"Kak yah" panggil Atiqah kepada kakak keempatnya itu. Ketika itu, Afiyah sedang mengemas lebihan lauk pauk makan malam mereka sebentar tadi. Atiqah pula sedang berdiri di hadapan sinki membasuh pinggan-pinggan kotor.
"Kenapa Iqa?" jawab Afiyah seraya memaling sekilas memandang adik bongsunya itu. "Iqa ada benda nak beritahu Kak Yah ni" balas Atiqah sambil kepalanya dipusingkan memandang ke arah luar dapur. Seakan memastikan suami kakaknya, Azwan tiada berhampiran.
Afiyah menghampiri Atiqah di sinki dapur itu. Dia berdiri di sebelah adiknya sambil tangannya dihulurkan ke arah air yang keluar dari paip sinki dapur itu. Tangannya dibasuh sedikit untuk membersihkan sisa makanan yang terkena tangannya sewaktu dia mengemas lebihan makanan itu. Atiqah berganjak sedikit dari tempatnya memberi ruang untuk kakaknya itu.
"Iqa nak beritahu apa?" soal Afiyah. Tangannya yang basah itu direnjis-renjis sedikit ke dalam sinki sebelum dia mencapai sehelai kain kering berhampiran sinki. Afiyah masih berdiri disebelah Atiqah sambil mengelap tangannya yang basah.
Atiqah kembali menyambung membasuh pinggan-pinggan kotor. Sekali lagi kepalanya dipusing ke luar dapur sebelum soalan kakaknya itu dijawab. "Kak Yah jangan marah atau kecik hati tau. Sebenarnya Iqa nak duduk rumah Kak Na lepas habis intern ni. Iqa dah dapat kerja dekat-dekat dengan rumah dia" jawab Atiqah. Dia mamalingkan mukanya untuk melihat reaksi kakaknya itu. Kelihatan kakaknya itu mengerutkan dahinya sedikit. Seakan pelik.
"Ish Iqa ni. Rumah Kak Yah dengan rumah Kak Na tu bukan jauh pun. 20 minit je. Sama je kalau Iqa duduk sini atau sana pun. Tak ada beza pun kalau Iqa duduk dengan Kak Yah" balas Afiyah. Hatinya seakan dapat mengagak ada alasan lain yang Atiqah diamkan.
"Hmmm" perlahan Atiqah mengeluh. "Iqa tahu tu" perlahan Atiqah menjawab tetapi masih dapat didengari oleh kakaknya.
"Tapi?" soal Afiyah. Ayat Atiqah seakan tergantung. Dia tahu ada sesuatu yang adiknya ingin katakan.
"Iqa minta maaf kalau Iqa cakap ni, tapi Iqa jadi kurang selesa la dengan Abang Wan tu. Kadang-kadang tu dia pakai tuala je duduk dekat sofa tu tengok TV. Kadang-kadang tu pula, 'selamber' je dia pakai boxer je kehulu kehilir dalam rumah. Iqa tahu la Iqa menumpang je tapi Iqa malu la Kak Yah. Sebab tu Iqa lagi suka duduk terperap je dalam bilik Iqa" panjang lebar Atiqah menjawab. Dia meluahkan apa yang terbuku di hati.
Terdengar sedikit keluhan keluar dari mulut Afiyah. Dia tahu akan perangai suaminya. Sebelum ini dia sudah pun menegur, tetapi tidak diendahkan oleh suaminya itu. "Faham. Kak Yah faham apa yang Iqa rasa tu. Nanti Kak Yah beritahu dengan Abang Wan tu" Afiyah cuba memujuk adiknya itu.
"Tak payah la Kak Yah. Nanti jadi bergaduh pula akak dengan Abang Wan tu" cepat-cepat Atiqah menghalang. Dia tidak mahu kakaknya itu bergaduh dengan abang iparnya itu. Dia cukup tahu akan sifat abang iparnya itu yang agak tinggi egonya.
"Ada benda lain lagi kan?" soal Afiyah kepada adik bongsunya itu. Cuba menyerkap jarang. Dilihat adiknya itu sedikit menunduk. Pinggan di dalam sinki sudah siap dibasuh.
"Sebenarnya" Atiqah seakan teragak-agak untuk memberitahu. "Iqa tak suka la Abang Wan tu suka merendah-rendahkan Iqa. Ada je benda tak kena yang Iqa buat dekat mata dia" akhirnya Atiqah meluahkan juga apa sebenarnya yang terbuku selama ini dihatinya.
Riak muka Afiyah sedikit berubah. Sekarang dia faham kenapa adiknya itu bersungguh untuk pindah dan tinggal bersama kakak sulungnya. Afiyah mati kata kerana dia tahu apa yang dikatakan oleh Atiqah itu adalah benar. Suaminya agak suka memperlekehkan Atiqah. Bukan dia tidak cuba untuk bercakap berkenaan perkara ini dengan suaminya, tetapi ego suaminya yang agak tinggi membuatkan dia susah untuk ditegur. Tambahan pula, Afiyah yang hanya seorang suri rumah menjadi malu alah untuk menegur lebih-lebih perihal perkara itu.
"Tak apa la Iqa. Akak faham perasaan Iqa. Kalau Iqa rasa itu yang terbaik, akak tak halang. Kalau Iqa berubah fikiran, Iqa beritahu akak ye" suara Afiyah sedikit sedih. Dia cuba mengawal suaranya supaya adiknya itu tidak berasa serba salah dengan keputusannya. Dia tersenyum memandang Atiqah sebelum melangkah keluar menuju ke ruang tamu untuk melihat anak-anaknya yang seramai dua orang itu sedang menonton TV bersama suaminya.
Atiqah terasa lega selepas dapat meluahkan segala isi hatinya selama ini. Dia mengambil sehelai kain lalu mengelap tangannya. Selepas itu, dia melangkah menuju ke bilik tidurnya. Sempat dia menjeling ke arah ruang tamu di mana kakaknya sedang melayan kerenah anak-anak lelakinya manakala abang iparnya duduk di atas sofa menonton TV. Hanya memakai seluar pendek tanpa memakai baju. "Menyampah" bentak hatinya lalu masuk ke dalam bilik.
YOU ARE READING
Fantasi Keluarga Mentua
FantastikCerita hanyalah fantasi penulis tetapi watak-watak di dalam cerita adalah berdasarkan watak sebenar disekelilling penulis. Cuma nama watak sahaja ditukarkan dan mungkin 'sidekick characters' sahaja yang menggunakan nama sebenar. Ada juga watak-wata...