USAI menunaikan solat maghrib secara berjemaah di masjid, Harzan bangkit berdiri untuk menunaikan solat sunat dua rakaat. Beberapa orang jemaah lain turut melakukan hal yang sama. Sejak mendengar kuliah tentang fadilat solat sunat suatu ketika dahulu, Harzan sering menunaikan ibadat tersebut. Kata-kata ustaz yang menyampaikan kuliah tentang perkara tersebut benar-benar mengubah diri Harzan. Walaupun dahulu dia hanya berpendapat solat sunat itu hanyalah sekadar ibadat kecil, namun setelah difikirkan kembali, Harzan mula menyedari jika amalan sekecil apa pun, jika sering diamalkan maka ia mampu memberikan pahala yang sangat besar. Mungkin sahaja kerana amalan kecil itulah nanti yang akan membawanya ke syurga setelah ditimbang segala amal perbuatannya di dunia. Hati kecilnya pernah terdetik, bagaimana halnya jika segala amalannya di hitung, maka dosa yang dia miliki melebihi pahala yang dikumpulkan. Jadi dia mula menyimpulkan, segala amalan sunat harus dilakukan selagi dirinya mampu. Semoga sahaja pahala dari amalan tersebut mampu memberatkan hitungan pahalanya berbanding dosa.
Selesai solat, Harzan berzikir ringkas sebelum menadah tangan untuk berdoa. Dia mengharapkan keampunan Tuhan semesta alam, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Semoga dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang itu, Allah memberikan rahmat dalam rumah tangganya. Dia turut berdoa agar Allah memberikan hidayah kepada Ayra untuk menjadi seorang perempuan yang berada di jalan yang diredhai olehNya. Harzan tahu Ayra seorang gadis yang baik hati. Namun keadaan diri Ayra yang masih jauh dari tuntutan agama kadang kala merisaukan Harzan. Dia benar-benar berharap isetrinya itu akan berubah. Setelah selesai berdoa, telinga Harzan segera menangkap ucapan dari seorang ustaz yang berperanan sebagai penceramah jemputan di masjid pada malam tersebut.
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar."
Harzan tersentak apabila mendengar kata-kata petikan dari terjemahan ayat al-quran itu. Ucapan dari kuliah maghrib itu seakan tertuju kepada dirinya. Dia baru sahaja berdoa untuk Ayra berubah, dan kini dia segera dihidangkan dengan kuliah mengenai kepimpinan seorang suami terhadap isteri. Harzan mula sedar. Sebagai suami, dialah yang harus memimpin dan mendidik Ayra. Itulah tujuan berumah tangga dan tanggung jawabnya sebagai seorang suami. Dia semakin sedar akan kekhilafannya untuk Ayra berubah namun tidak pernah memikirkan asbab yang perlu ada untuk isterinya itu mendapat hidayah. Memang benar hidayah itu milik Allah, namun untuk seseorang itu berubah, dia juga memerlukan pembimbing yang menyeru ke arah kebaikan. Begitu jugalah peranan seorang nabi dan rasul yang dilantik oleh Allah kepada umat manusia. Sebagaimana umat manusia memerlukan rasul untuk membimbing mereka, begitu juga seorang perempuan memerlukan suaminya. Tanpa pembimbing, mustahil hidayah itu akan hadir. Maka untuk Ayra mendapat hidayah, Harzan sebagai suami perlu membimbing wanita tersebut.
Harzan meraup mukanya dengan kedua belah telapak tangan. Dia kemudian tertunduk diam. Hatinya mula bertekad untuk membimbing Ayra. Sejenak kemudian, Harzan kembali memberikan fokusnya kepada kuliah yang di sampaikan. Beberapa orang lelaki yang turut berada di dalam masjid terlihat terangguk-angguk kepala mereka dengan perlahan sambil mendengar kuliah. Sebagaian pula ada yang menyandar di dinding sambil beristirehat. Ustaz yang menjadi penceramah jemputan pada malam itu pula semakin rancak menyampaikan kuliahnya. Harzan terus terbungkam. Segala isi ucapan yang dilontarkan penceramah, menjadi halwa telinganya dan segera dicerna oleh otak.

ANDA SEDANG MEMBACA
Ikhlaskan Cinta
Roman d'amourAyra Arissa yang bekerja sebagai Pembantu Peribadi kepada Rafiq dalam diam bercinta dengan bosnya itu. Pada masa yang sama, seorang pekerja am dipejabatnya iaitu Harzan turut menyimpan perasaan terhadap Ayra.