PAGI minggu yang tenang. Matahari terbit sudah segalah tingginya. Harzan yang selesai memakan roti sebagai sarapannya tidak berlengah untuk menunaikan solat sunat duha dua rakaat, sebagai tanda syukur seorang hamba kepada Tuhannya. Ketika itu, Ayra pula baru mencelikkan mata dari peraduannya. Walaupun sudah mendapat tidur yang cukup, namun kelopak mata Ayra masih dirasakan berat. Wanita itu langsung menggenyeh matanya beberapa kali untuk membuang rasa berat tersebut.
Seketika kemudian, Ayra membangkitkan badannya dari pembaringan. Kakinya masih terlunjur lurus di atas katil. Kepalanya dirasakan berat dan sedikit pening. Tidak menunggu lama, Ayra menjatuhkan kedua belah kakinya dari katil dan mula menginjak lantai. Perlahan-lahan punggungnya diangkat dari tilam empuk yang menjadi alas badannya untuk tidur. Langkahnya sedikit terhuyung-hayang ketika berjalan menuju ke tandas.
Setelah selesai menunaikan hajatnya ditandas dan mencuci muka, Ayra mula merasai sedikit kesegaran. Dia kemudiannya langsung keluar dari bilik dan menuju ke dapur. Sampai di ruang dapur, Ayra segera mengambil air susu di dalam peti sejuk dan melabuhkan punggungnya di kerusi pada meja makan. Air susu dari kotak dituang pula ke dalam gelas sebelum diminumnya. Dia juga mencapai bungkusan roti dan segera mendapatkan makanan tersebut untuk melapik perutnya di pagi itu.
Sedang Ayra mengunyah roti, Harzan yang baru selesai melaksanakan solat sunatnya mula muncul dan menghampiri isterinya.
"Roti tu je yang ada untuk sarapan pagi ni.. makan je la dulu buat lapik perut. Nanti saya keluar belikan makanan untuk makan tengah hari." Harzan mula menyapa. Ayra pula hanya mendiamkan diri. Wanita itu langsung tidak menunjukkan sebarang tindak balas dari kata-kata suaminya sebentar tadi.
"Ke awak nak kita makan kat luar je sama-sama?" Harzan bertanya. Dia masih memakukan pandangannya kepada Ayra yang langsung tidak memandang ke arahnya. Wanita itu membuat lagak seolah Harzan tidak wujud di depannya. Dia tetap meneruskan kunyahan roti di dalam mulut sambil menatap dinding. Langsung tiada jawapan ke atas pertanyaan yang dilontarkan oleh suaminya.
"Ayra.. saya bercakap dengan awak ni.. ada apa yang tak kena? saya ada buat salah ke?" Harzan bertanya lagi. Lelaki itu mula berkecil hati dengan tindakan Ayra yang cuba mengabaikan kewujudannya di situ. Ayra kemudian segera berpaling dan menyorotkan pandangan matanya kepada Harzan. Wanita itu kemudian mendengus kencang. Harzan semakin kebingungan.
"Awak tak perlu pedulikan hal saya.. kenapa nak ambil tahu pasal saya kalau awak sendiri tak pernah nak bagitahu pasal diri awak?" Ayra mula bersuara. Mendengar ucapan isterinya, Harzan tertegun. Riak wajahnya segera berubah.
"Pa..pasal..pasal saya? apa.. maksud awak?" Harzan tergagap ketika bertanya kembali. Dia masih tertanya-tanya akan maksud ucapan Ayra kepadanya.
"Apa maksud saya? Pernah tak awak ceritakan pasal diri awak kat saya? pernah tak awak bagitau urusan kerja awak kat saya? Apa masalah yang awak terima pun saya tak pernah tahu.. Segala urusan kerja kat pejabat setiap hari pun awak tak pernah nak bagitahu.. tapi setiap hari awak duk tanya pasal saya.. masalah kerja saya.. makan minum saya.. semuanya pasal saya.." Ayra mula meninggikan suara. Harzan pula terbungkam sambil menjatuhkan pandangannya.
"Apa yang terjadi kat pejabat, tak sekali pun awak ceritakan kat saya.. si Rafiq tu kena tangkap, kena gantung kerja pun awak diamkan..itu takpelah.. tapi awak jadi pengurus projek pun, awak langsung taknak bagitau kat saya.. apa masalah awak sebenarnya?" Ayra meneruskan bebelannya.
"Dah awak tak pernah tanya.. lagipun urusan kat pejabat, biarlah habis kat sana.. saya taknak bawa urusan kerja sampai ke rumah.." Harzan menjawab dengan pandangan matanya masih menatap lantai.
"Habis tu urusan kerja saya, boleh pulak awak ambil tahu, setiap hari duk tanya.. ke awak memang taknak bagitahu saya, gaji awak dah naik, takut saya ambil? takut habis harta? ke sebab takut tak boleh cari perempuan lain? Ye la kan.. dah ada duit lebih, boleh la joli sana sini.. cari betina kiri kanan.. enjoy sakan.." Ayra tanpa sedar telah mengungkapkan rasa cemburu buta tanpa alasan.

ANDA SEDANG MEMBACA
Ikhlaskan Cinta
RomanceAyra Arissa yang bekerja sebagai Pembantu Peribadi kepada Rafiq dalam diam bercinta dengan bosnya itu. Pada masa yang sama, seorang pekerja am dipejabatnya iaitu Harzan turut menyimpan perasaan terhadap Ayra.