Aku masih ingat lagi malam itu. Masih segar bagaikan baru semalam ianya terjadi. Ini merupakan Annual Purge Day yang kelima sejak ia diperkenalkan. Suasana malam itu sungguh dingin seakan hujan lebat mahu turun. Tiada bulan dan bintang.
Seperti Purge Day yang sebelumnya, aku dan abangku akan memastikan seluruh pintu dan tingkap rumah ditutup dan berkunci. Malah kami juga membentengkan rumah itu dengan memasang grill besi. Untuk satu hari dalam setahun, rumah kami akan kelihatan seperti kubu yang ditutup rapi. Selalunya, sehari sebelum Purge Day, kami sibuk membeli barang makanan dan lain-lain keperluan kerana tidak mahu keluar rumah apabila acara ini berlangsung. Jadi, kami akan makan malam setelah memastikan rumah dilindung rapi.
Aku sedang menonton televisyen ketika abangku memasak di dapur. Terdapat beberapa iklan mengenai Purge Day ditayangkan. Ia mengingatkan aku sewaktu pertama kali Purge Day diusulkan di Parlimen. Aku ketika itu berusia 14 tahun. Tidak mengetahui apa-apa berkenaan hal sebegini. Yang aku tahu, di jalan-jalan serta bangunan kerajaan, ramai orang berhimpun menunjukkan bantahan terhadap usul ini. Mereka mengangkat sepanduk dan kain rentang bagi menunjukkan tanda protes. Ada yang membawa bendera Amerika dan membakarnya di depan bangunan Parlimen.
Televisyen menayangkan siaran langsung dari dalam dewan itu. Huru-hara. Aku tidak tahu apa yang mereka tengkar dan debatkan. Lalu aku menoleh ke arah ayah aku yang duduk di sebelah. Wajahnya kelihatan sugul bergaul resah.
"Negara kita semakin hancur, Man", ujar ayah dalam nada sedih. Serius, aku tidak faham. Apa yang sedang berlaku? Lalu, ayah menerangkan kepada aku.
"Bangsat-bangsat ni nak cadang buat Purge Day sebagai acara tahunan. Nak jadikan sebagai tradisi!".
Purge Day? Hari apa tu? Sukan tahunan ke? Hari memperingati pahlawan ke? Tradisi? Tradisi apa yang ayah aku maksudkan ini? Lalu aku mengambil kamus dan mencari maksud perkataan "Purge". Aku dapati ia bermakna "singkir". Hari singkir? Singkir apa? Pelbagai soalan bermain dalam kepala aku. Selama aku hidup sehingga menjadi remaja, inilah baru pertama kali aku mendengar Purge Day ini.
Ayah memegang bahu aku dengan kemas sambil memandang tepat ke arah wajahku. Wajahnya kelihatan gusar dan sedih. Beliau yang aku kenali seorang yang kuat. Tidak akan gugur walaupun setitis air mata di depan anak-anaknya. Sewaktu nenek meninggal dunia, ayahku tidak menangis. Aku tahu beliau sedih tetapi entah bagaimana, beliau dapat menahan supaya tidak menunjukkan beliau lemah. Sebagai anak sulung, ayah aku tidak mahu adik-beradiknya melihatnya dalam kesedihan. Supaya yang lain boleh berasa dirinya sebagai seorang anchor. Tempat bergantung. Jadi, melihat dirinya yang sedih melihat televisyen itu pastinya menimbulkan tanda soal. Apa sebenarnya yang sedang terjadi sehingga ayah aku jadi begini.
Ayah aku menerangkan kepada aku segalanya. Beliau tidak mahu selindung. Aku seorang budak remaja yang masih mentah dengan dunia luar. Bukan budak kecil lagi. Mungkin ayah ingin aku bersedia dengan apa-apa perkara yang boleh berlaku. Perbualan kami masih terngiang-ngiang dalam kepala.
"Purge Day ini adalah satu hari di mana semua jenayah seperti bunuh, rompak, rogol dan sebagainya adalah sah dan dibenarkan. Orang akan mula berbunuhan sesama sendiri.. Selama 12 jam berterusan!".
"Hah! Apa? Takkan polis takde untuk kawal?", soalku terkejut.
"Takde, Man. Semua khidmat polis, bomba dan ambulan digantung sehingga berakhirnya Purge Day".
"Ini gila!", aku membentak.
"Isk.. takkanlah Purge Day ini akan diluluskan?".
"Nak buat macam mana, Man? Undian dalam dewan telah dibuat. Mereka menang.. Mereka akan laksanakan".
YOU ARE READING
The Purge: Tanahairku - Pembelaan
Mystery / ThrillerMelihat abangku dibunuh kejam depan mata merubah diri aku serta merta. Aku bukan lagi budak lelaki yang memandang dunia ini di sudut yang baik. Bagi aku, apabila manusia diberi peluang untuk bebas daripada undang-undang, semuanya akan menjadi binata...