USAI solat isyak, Harzan keluar dari masjid dan menuju ke sebuah kedai makan. Sambil menunggu pesanannya tiba, Harzan yang duduk bersendirian mengambil peluang dengan menatap skrin telefon bimbitnya. Menyedari ada beberapa mesej yang diterimanya, Harzan segera membaca dan dengan pantas jari jemarinya menaip balasan. Seketika kemudian, roti canai yang dipesannya sebagai juadah pada malam itu dihidangkan ke meja. Harzan kemudian meletakkan telefon bimbitnya dan dengan pantas menjamah juadahnya. Roti canainya dicarik dan dicicah ke dalam kuah kari sebelum dimasukkan ke dalam mulut. Harzan cuba menikmati makan malamnya itu dengan mengunyah perlahan-lahan. Ketika itu juga fikirannya tiba-tiba diserbu oleh bayangan wajah Ayra. Sambil mulutnya mengunyah, Harzan mulai memikirkan berbagai hal mengenai Ayra. Dia masih tertanya-tanya kenapa gadis itu tiba-tiba berhenti dari kerja. Lelaki itu turut teragak-agak membuat andaian, semua itu berlaku kerana dirinya. Harzan bingung. Apakah dirinya masih ada peluang untuk menemui Ayra selepas ini. Jika tiada rezeki untuk bertemu, Harzan terpaksa pasrah. Mungkin takdir ingin menamatkan pertemuannya dengan Ayra.
Selesai makan dan membuat pembayaran, Harzan tidak tahu ingin menuju ke mana. Dia masih tiada keinginan untuk pulang ke rumah walaupun kediamannya terletak tidak jauh dari kedai makan. Hatinya masih terasa gundah. Dia ingin sekali menenangkan perasaannya yang sedang berkecamuk dikala itu. Harzan menghidupkan enjin motosikalnya dan langsung meluncur laju meredah jalan. Dia sendiri tidak tahu ke mana arah tujuannya. Yang pasti dia hanya perlu bergerak dan mengikut kata hatinya.
Setelah puas meronda jalan raya dengan motosikalnya, Harzan kemudian membelok memasuki sebatang jalan yang agak lengang dan memberhentikan kenderaan tunggangannya. Suasana sunyi di kawasan tersebut serba sedikit dirasa mententeramkan jiwanya.Walaupun sunyi, namun kegelapan malam dikawasan tersebut terhapus dek limpahan cahaya lampu neon terang benderang. Harzan cuba menghayati suasana damai di situ sambil memejamkan matanya. Seketika kemudian, Harzan dikejutkan dengan suara tangisan. Lelaki itu lantas membuka matanya dan melihat ke sekitar kawasan.
"Takkan suara hantu kot.." Harzan berbisik kepada dirinya sendiri. Tanpa merasa takut, dia melangkahkan kakinya untuk mencari pemilik suara tangisan tersebut. Tidak jauh melangkah, Harzan akhirnya menemukan seorang perempuan sedang menangis teresak-esak sendirian. Gadis berambut panjang itu terduduk di bangku sambil menundukkan wajahnya. Harzan dengan perasaan ingin tahu lantas mendekati perempuan tersebut. Apabila menghampiri perempuan yang sedang menangis itu, Harzan mula terkejut besar. Perempuan itu adalah Ayra. Gadis yang sering muncul dalam pemikirannya sepanjang hari dan mengganggu ketenteraman emosinya.
"Ayra.. kenapa ni? kenapa awak kat sini?" Harzan tanpa berlengah, segera menegur gadis yang sedang menangis itu. Mendengar suara Harzan, Ayra pun mengangkat pandangan wajahnya. Air matanya segera diseka dan Ayra memalingkan mukanya dari melihat Harzan. Gadis itu sebenarnya tidak ingin Harzan melihat dirinya yang sedang menangis. Dia tidak ingin sesiapa pun tahu mengenai kekecewaan hatinya di saat itu. Harzan yang tidak dapat menahan kerisauannya mendekatkan lagi tapak kakinya ke arah Ayra. Dia benar-benar khawatir apabila melihat keadaan gadis tersebut.
"Ayra.. awak okay tak ni? Apa yang dah berlaku?" Harzan bertanya lagi untuk menunjukkan keprihatinannya.
"Takde apa-apa.. saya okay je." Ayra sekali lagi menyeka air matanya sebelum kembali menundukkan wajahnya.
"Hmm.. mana mungkin awak takde apa-apa.. dah la awak tiba-tiba hantar notis berhenti kerja.. apa sebenarnya masalah awak?" Harzan meneruskan pertanyaan. Namun Ayra langsung tidak menunjukkan tindak balas mahupun menjawab pertanyaan lelaki tersebut.
"Ayra.. kalau ada masalah, boleh bagitau saya.. mana tahu saya boleh tolong.." Harzan mengucapkan kata-katanya dengan penuh ikhlas. Matanya tidak berkedip menatap ke arah Ayra yang sedang menunduk di hadapannya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Ikhlaskan Cinta
RomanceAyra Arissa yang bekerja sebagai Pembantu Peribadi kepada Rafiq dalam diam bercinta dengan bosnya itu. Pada masa yang sama, seorang pekerja am dipejabatnya iaitu Harzan turut menyimpan perasaan terhadap Ayra.