"Man, tak payahlah nak keluar malam-malam buta. Kang terserampak ngan setan, padan muka kau."
"Alah, mak ni. Orang nak pi jalan kat pasar depan tu jek."
"Tak usah. Dah malam sangat ni. Cubalah sekali ..."
Kata-kata Mak Leha terputus apabila enjin motor Aiman berbunyi meninggalkan perkarangan rumah. Dia hanya mampu menggelengkan kepala. Memang susah mahu membesarkan anaknya yang seorang itu. Pintu rumah dikunci.
*****
Motor diparkir bersebelahan dengan perhentian bas. Sebatang rokok diambil lalu aktiviti pemusnahan peparu dimulakan. Bunyi burung hantu menemaninya pada malam itu sambil menanti kehadiran rakan-rakannya yang lain.
"Wei! Lama lagi ke? Bus stop ni dah berkabus dek asap rokok aku."
"Sorrylah Man. Aku ngan David ada hal lain. Kau balik jelah."
"Pergh, cenggini kan? Janji Melayu betul."
"Oklah, gerak dulu. Chow!"
Aiman membebel sendirian memaki Sufian dan David. Panas hati apabila mengenang kembali. Sia-sia dia menipu Mak Leha. Kalaulah dia dekat rumah sekarang, boleh dia layan ulangan Tundukkan Playboy itu. Dapat juga berangan kahwin dengan Harraz Naufal. Eh kejap! Silap. Kahwin dengan Nurin.
Bau sengit menusuk hidungnya menyebabkan dia terbersin. Cecair yang keluar dari hidung dikesat menggunakan baju T yang dipakai.
"Bau apa pula ni? Pelik semacam jek."
Bulu roma mula meremang membuatkan Aiman mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Terus dia menunggang motosikal merempuh kegelapan malam. Lampu motor yang seakan-akan hidup segan, mati tak mahu menyukarkan dia untuk melihat.
"Haih, lampu jalan pun tak ada. Apa dah bankrupt ke kampung ni?"
Tiba-tiba, dia dikejutkan dengan kabus tebal yang menutupi jalan raya. Kelihatan seorang gadis sedang memakai kebaya putih berkain batik sambil memegang sekaki payung berjalan dengan sopan-santun. Aiman terleka seketika melihat biasan imej yang terpantul di cermin sisi. Otaknya mula bekerja keras untuk menghantar maklumat.
"Nak pusing balik ke tak? Kalau pusing balik, aku boleh tumpangkan dia. Tapi kalau terus, aku boleh balik awal dating ngan Nurin."
Sedang dia fokus berfikir, gadis itu berjalan di sebelahnya. Aiman terus menoleh ke kiri.
"Lajunya jalan. Abang bawa 80 km/j pun adik boleh kejar? Keturunan Usain Bolt ke?"
Gadis itu hanya tersenyum malu.
"Saya bukan keturunan Usain Bolt. Tapi saya kejar mangsa sampai saya kenyang."
"Uish, ganasnya. Oklah, abang pun dah sampai. Jumpa lagi ya."
Motor diparkir di bawah rumah. Pintu diketuk dengan rasa bahagia. Nurin dia dapat, si gadia berpayung pun dia dapat.
"Dah balik? Awalnya."
Aiman terus masuk ke rumah, tangan tua emaknya disalam lalu memeluk kejap tubuh wanita itu.
"Man rindu emak."
"Buang tabiat agaknya."
"Good night, mak."
*****
"Aiman. Aiman. Aiman."
"Haih, siapalah yang seru nama aku ni? Tak tahu malam ke?"
Jam loceng di tepi katil dipandang, 3 pagi. Selimut dinaikkan hingga menutupi keseluruhan tubuhnya.
"Aiman, saya datang."
Dia tersedar dari lenanya. Menggosok kedua-dua belah mata agar penglihatannya semakin jelas. Ya. Sungguh jelas sehingga dia terlihat sepasang tubuh yang terapung dalam keadaan meniarap betul-betul berada di atas tubuhnya. Wajah si gadis berpayung semakin hampir dengan wajahnya. Bau wangi mula memenuhi ruang bilik.
"Rindu saya?"
"Macam mana awak masuk? Kenapa awak terapung?"
"Kan mak dah cakap jangan jalan malam-malam."
Wajah si gadis berpayung terus bertukar berubah. Kini, wajahnya dipenuhi ulat-ulat sampah yang mengorek isi dagingnya. Selendang yang menutupi rambut sudah terlurut jatuh di sisi katil lalu menonjolkan kepalanya yang berlubang. Tengkoraknya dipenuhi dengan nanah hijau. Habis wajah Aiman dipenuhi ulat yang jatuh dan nanah yang menitis.
Aiman tergamam. Dia tidak mampu menggerakkan tubuh badannya.
"Maafkan Aiman, mak. Ampunkan, Aiman."
Taring pada mulut si gadis berpayung terbenam tepat pada wajah Aiman. Kuku yang tajam digunakan untuk merobek perutnya lalu mengeluarkan organ-organ. Darah yang tersembur keluar dihirup sepuas hati.
"Terima kasih, Aiman."
Selendang dipakai kembali lalu berlalu keluar dari bilik lelaki itu.
YOU ARE READING
Seram Merapu
Horror[CERTOT] Cerita kontot yang tak masuk akal. Jangan baca kalau anda berfikiran logik dan realistik! Sebuah certot seram yang sekadar geli-geleman.