BAB 1

2.4K 128 5
                                    

TERJINGKIT-JINGKIT sepasang kaki yang memakai kasut bertumit rendah itu menghampiri satu sosok yang sedang khusyuk mengelamun. Perlahan-lahan dia menghampiri mahu menyergah. Kedua belah tangannya sedia mahu menepuk bahu si sahabat.

"Aku nampak, Sya," datar suara itu menghentikan niatnya Alisya mahu menyergah Aufyaa.

Senyuman yang melebar dek teruja menanti reaksi si rakan kini sirna akibat kegagalan rancangannya. Dari mana pula dia nampak? Ada mata dekat belakang kepala ke? Alisya panggung kepala. Ah, pantulan cermin. Terasa bodoh sekejap.

"Failed pula," gumam Alisya seraya berdehem kecil sebelum dia melabuh punggung di atas kerusi sebelah Aufyaa. Sedari tadi dia perhati kawan baiknya ini.

"Jarang aku nak tengok kau mengelamun. Kau ada masalah ke?" soal Alisya prihatin. Aufyaa yang dia kenal adalah seorang yang sentiasa ceria. Tapi sejak pertemuan dia dan Zarith di majlis perkahwinan Aaisy dan Laura sebulan yang lalu, Alisya perasan kawan baiknya ini sering termenung.

Sebulan juga Alisya menyimpan persoalan-persoalan yang bermain di benak fikirannya mengenai hubungan mereka. Dia menunggu masa untuk Aufyaa sendiri yang membuka mulut. Tapi sahabatnya itu kekal mengunci kata.

Helaan nafas berat dilepaskan Aufyaa. Situasinya sekarang ini serba tak kena. Tapi mahu meluah, dia tak biasa. Dia tak pernah berkongsi tentang hidupnya pada sesiapa kerana dalam hidupnya memang tiada satu sosok pun yang boleh dia percayai sehinggalah dia berkawan dengan Alisya. Tapi masih berat mulutnya mahu bercerita. Risau jika pandangan Alisya padanya akan berubah.

"Kalau tak nak cerita tak apa, aku tak paksa. Tapi jangan push diri tu sangat sampai abaikan kesihatan. Makan pun nak tak nak je aku tengok kau sekarang ni," kata Alisya. Tak mahu juga dia memaksa jika gadis itu belum bersedia.

Aufyaa menoleh ke arah Alisya bersama senyuman nipis. "Lain kali eh? Bila aku dah bersedia, aku cerita semua dekat kau," kata Aufyaa.

Alisya mengangguk kecil. "Okey, aku faham. Sekarang ni, jom makan. Aku lapar, lepas ni ada kelas lagi," ajak Alisya. Walau mereka sudah tak sama semester, mereka tetap mencuri masa terluang untuk makan bersama. 

Aufyaa hanya menurut dan bangkit untuk membeli makanan di kafe kolej mereka. Disebabkan Alisya sahaja dia memaksa diri untuk menelan makanan yang terasa payau di anak tekak. Kalau tidak, sebutir nasi pun dia tak selera nak makan.

Semuanya gara-gara pertemuan tak disengajakan sebulan yang lalu. Lelaki itu, lelaki yang dia benci selepas ayah kandungnya.

Walau dia tahu dia tak sepatutnya membenci lelaki itu kerana lelaki itulah yang menyelamatkannya. Bukan sekali, tapi dua kali dari menjadi mangsa rakusan seorang lelaki durjana. Namun, kata-katanya enam tahun lalu yang masih segar di ingatan tidak mampu untuk memujuk hatinya walau mereka tak pernah bersua lagi selepas itu.

Ah, serabut! Kenapa mesti berjumpa lagi?




TOMBOL pintu kayu itu dipulas selepas dimasukkan kunci dan ditolak perlahan. Salam diberi seraya Aufyaa melangkah masuk ke dalam rumahnya. Rumah setinggan yang berjaya disewa Aufyaa dengan harga murah menggunakan hasil pendapatan lebihan yang disimpan dari kerja yang dilakukan enam tahun lepas. Nak tak nak, terpaksa juga dia gunakan hasil duit itu untuk menyara diri dan adiknya yang masih kecil.

Hanya wang untuk makan mereka sahaja dia usahakan menggunakan sumber yang halal dengan membuat beberapa kerja sambilan di kedai-kedai makan terdekat. Kos pembelajarannya kini juga merupakan hasil pendapatan yang dikumpul selama enam tahun.

"Auni," Aufyaa memanggil adik perempuannya. Satu bungkus nasi goreng pattaya yang dibeli selepas habis kuliah tadi diletakkan diatas meja makan kecil mereka.

ZARITH'S: HER COMMANDO [OG]Where stories live. Discover now