"Umi, buat apa tu?" Sapa Afaf ceria sebaik saja dia nampak kelibat Puan Aida di dapur.
Puan Aida yang sedang memanaskan lauk tengah hari tadi berpaling ke arah Afaf lalu senyum segaris. "Panaskan lauk kenduri tadi saja Afaf. Afaf nak makan? Umi boleh tolong siapkan?"
"Tak perlu umi. Lagipun Afaf tak sedap badan ni. Umi ada nak Afaf tolong apa-apa tak?" Soal Afaf.
"Semua hampir siap dah. Tinggal sikit saja lagi. Tak apa, nanti umi minta Affan dan Khairil yang tolong umi. Lagipun tinggal nak basuh periuk belanga tu saja." Terang Puan Aida sambil menunjuk ke arah periuk belanga yang berada di bahagian pintu dapur.
Sebut pasal Affan, laju saja mata melilau mencari Affan. Tapi, tak nampak kelibat langsung. Sunyi sepi. "Abah mana umi?"
"Pergi masjid." Afaf tepuk dahi. Dia lupa Encik Fathi kan Imam masjid di taman mereka.
"Maafkan Afaf tak dapat tolong umi kemas rumah. Ingat nak rehat sekejap saja tadi, alih-alih terlelap pula." Afaf bernada sedih. Rasa serba salah sebab dia berkurung di dalam bilik dari petang sampai magrib. Sudahlah tadi keluarga Affan pandang serong kepada dia selepas dia pengsan. Selepas itu, dia tidak turun pula untuk membantu Puan Aida berkemas. Affan pun dia tak jumpa lagi.
"Eh, tak apalah. Umi faham. Lagipun Anggun dah cakap dengan umi yang Afaf tidak sihat. Takkanlah umi nak paksa menantu umi ni buat kerja pula. Afaf dah tolong umi banyak dah sebelum kenduri lagi. Lagipun keluarga umi besar, umi minta tolonglah dengan diorang." Puan Aida mengusap bahu Afaf lembut.
Afaf diam. Kepalanya menunduk memandang lantai. Jauh di sudut hati dia sedih memikirkan penerimaan keluarga Affan terhadap dirinya. Namun, pada masa yang sama dia lega sebab kini Affan ada bersamanya.
"Umi, ada nampak Affan tak? Sejak petang tadi lagi Afaf tak jumpa dia."
"Affan solat dalam bilik tetamu tadi." Afaf mengangguk faham. Dia bermain dengan jemari sendiri. Otaknya ligat berfikir andai Affan marah dengan diakah kerana tidak berterus terang dengan hal yang berlaku semalam? Sedangkan mereka sudah menjadi suami isteri. Bukan dia tidak perasaan nada Affan lain bila dia menegur tentang luka di tangan lelaki itu. Dan juga kejadian dia dituduh mengandung itu juga wajah Affan bertambah keruh walaupun lelaki itu ada bertanya keadaan dia tapi nada Affan biasa saja.
Puan Aida mengerling wajah mendung Afaf. Andai Afaf tahu keadaan sebenar yang berlaku siang tadi, pasti Afaf lagi terkejut melihat sikap sebenar Affan.
"Mungkin Affan tak nak kacau Afaf kot. Sebab itulah dia solat dalam bilik tetamu." Puan Aida bersuara untuk menyedapkan hati Afaf.
"Betullah kot." Afaf mengiakan juga walaupun dia tidak berpuas hati dengan jawapan Puan Aida. Jauh di sudut hati, dia yakin Affan tengah marahkan dia. Affan tengah lancarkan perang dingin.
"Anggun mana umi?" Soal Afaf sebaik saja dia teringatkan tentang Anggun.
"Anggun si bertih jagung tu? Awal lagi dia tumbang di dalam bilik dia tu. Orang lain yang kenduri, orang lain yang penat dulu. Padahal mengekor Afaf saja sedari tadi." Omelan Puan Aida meletuskan ketawa kecil Afaf. 'Bertih jagung' pula digelar Anggun.
"Okaylah umi. Afaf naik bilik dulu, ya. Selamat malam umi." Ujar Afaf. Sempat dia kerling bilik tetamu yang terletak di bahagian tepi dapur. Tidak ada pula susuk tubuh Affan di situ. Dia tunduk seketika lalu dia mengeluh berat. Setelah itu dia bawa langkah menaiki tangga ke bilik Affan.
"Selamat malam Afaf." Puan Aida akur dan dia melihat langkah Afaf yang berhenti seketika di bilik tetamu itu sebelum bayang menantunya itu hilang dari pandangan.
Selesai solat magrib Affan mengambil angin di luar. Pandangan ditebarkan ke arah dada langit. Hitam pekat tidak satu pun kelihatan bintang. Angin pula agak kuat. Kemungkinan malam ini akan hujan. Tubuh disandarkan di atas kerusi kayu. Mata dipejam rapat untuk melepaskan lelah dan merasai kesejukan angin malam.
YOU ARE READING
AFFAN_ADRA | C
Romance"Dia adalah amanah yang akan aku jaga sehingga akhir hayat." 'Fi hifzillah fi amanillah' - saya tinggalkan awak dalam jagaan DIA, Semoga DIA temukan kita tepat dengan caraNya [Fa]