BAB 24

1.8K 118 8
                                    

TERPISAT-PISAT Auni membuka mata, menggagau tangannya mencari si kakak yang sepatutnya sedang tidur disebelahnya. Tercelik luas matanya apabila sosok yang dicari tak ada pun disebelah. Kosong!

Perlahan-lahan dia bangkit dari pembaringan, meliar matanya memandang segenap bilik yang masih gelap itu. Apabila biasan cahaya semakin jelas, perlahan Auni mengengsot untuk turun dari katil.

Ruangan santai yang berada disebalik dinding disatu sudut dihampiri Auni. Jelas matanya menangkap dua figura yang sedang berpelukan diatas sofa. Kembang kuncup hidung kecilnya bersama dahi yang berkerut-kerut menahan marah.

Nafas disedut sedalamnya.

"Kakak!!!!" bergempita suara nyaring Auni menjerit.

"Oh mak kau kakak!"

Gedebuk!

Terbuntang mata Aufyaa melihat Zarith yang sudah terjelepok ke lantai. Berlapis hebat dahi lelaki itu mengusap punggung sendiri dengan mata yang masih terpejam.

"Ya Allah, abang!" buru-buru Aufyaa turun dari sofa mendapatkan suaminya.

"Sayang, apa ni main tolak-tolak orang...." rengus Zarith tak puas hati dengan suara seraknya. Dah lah tengah mimpi best. Hilang macam tu je mimpinya.

"Abang, Fyaa minta maaf, Fyaa terkejut. Sakit ke?" Atas bawah ditilik si suami dengan riak risau.

"Sakitlah... Kalau lebam macam mana..." mendayu-dayu nadanya. Kepala dilentokkan manja pada bahu Aufyaa meminta simpati.

Aufyaa menghela nafas nipis. Hai la, baby tua ni. Tangannya naik membelai-belai kepala si suami. Layankan jelah. Kemudian baru dia perasan kehadiran si adik memandang mereka dengan riak tak puas hati.

"Auni?"

"Kakak tinggalkan Auni sebab nak tidur dengan abang!" bentak Auni.

Aufyaa menggigit lembut bibirnya. Hairan dia melihat perubahan Auni selepas majlisnya. Setahu dia adiknya paling sayang dengan Zarith. Tiba-tiba jadi tak suka pula.

Zarith perlahan-lahan duduk tegak memandang Auni dihadapan. Direnung ke dalam sepasang anak mata milik Auni. Dalam pada menunjukkan marah, Zarith dapat rasa ada sesuatu yang mengganggu emosi Auni sehingga anak kecil itu boleh berubah sekelip mata.

"Auni, meh sini dekat abang," Zarith cuba menggamit tangan kecil Auni supaya mendekat, namun Auni merengus lebih kuat.

"Abang jahat! Abang nak curi kakak, nak tinggalkan Auni seorang-seorang!" Auni menghamburkan amarahnya tanpa sedar air matanya bercucuran jatuh.

"Auni, kenapa cakap macam tu? Mana ada kakak nak tinggalkan Auni," Aufyaa cuba mendekat namun si adik mengundur beberapa tapak ke belakang. Matanya mencerlung tajam ke dalam anak mata si kakak.

"Siapa yang cakap dengan Auni macam ni?" soal Zarith mendatar. Auni hanya membalas pandangan tajam si abang tanpa menjawab. Berombak dada kecilnya menahan esakan.

"Auni, meh sini dekat kakak. Kakak minta maaf, kakak salah. Jangan macam ni," pujuk Aufyaa lembut.

"Auni benci abang!" tempik Auni
sebelum dia melarikan diri keluar dari bilik tidur mereka.

"Auni!" Aufyaa bangkit mahu mengejar si adik namun Zarith lebih pantas menahan.

"Biarkan dia sejuk dulu. Nanti abang pujuk dia," kata Zarith.

"Tapi..."

"Dia marah abang, biar abang yang pujuk dia. Jom, kita subuh dulu," Zarith bangkit dari lantai dan membantu isterinya untuk bangun. Pandangan lembut dihadiahkan pada si isteri. Baru bangun tidur pun cantik.

ZARITH'S: HER COMMANDO [OG]Where stories live. Discover now