BAB 2

26 5 0
                                    

"Ya Allah, ya Tuhanku... benarkah apa yang berlaku padaku kini? Aku bermohon kepada-Mu, Ya Allah. Jika ini adalah ujian-Mu, kuatkanlah hatiku. Berikan aku kekuatan untuk menghadapi segala dugaan ini dengan penuh reda dan sabar. Sembuhkanlah Ummi dan Abi kesayanganku, sedarkanlah mereka untukku, Ya Allah. Aku tak sanggup kehilangan mereka, belum bersedia..."

Air mata yang mengalir deras di pipi Ammara Sofea tak mampu ditahan lagi.

Setiap butir kata dalam doanya disertai esakan kecil, menyakitkan namun penuh pengharapan. 

Kesunyian surau hospital itu seolah-olah menjadi saksi bisu terhadap luahan hati gadis muda yang dihimpit perasaan takut dan hilang. 

Di ruang itu, Ammara sendirian. Dia memilih untuk menenangkan hatinya di hadapan Allah, tempat sebaik-baik bergantung.

Usai menunaikan solat zohor, Ammara Sofea melipat sejadah dengan gerakan yang perlahan, seakan tak mampu menanggung beban di bahunya. 

Di luar surau, tidak jauh dari pintu, seseorang memerhatikan. 

Langkahnya teragak-agak, seolah ragu-ragu untuk menghampiri atau membiarkan.

Saat Ammara Sofea berdiri, kakinya yang lemah hampir tersungkur.

"Sofea!"

Satu suara lelaki memecah kesunyian.

Aniq Amsyar, abang saudaranya, segera menyambar lengannya, mengelakkan gadis itu dari jatuh.

"Ya Allah, Sofea... Sofea okay ke? Apa yang berlaku ni?"

Air mata yang baru sahaja surut kembali membasahi pipi Ammara Sofea.

Dia hanya mampu memandang abang saudaranya tanpa bicara.

Hati yang terlalu pedih tidak memerlukan kata-kata untuk menyampaikan kesedihannya.

"Jom, kita pergi kafe dulu. Mummy kata Sofea belum makan, kan? Sofea tak boleh biarkan diri Sofea macam ni. Biar abang temankan Sofea, ya?" Aniq Amsyar memujuk lembut, cuba menenangkan hati adik saudaranya yang jelas dalam keadaan lemah.

Namun, kesedihan Ammara Sofea tak semudah itu untuk dipujuk.

Dengan suara yang bergetar, dia berkata, "Ummi... Abi... kenapa tinggalkan Ara? Mereka tak sayang Ara lagi ke?"

Tubuh kecilnya menggigil dalam pelukan Aniq Amsyar.

Air mata Ammara Sofea mengalir tanpa henti, dan kali ini, Aniq Amsyar tidak memaksanya untuk berhenti menangis. 

Dia tahu, tangisan itu adalah cara adik saudaranya meluahkan segala yang terpendam di hati.

Mereka duduk di bangku yang tersedia di luar surau, sambil memeluk erat bahu adik saudaranya.

"Sofea, nangislah... Luahkan apa yang Sofea rasa. Tak apa. Abang ada dekat sini. Sofea tak keseorangan. Kita semua ada untuk Sofea. Kuatkan diri, ya? Kita akan harungi semua ni sama-sama," kata Aniq Amsyar dengan lembut, cuba memberi kekuatan kepadanya.

Walaupun hubungan mereka tidak rapat, Aniq Amsyar merasa bertanggungjawab untuk menjaga adik saudaranya ini.

Dia tahu Ammara Sofea memerlukan seseorang untuk bergantung pada saat genting ini. 

Mereka jarang bertemu kecuali ketika majlis keluarga, menjadikan interaksi mereka agak janggal.

Namun, saat ini, kekakuan itu tidak lagi relevan. Apa yang penting, Ammara Sofea memerlukan sokongan, dan Aniq Amsyar bersedia untuk memberikannya.

Selepas hampir 15 minit memujuk, Ammara Sofea mula bertenang dan bersetuju untuk ke kafe. 

Mereka berjalan perlahan ke kafe hospital, di mana dia menyuruh Ammara Sofea duduk sementara dia membeli makanan.

Was It Unrequited Love?Where stories live. Discover now