BAB 20

16 3 0
                                        

Zarif Rifqi, Hayyan Lutfi, dan Faiq Darwisy hanya mampu berpandangan sesama sendiri, masing-masing seperti cuba membaca fikiran di antara mereka. 

Suasana di sekeliling mereka semakin tegang, dan walaupun pergaduhan antara Ammara Sofea dan Tengku Eariq Mikael belum berlaku, bahangnya sudah cukup untuk menarik perhatian pelajar-pelajar lain yang berada berdekatan. 

Ada yang mencuri-curi pandang, menanti sama ada sesuatu akan berlaku.

"Kau rasa....siapa yang patut masuk campur?" tanya Hayyan Lutfi perlahan, suaranya hampir tidak didengari kerana risau mencetuskan sesuatu yang lebih buruk. 

Matanya tidak lepas dari memerhatikan Ammara Sofea dan Tengku Eariq Mikael yang masih berdiri tegak di tengah-tengah koridor. 

"Takkan nak biar je? Nanti kalau kecoh, satu sekolah tahu."

Zarif Rifqi menghela nafas panjang sebelum menjawab, "Kalau ikutkan hati aku, aku pun tak mahu masuk campur. Korang tahu kan macam mana Mika? Kalau dia tak puas hati, biar dia yang settle sendiri. Kita jangan tambah minyak ke api."

Faiq Darwisy pula bersandar pada dinding, cuba kelihatan setenang mungkin, namun di dalam hatinya, dia tahu suasana ini semakin tak terkawal. 

Dia menundukkan kepala seketika, sebelum berkata perlahan, "Ya, betul. Aku setuju. Mika macam bom jangka. Salah langkah, dia meletup. Tapi masalahnya....kalau kita biarkan dia terus dengan perangai dingin dia tu, mungkin Sofea yang akan kena."

"Kau tengok muka dia....Sofea nampak macam nak menangis, tapi dia tahan. Kita tak boleh buat tak tahu." sambungnya lagi. 

Zarif Rifqi dan Hayyan Lutfi menelan air liur. Mereka tahu, Faiq Darwisy ada benarnya. 

Tengku Eariq Mikael bukanlah orang yang mudah untuk didekati, lebih-lebih lagi apabila dia sedang marah atau kecewa. 

Tapi Ammara Sofea juga bukan jenis yang mudah tunduk. Dia sering cuba mempertahankan dirinya, dan itulah yang membuatkan keadaan bertambah rumit.

Beberapa minit berlalu, namun tiada seorang pun daripada mereka yang berani untuk berganjak daripada terus menjadi pemerhati. 

Zarif Rifqi, Hayyan Lutfi, dan Faiq Darwisy hanya mampu melepaskan keluhan berat secara serentak.

"Okay, korang," Faiq Darwisy akhirnya bersuara, memecahkan kesunyian yang menyesakkan. 

"Aku gerak dulu. Penatlah. Kalau aku tunggu lagi kat sini, kepala aku yang meletup dulu. Esok je kita fikirkan apa nak buat kalau benda ni berpanjangan." 

Dengan santai, dia melambaikan tangan kiri ke arah dua sahabatnya sambil berjalan pergi. 

"Jumpa esok, byeee!"

Faiq Darwisy meninggalkan mereka dengan langkah yang kelihatan tenang, namun dalam hatinya dia tahu dia sedang melarikan diri dari keadaan yang tidak selesa. 

Dia memerlukan masa untuk bertenang dan menumpukan pada sesuatu yang lebih memberi ketenangan – piano. Muzik sentiasa menjadi pelarian dan sumber ketenangannya.

Seperti biasa, bilik muzik sekolah menjadi destinasi yang ditujunya setiap kali dia merasakan tekanan yang berat. Di situlah dia boleh menjadi dirinya sendiri, tanpa gangguan. 

Dia sering ke bilik muzik selepas sesi persekolahan tamat, bukan sahaja untuk berlatih, tetapi juga untuk melepaskan bebanan fikirannya.

"Lagi beberapa minggu je, Faiq....pertandingan besar tu. Kau tak boleh leka," katanya dalam hati, mengingatkan diri sendiri tentang tanggungjawab besar yang dipikulnya. 

Was It Unrequited Love?Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang