Special chapter i

521 39 0
                                    

'Setidaknya kamu tahu kalau aku masih mencintaimu'

recommended song : Cinta dalam hidupku by Rossa

Selepas enam tahun (throwback)..

Afaf membetulkan pinggang. Sekilas jam pergelangan tangan dikerling. Hampir jam 6 petang. Dada langit mula kelihatan kelam menandakan hari akan hujan. Bila-bila masa saja hujan akan turun. Dia perlu kemaskan barang jualan. Melihat bekas-bekas yang berisi lauk pauk masih lagi tidak berkurangan Afaf mengukir senyuman kecil. Jualan nasi lemak dia kurang mendapat sambutan untuk hari ini.

"Afaf, nak hujan ni. Tak nak balik ke?" Laung Kak Siti. Mata menoleh ke arah bahagian kanan. Rakan sekerja yang turut meniaga di situ. Hanya selang beberapa tapak saja dari khemahnya. Tidaklah terlalu rapat sekadar bertegur sapa.

Bibir Afaf tersenyum kecil. "Kak Siti dah nak balik ke? Habis tu, makanan semua tu macam mana Kak Siti?" Kak Siti pula dia menjual kuih-muih dan makanan vendor yang pelbagai jenis. Sempat dia mengerling jualan Kak Siti juga kurang memuaskan daripada hari biasa. Masih ada beberapa bekas makanan yang masih banyak.

"Ha'ah Afaf. Nak tunggu lagi risau terbang pula khemah akak. Hujan lebat ni akak rasa. Makanan tak habis ni nantilah akak fikir macam mana nak buat. Mungkin rezeki akak hari lain." Afaf diam setelah itu. Dia hanya melihat Kak Siti mula berkemas untuk pulang.

Gerai kecil seperti mereka begitulah. Ada hari jualan laku, ada hari tidak langsung orang yang singgah. Tetapi, dia sentiasa yakin dengan rezeki Allah. Bumi Allah itu luas. Asalkan niat kita baik dalam mencari rezeki yang halal, Allah akan mengadakan lebih lagi. Itu juga merupakan satu ibadah.

Memandangkan sekarang cuaca tidak menentu, fikirnya mungkin mereka lebih selesa duduk di rumah saja daripada keluar makan angin. Tidak hairan tempat dia berniaga juga gerai sekitar situ kebanyakkan tutup. Mata Afaf sempat meliarkan ke arah lain. Kelihatan peniaga lain juga mula berkemas untuk pulang. Afaf memujuk hati. Mungkin bukan rezeki dia. Esok masih ada lagi.

"Akak balik dulu, Afaf. Jangan lambat balik, tau. Jaga diri, asssalamualaikum." Tercantas lamunan Afaf. Salam dijawab dan dia mengangkat tangan melambai ke arah Kak Siti. Kelihatan wanita itu sudah menutup khemas dan dimasukkan ke dalam kereta. Di samping wanita itu, ada suami yang sudah siap menunggu dengan kereta waja lama. Bibir tersenyum kecil melihat suami Kak Siti ringan tulang membantu mengangkat barangan jualan masuk ke dalam kereta.

Afaf menghulurkan tangan di sebalik khemah. Hujan mula rintik-rintik mengenai tangannya. Dalam hati tidak putus-putus dia berdoa supaya Allah permudahkan urusan. Entah pukul berapa dia boleh sampai ke rumah kalau hujan mula turun lebat. Keretanya pula tiada aircond. Lagipula dia tidak boleh memandu dalam keadaan hujan lebat. Masih lagi trauma dengan kejadian dulu.






Kereta Hilux yang dipandu lelaki itu mula bergerak perlahan di atas jalan raya sambil mata melingas kiri kanan. Beberapa minit memandu, signal kiri diberikan sebelum memasuki satu lorong. Mata masih pada jalan namun fikirannya jauh melayang seperti memikirkan sesuatu. Hati mula berbicara semasa sendiri. Hati dan fikiran sama-sama sesak dengan bermacam perkara. Diluar terlihat tenang tetapi di dalam sana bergelodak satu rasa yang tidak mampu terungkap melalui kata-kata. Kelajuan diperlahankan sebaik saja mata terpandang satu gerai di hujung sana.

Mata hitam pekat itu langsung tidak bergerak malah hanya dipakukan pada satu arah. Merenung bagaikan mahu tembus. Encik Fathi yang sedang tunduk sambil membaca buku agama segera mengangkat wajah apabila terasa kereta yang dipandu anaknya berhenti. Dengan dahi yang berkerut mata diliarkan ke kawasan itu. Kawasan lapang yang terdapat beberapa khemah kecil peniaga yang sedang meniaga di situ.

AFFAN_ADRA | CWhere stories live. Discover now