BAB 4

22 2 0
                                        

Kepala ditolehkan ke kiri dan kanan. Hampa. Tiada orang. Dengan langkah yang agak canggung, kaki terus dibawa melangkah ke arah dapur, berharap untuk menemui ahli keluarganya di sana. Mungkin mereka ada di dapur, mungkin tidak.

"Selamat pagi, prince. Duduklah, kita sarapan sama-sama," sapa suara lembut dari arah belakang, menyentuh telinganya dan membuatkan dia tersenyum ke arah wanita yang digelar mama itu.

Kepalanya ditolehkan ke kanan, kiri, dan belakang seakan mencari sesuatu. 

Wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu memandangnya dengan penuh rasa ingin tahu, mungkin hairan melihat gelagat anak bongsunya yang kelihatan seperti sedang mencari sesuatu.

"Kamu cari siapa, Mika? Papa? Abang Emir? Ke Kak Aisy?" soalan itu dilontarkan dengan nada lembut namun penuh prihatin, membuatkan Tengku Eariq Mikael, anak bongsunya yang sedari tadi kelihatan agak cemas, terdiam seketika.

"Kalau iya pun, duduklah dulu," sambung wanita itu sambil menarik nafas panjang. 

"Hailaa, anak bongsu mama ini," bisik Tengku Khadija dalam hati, sambil tersenyum melihat gelagat anak bongsunya.

"Haah, mana semua orang? Tak turun sarapan sekali ke?" soal Tengku Eariq Mikael dengan riak wajah yang keliru. 

Dia mula mengambil tempat duduk di meja makan yang terletak berhadapan dengan Tengku Khadija, mamanya.

Anak bongsu Tengku Khadija, seorang pelajar lelaki bernama Tengku Eariq Mikael, kelihatan dingin dari luaran, namun sebenarnya sangat prihatin apabila melibatkan ahli keluarganya. 

Itu adalah sifat yang sentiasa disedari oleh Tengku Khadija.

"Papa kamu awal pagi lagi dah gerak ke pejabat. Abang Emir pula, seperti biasa malam tadi dia balik lewat. Sekarang dia tengah tidur lagi tu dalam bilik. Mimpi apa mama tak tahu. Kak Aisy pula on call malam tadi, jadi dia tak balik lagi," balas Tengku Khadija dengan nada yang lembut namun penuh makna, sambil menghidangkan pinggan nasi goreng ke arah Tengku Eariq Mikael.

Selesai memberitahu segala persoalan yang bermain di minda Tengku Eariq Mikael, pinggan yang berisi nasi goreng disua ke arahnya.

"Hmmmm," Tengku Eariq Mikael hanya menggumam sebagai balasan. 

Dia mengambil pinggan tersebut dan mula menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya. Air tangan Tengku Khadija yang tidak pernah mengecewakan, memenuhi cita rasa mereka sekeluarga.

Terasa dirinya diperhatikan, Tengku Eariq Mikael mengangkat wajahnya dan memandang mamanya yang jelita. 

Kerutan di dahinya makin ketara apabila dia sedar Tengku Khadija hanya memandangnya tanpa berkelip. Rasa tidak selesa mula menyelinap dalam dirinya.

"Kenapa dengan mama ni? Aku ada buat salah ke? Jangan-jangan......" bisik hati Tengku Eariq Mikael. 

Namun, bisikan hatinya terhenti apabila Tengku Khadija akhirnya memulakan bicara.

"Handsomenya prince mama ni. Kamu makan apa setiap hari? Mama tengok kamu makin handsome. Jamu atau produk mana yang kamu pakai? Kongsilah dengan mama. Mama nak juga jadi cantik setiap hari," puji Tengku Khadija jujur sambil mencarikkan senyuman manis. Matanya bersinar penuh kasih sayang.

"What the English people used to say? Ah, beauty with brains," sambungnya lagi dengan nada ceria. 

Kali ini, dia hanya tersengih melihat Tengku Eariq Mikael yang kelihatan fokus mengisi perutnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa anak lelakinya ini memiliki rupa paras yang kacak, ketinggian yang mencecah 185 cm, dan tidak dilupakan juga, dia seorang pelajar cemerlang di sekolahnya. Kesimpulannya, sempurna di mata Tengku Khadija.

Was It Unrequited Love?Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang