Tahun baru membuka lembaran baru dalam hidup Ammara Sofea.
Setahun telah berlalu sejak kehilangan kedua ibu bapanya, Ummi Fatimah dan Abi Muaz. Kehilangan itu meninggalkan kesan mendalam dalam hatinya, namun dia kini bertekad untuk memulihkan semangatnya yang hilang.
Hari ini, Ammara Sofea akan memulakan hidup baru di sekolah baru yang didaftarkan oleh mummy dan daddy. Dia tahu ini adalah langkah besar dalam hidupnya, dan dia berdoa agar segala urusannya dipermudahkan.
Bangun pagi dengan tekad, dia segera menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.
Setelah mandi, katilnya dikemas rapi dan dia memakai telekung untuk menunaikan solat subuh.
"Ya Allah, ya Tuhanku, aku memohon kepada-Mu agar Kau permudahkan segala urusanku hari ini dan hari-hari yang akan datang. Aku berharap Kau pertemukan aku dengan sahabat-sahabat baru yang baik, yang dapat menjadi penemanku dalam saat-saat sukar ini," doa Ammara Sofea dengan penuh khusyuk, seraya kedua telapak tangannya mengusap muka.
Setelah selesai berdoa, dia menatap bingkai gambar di atas meja sebelah katilnya, gambar kenangan bersama ibu bapanya. Hatinya meruntun mengenangkan mereka.
"Ummi... Abi. Mulai hari ini, Ara akan masuk sekolah baru. Sekolah yang mummy dan daddy daftarkan. Ummi dan Abi doakan Ara ya? Ara takut kejadian di sekolah lama berulang. Kalau berlaku, siapa yang akan tolong dan pujuk Ara?" bisik hatinya, air mata mula mengalir di pipi.
Tangan kanannya mengepal, dadanya ditepuk berkali-kali untuk menahan sebak.
Ketukan lembut di pintu bilik mengejutkannya dari lamunan.
"Fea? Sayang, dah siap ke? Kalau dah, jom turun breakfast. Mummy tunggu dekat bawah," suara mummynya memecah keheningan pagi.
Ammara Sofea pantas bangkit, menahan tangisan yang hampir tumpah. Dia melipat telekung dengan kemas dan meletakkannya di atas katil.
Uniform sekolah barunya yang sudah siap digosok diambil dari almari. Dengan pantas, dia menukar baju tidurnya dengan uniform tersebut dan menuju ke meja solek.
"Kau boleh, Ara! Kau kuat! Mummy, daddy, abang Qasy, dan abang Am sayang dekat kau. Jangan hampakan mereka dan yang paling penting, jangan buat mereka risau," kata-kata semangat diberikan buat dirinya sendiri di pantulan cermin meja solek.
Dengan pakaian uniform baru, Ammara Sofea keluar dari bilik tidurnya. Baru sahaja dia ingin menuruni anak tangga, lengan kirinya terasa digapai.
"Bau ni, macam familiar la..." sapa satu suara garau dari arah belakang.
Mendengar sapaan itu, Ammara Sofea memusingkan badan. Ternyata abang saudaranya, Qasy Raihan, yang menyapanya dengan mesra.
"Eh, abang Qasy! Haah, ini bau minyak wangi yang abang bagi untuk hari jadi Fea dulu. Terima kasih abang, Fea suka sangat," jawabnya dengan nada teruja.
Senyumannya melengkapkan ucapan tersebut. Mereka berdua menuruni anak tangga bersama, menuju ke dapur.
"Fea, abang suka tengok diri Fea yang sekarang ni. Nampak ceria je. Sejuk hati abang bila Fea dapat kawal diri. Alhamdulillah," kata Qasy Raihan semasa mereka tiba di tingkat bawah.
Ammara Sofea menoleh ke arah Qasy Raihan dengan senyuman tipis yang menampakkan lesung pipit di pipinya.
Tidak dinafikan, kedua abang saudaranya, Qasy Raihan dan Aniq Amsyar, sangat prihatin terhadapnya.
Dia merasa bersyukur kerana dikurniakan abang-abang saudara yang baik hati yang menganggapnya seperti adik kandung sendiri.
"Ha, turun dah anak-anak kesayangan mummy. Meh, duduk sini sayang. Mummy ada masakkan makanan kegemaran awak. Sofea nak yang mana? Mummy ambilkan," sapa mummy Mariam sambil menghidangkan sarapan di meja makan.

ANDA SEDANG MEMBACA
Was It Unrequited Love?
RomanceTengku Eariq Mikael x Ammara Sofea. Tengku Eariq Mikael. Seorang lelaki yang mempunyai pendirian diri, agak dingin dengan orang yang tidak rapat dengannya, tidak berperasaan, mempunyai tiga orang sahabat baik sejak sekolah rendah. Ammara Sofea. Se...