BAB 18

16 3 0
                                    

"Macam mana keadaan Sofea, doktor?" tanya Inara Amni dengan penuh kerisauan, matanya tajam memerhati Dr. Iza yang baru sahaja selesai memeriksa Ammara Sofea.

Dr. Iza tersenyum lembut, cuba menenangkan kedua-dua gadis yang jelas kelihatan risau. 

"Dia okay, tak ada apa yang perlu dirisaukan sangat. Cuma kaki dia terseliuh sikit. Jadi, ada bengkak di bahagian buku lali. Ammara Sofea ye? Awak jangan risau. Rehat secukupnya, dan kalau ada apa-apa keperluan, awak boleh panggil saya. Saya ada di bilik sebelah." 

Sambil berkata begitu, Dr. Iza meletakkan tangan lembut di bahu Ammara Sofea, menandakan agar dia tidak perlu khuatir.

Ammara Sofea menarik nafas panjang, lalu menganggukkan kepalanya tanda memahami. Inara Amni, yang sejak tadi berdiri di sisi, duduk kembali di kerusi yang tadi menjadi tempatnya menunggu. 

Matanya tidak lepas dari memandang Ammara Sofea yang kelihatan masih cuba menahan rasa sakit.

"Fea, kalau kaki awak masih sakit, jangan paksa diri. Awak rehat je, okay? Nanti saya boleh beritahu Sir Firdaus yang awak tak sihat. Saya yakin Sir akan faham," kata Inara Amni dengan suara lembut tetapi tegas, penuh rasa prihatin. 

Tangan kanannya mengusap lembut buku lali Ammara Sofea yang dibalut dengan kemas oleh Dr. Iza. 

"Lagipun, awak dengarkan apa yang Dr. Iza beritahu tadi? Awak cuma kena rehat je, okay. Tak payah risau."

Ammara Sofea tersenyum lemah, cuba menghiburkan hati sendiri dan hati Inara Amni. 

"Saya tak sangka semua ni jadi hanya sebab saya tak perasan permukaan lantai tu licin. Kalau saya lebih berhati-hati tadi, mesti semua ni tak berlaku," Ammara Sofea mengeluh, matanya memandang ke arah kakinya yang sakit.

Inara Amni menggeleng perlahan. 

"Eh, awak jangan fikir macam tu. Kadang-kadang benda yang tak dijangka macam ni memang boleh berlaku. Yang penting, awak tak cedera teruk. Nasib baik Mika sempat tarik lengan awak sebelum awak jatuh tersungkur."

Ammara Sofea terdiam seketika, mengingati saat Tengku Eariq Mikael menyelamatkannya pagi tadi. Sungguh, dia masih tidak dapat memahami tindakan lelaki dingin itu. 

"Ya... Eariq Mikael. Saya pun tak sangka dia akan tolong saya. Dia kan selalu macam... tak kisah hal orang lain?"

Inara Amni merenung wajah Ammara Sofea dengan penuh rasa ingin tahu. 

"Awak tak rasa pelik ke? Saya memang tak faham betul. Selalunya Eariq Mikael tak pernah campur hal orang. Tapi hari ni, dia muncul masa awak betul-betul perlukan bantuan. Saya mula rasa macam ada yang tak kena."

Ammara Sofea tersenyum, cuba mengalih perhatian dari persoalan itu. 

"Mungkin kebetulan saja, Inara. Lagipun, diakan ketua pelajar. Takkanlah dia nak biar saya jatuh depan mata dia tanpa buat apa-apa, kan?"

Sebelum Inara Amni sempat memberi balasan, tiba-tiba pintu bilik kesihatan diketuk. Kedua-dua gadis itu berpaling ke arah bunyi tersebut, ingin tahu siapa yang datang.

Pintu bilik kesihatan terbuka, dan di situ berdiri seorang lelaki yang tidak asing lagi bagi mereka— Tengku Eariq Mikael. 

"Eariq Mikael!" seru Inara Amni dengan nada yang sedikit terkejut. Wajahnya berubah seakan tidak senang dengan kehadiran lelaki itu.

Namun, sebelum Inara Amni sempat berkata lebih lanjut, Ammara Sofea segera mencapai pergelangan tangannya, memberi isyarat agar Inara Amni tidak berkata apa-apa yang mungkin membuat keadaan lebih rumit. 

"Inara, takpe. Saya okay," bisik Ammara Sofea perlahan.

Tengku Eariq Mikael melangkah masuk ke dalam bilik kesihatan itu dengan tenang, tanpa menunjukkan sebarang reaksi terhadap teguran Inara Amni terhadapnya. 

Was It Unrequited Love?Where stories live. Discover now