Dua beg baju disumbat ke dalam bonet kereta. Hampir seminggu mereka bermalam di kampung Nek Minah. Ikutkan dia hendak bermalam lagi di sini untuk beberapa hari lagi memandangkan Afaf semakin selesa di sini. Tetapi atas tuntutan kerja yang hakiki dia terpaksa bergerak pulang. Selesai bonet ditutup, Affan menyandar tubuh di pintu kereta. Wajah ceria Afaf yang sedang berpelukan dengan Nek Minah menyapa pandangan. Terkadang wajah Afaf ketawa sambil memukul lembut bahu Nek Minah. Apalah yang mereka bincangkan itu. Bibir turut terjungkit senyuman kecil. Sedikit sebanyak dia merasa lega kehadiran Afaf diterima baik oleh Nek Minah dan Tok Aki.
Sewaktu dia memaklumkan kepada Tok Aki dan Nek Minah yang dia ingin menamatkan zaman bujang bukan main terkejut lagi mereka berdua. Iyalah, dia tidak pernah bercinta pun. Nak ada kawan perempuan pun jauh sekali. Dan setiap kali dia pulang ke kampung, mereka juga tidak pernah bertanya bila hendak berkahwin. Mereka sendiri tahu yang dia sibuk dalam membesarkan Anggun setelah ibu bapa kanak-kanak itu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Tok Aki bergerak menghampiri Affan yang masih tidak sedar dengan kehadirannya. Sampai saja di sisi lelaki itu, Tok Aki menepuk lembut bahu Affan. "Tahu sayang isteri. Tapi, janganlah tengok sampai tak berkelip mata tu. Tak lari mana aih." Usik Tok Aki. Affan menegakkan tubuh sebelum berdehem beberapa kali. Malu apabila ditangkap oleh Tok Aki.
Tok Aki hanya menggeleng lembut. Kemudian mata turut dilarikan pada susuk tubuh yang sedang rancak bersembang dari tadi. Tidak cukup bersembang di dalam rumah, sambung pula di luar rumah. Agaknya bilalah Affan akan pulang.
"Affan, aku tahu masih jauh lagi perjalanan rumah tangga kamu. Tapi, pesan aku jangan sesekali tinggikan suara dan naik tangan pada amanah kamu. Didik dia dengan lemah lembut. Tegur dia baik-baik kalau dia buat salah. Jangan kecewakan hati orang tua yang serahkan anak dia untuk kita jaga dan sayang. Dan yang paling penting, minta pada Allah untuk sentiasa jaga hubungan suci ini hingga ke jannah." Pesan Tok Aki. Sejuk mata dia melihat Afaf. Pandai Affan cari isteri.
"Bagi tips sikit Tok Aki cara mengorat isteri." Melihat kemesraan Tok Aki dan Nek Minah yang bertahan sehingga kini teringin juga dia nak tahu rahsia untuk mengekalkan kebahagian rumah tangga. Mana tahu dia boleh praktiskan dalam rumah tangga mereka juga. Sehingga sekarang, dia masih belajar untuk menjadi suami terbaik buat Afaf kerana dia tiada pengalaman. Jadi, apa salahnya minta pendapat. Soal malu dia letak tepi. Yang penting, kebahagiaan Afaf yang utama.
"Boleh. Tetapi tak ramai suami yang mampu buat benda ni sebab nanti dia rasa cepat bosan. Tapi, bagi seorang isteri dia suka kalau suami dia buat. Nampak remeh tapi itu yang seorang isteri perlukan dari seorang suami. Nafkah batin seorang isteri terletak pada hatinya. Mulakan pagi kamu dengan ucapan cinta untuk dia. Sekecil-kecil usaha dia, bagi pujian untuk dia. Perempuan ini seorang makhluk yang complicated untuk kita faham. Sedangkan dia sendiri pun tidak faham dengan diri dia sendiri. Berbeza pula dengan lelaki, kita dah tahu perempuan itu memang sayangkan kita. Perempuan pula, hati dia mudah berubah. Semakin dia sayang rasa insecure dengan diri makin tinggi. Dia takut andai suaminya itu akan berubah hati suatu hari nanti. Jadi, tugas kita sebagai suami kena memahami keperluan isteri." Jelas Tok Aki lagi.
"Kamu pernah dengarkan 'suami adalah cerminan isteri?"
Affan mengganguk mengiayakan. "Kebahagian rumah tangga yang sebenar terletak pada suami itu sendiri. Bagaimana kamu corakkan isteri itu terletak di tangan kamu. Kalau kamu layan dia baik, maka balasannya kamu akan mendapat layanan yang baik juga. Kalau kamu layan dia buruk, maka dia akan hilang hormat pada kamu. Jadi, jangan hairan kalau sikap dia berubah suatu hari nanti." Ditepuk lagi bahu Affan yang ralit melihat ke satu arah. Entah Affan mendengar atau tidak nasihat dia ini.
"Faham, Tok Aki. InsyaAllah Affan akan cuba buat."
"Minah, kamu nak sidai berapa lama cucu kamu ni?" Laung Tok Aki serentak dua figura itu berpaling. Tok Aki menghampiri mereka berdua diikuti Affan dari belakang.
YOU ARE READING
AFFAN_ADRA | C
Romance"Dia adalah amanah yang akan aku jaga sehingga akhir hayat." 'Fi hifzillah fi amanillah' - saya tinggalkan awak dalam jagaan DIA, Semoga DIA temukan kita tepat dengan caraNya [Fa]