"Suami isteri dan seorang wanita maut manakala dua termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan malam tadi."
"AFAF ADRA." Pekik Kamal. Terhinjut bahu gadis itu serentak pintu wad ditendang dengan kuat namun dia langsung tidak peduli. Mata masih menatap syiling putih itu. Kejadian ngeri itu berlaku dua minggu yang lalu. Dan dia baru sahaja sedar dari lena yang panjang. Masih jelas terbayang keratan akhbar yang dibaca tadi. Keratan akhbar yang dia jumpa di dalam laci ketika hendak mencari telefon pintar miliknya. Dia terkilan, wajah satu-satunya Ardina kakaknya tidak sempat dia tatap buat kali terakhir.
Kamal. Tunang kakaknya Ardina. Mereka bertunang setahun yang lalu. Afaf dari awal lagi tidak berkenan kerana dia kenal Kamal. Kaki pukul dan panas baran. Tapi, Ardina tidak kisah. Entah apa yang Kamal buat sehingga kakaknya jatuh cinta dengan lelaki itu. Sedangkan, semua yang Kamal ada hasil dari titik peluh kakaknya.
Tubir mata yang terasa panas dibiarkan. Akibat dari kemalangan itu, dada dan paha kiri tertusuk dengan serpihan cermin kereta yang pecah di bahagian hadapan meninggalkan kesan torehan yang agak panjang. Kejadian ngeri itu tidak akan pernah dia lupa. Hentaman kuat dari sebuah kereta dari belakang membuatkan tubuh dia tercampak keluar dan menghempap bonet hadapan kereta. Manakala, kakaknya Ardina tersepit di bahagian tempat duduk pemandu. Dikhabarkan oleh ibu, kakaknya meninggal dunia semasa mereka dalam perjalanan ke hospital. Dia pula tidak sedarkan diri kerana terlalu banyak kehilangan darah.
Tubuh Kamal terhuyung hayang merapati Afaf. Hampir dua minggu dia menunggu gadis itu sedar. Sebelum ini dia tidak berpeluang kerana Puan Hajar sentiasa menemani gadis itu. Kali ini dia bernasih baik, Puan Hajar balik sebentar untuk mengambil pakaian ganti gadis itu. Ini pun dia terdengar dari perbualan doktor yang merawat Afaf mengatakan Afaf sudah sedar dari lena yang panjang.
"Mati kau, pembunuh." Tak sempat Afaf berbuat apa, tubuh terasa ditindih. Wajah bengis Kamal menyapa. Kedua-dua tangan Afaf terkunci di sisi katil.
Dahi Afaf berkerut hebat. Bibir dikemam rapat menahan rasa yang mula menyengat. Sakit bilamana paha Kamal menekan luka di paha kiri.
"Kau yang patut mati, Afaf. Bukan dia." Kamal seperti dirasuk. Serentak itu, terasa tekanan di leher Afaf. Sepasang tangan kasar Kamal mencengkam ketat leher Afaf. Afaf meronta-ronta, kedua kaki tergawang menendang angin. Namun, hanya sia-sia usaha tersebut. Kekuatan dia tidak mampu untuk melawan tubuh Kamal yang kian menghimpit. Lagipula tubuh dia masih lemah mana mungkin untuk dia mempunyai tenaga untuk melawan.
"Kau bunuh tunang aku. Aku nak kau mati! Mati, perempuan sial!" Pekik Kamal nyaring. Bagai nak pecah gegendang telinga Afaf. Lebih parah, balutan di dada yang baru hendak pulih, terbuka, berdarah mencemari baju hospital yang dipakai Afaf. Pernafasan Afaf mula melemah, menahan perit dan pedih di sekitar leher dan dada yang luka. Afaf pasrah andai sampai sini saja hayatnya. Mata mulai layu dan kabur.
"Adik, tolong hidup untuk ibu. Tolong jangan tinggalkan ibu, sayang. Cukup ayah, kakak pergi tinggalkan ibu... ibu tak sanggup, sayang....."
Tegiang-giang suara Puan Hajar ketika dia baru sedar semalam. Wajah cengkung Puan Hajar segera terlintas di mata. Bagaikan tersedar dari mimpi, Afaf mula membuka mata semula. Dia melawan sekuat tenaga. Afaf lupa ada Puan Hajar yang sedang menanti.
"Tolong.....sa....kit....le..pas.." Hampir tidak terkeluar suara Afaf.
"Mati...mati.." Kamal menyeringai. Puas melihat wajah memerah Afaf.
"Ibu....tolong....sakit..." Kamal ketawa lantang. Jeritan Afaf bagaikan sebuah irama di telinganya.
Seorang lelaki yang baru saja selesai solat di surau hujung sana, terkaku. Telinga mendengar suara pekikan itu. Dengan langkah laju, dia segera menghampiri pintu bilik wad yang sedikit terbuka. Lelaki itu terkaku menyaksikan adegan itu di depan mata.
"Sakit, kan perempuan? Aku nak kau rasa macam mana yang aku rasa. Baik kau mati dari menyusahkan aku."
"To...long... ber...henti... aku... tak.... bunuh.."
Bam..
"Oii, kau nak bunuh anak orang ke?" Kamal tersentak. Mendadak dia bangun lalu merempuh tubuh lelaki yang berdiri di muka pintu. Niat lelaki itu untuk mengejar Kamal terbantut. Mata dia lebih terpaku dengan susuk tubuh yang kian melemah di atas katil tersebut.
"Terima kasih..." Gerak bibir gadis itu diamati dengan pandangan tajam.
Pandangan sayu Afaf bersambung dengan mata hitam pekat lelaki itu. Bibir perlahan mengoyak senyuman tipis. Pada masa yang sama, lega bilamana dia berpeluang untuk hidup. Andai lelaki itu lambat, pasti dia sudah mati!
"Sakit..tolong.. sakit..." lelaki itu masih blank. Dia tak boleh fikir sehingga satu saat dia nampak gebar itu bertukar warna. Merah dan banyak.
Tergamam. Terkaku. Tercengang.
Situasi yang sama pernah dia lihat sebelum ini.
"Sakit...dada sakit.." Dan saat itu juga lelaki itu hanya mampu menatap tubuh kaku Afaf yang terbaring dipenuhi darah.
YOU ARE READING
AFFAN_ADRA | C
Romance"Dia adalah amanah yang akan aku jaga sehingga akhir hayat." 'Fi hifzillah fi amanillah' - saya tinggalkan awak dalam jagaan DIA, Semoga DIA temukan kita tepat dengan caraNya [Fa]