itu segera menghentikan langkah kakinya dan menatap wajah Ayra dengan mata yang terbeliak luas.

"What? So, korang dah bincang pasal perkahwinan? Bila nak buat?" Fiza tiba-tiba menjadi teruja mendengar ucapan Ayra sebentar tadi.

"Hmm.. tak tahu lagi bila.. Rafiq tak beri kata putus lagi tarikh yang tepat.. cuma dia kata tunggu selesai semua projek dulu.. mungkin dalam beberapa bulan je lagi.. paling lambat pun tahun depan." Ayra merasa sedikit bangga. Tidak lama lagi dia akan sah menjadi isteri kepada Rafiq dan mereka tidak akan menyembunyikan lagi perhubungan mereka dari pengetahuan orang ramai. Ayra yakin pasti ramai perempuan yang tergilakan Rafiq akan cemburu terhadap dirinya. Dia akan mengecewakan semua perempuan yang menyimpan harapan untuk memiliki Rafiq.

"Laa.. aku ingatkan dah tetapkan tarikh bila.."

"Setidaknya dia dah beri kepastian.. dah ada keputusan untuk mengakhiri hubungan yang sulit sekarang ni.. Aku sendiri dah tak sabar nak tunggu bila dia akan melamar aku jadi isteri." Ayra menyatakan perasaan hatinya yang sedang mekar berbunga dikala ini.

"Apa pun, tahniah.. aku pun tak sabar nak tengok kau menjadi suri hati Encik Rafiq yang sah.. Korang memang dah sepadan pun.. kau cantik.. dia pun hensem.. macam pinang dibelah dua dah." Fiza memberikan sokongannya kepada Ayra. Mereka kemudian meneruskan langkah kaki dan menuju ke arah lif hotel. Setelah pintu lif terbuka, mereka bersama-sama melangkah masuk ke dalam lif dan Fiza segera menekan tombol untuk menuju ke tingkat lima.

"Kenapa la mak saudara kau tu nak jumpa sangat kau ni? ada apa-apa ke?" Ayra mengajukan soalan sementara mereka berdua di dalam lif.

"Mana la aku tau.. saja dia la tu nak jumpa.. dia datang jalan-jalan kat sini.. tahu aku ada kat sini, tu yang dia nak ajak jumpa.. saja nak tanya khabar je la tu.. tapi kalau nak bagi geran tanah pun elok juga." Fiza yang suka berjenaka sentiasa mengucapkan kata-kata yang menghiburkan hati. Selepas mengungkapkan kata-kata yang dianggap lucu, Fiza dan Ayra mula ketawa bersama. Seiring itu juga pintu lif terbuka dan mereka sudah tiba di tingkat lima. Mereka kemudian melangkah keluar dari pintu lif dan memandang ke sekeliling.

Ikhlaskan CintaWhere stories live. Discover now