Bab 14

240 13 2
                                    

Deruman guruh berkumandang di luar sana. Hari sudah mahu hujan. Aku terduduk di tepi tingkap sambil melihat pokok-pokok di hutan luar sana menari-nari ditiup angin yang kuat. Seolah mereka melambai-lambai kepadaku.

Hatiku terasa sedikit sayu. Kini sudah sebulan aku duduk terperuk di rumah agam Fairuz. Aku langsung tidak dibenarkan untuk keluar atas apa jua alasan sekalipun. Sebulan yang penuh dengan cabaran. Cabaran ke atas fizikal dan juga mentalku. Sebulan sudah sejak aku bergelar pembunuh.

Apakah adanya perubahan terhadap diriku? Sudah tentu. Kehidupan aku berjalan seperti biasa. Tetapi terdapat sesuatu di dalam hati ini yang membuatku rasa berat sekali. Ia membuatkan aku berasa sugul dan muram. Terasa seperti ada sesuatu yang gelap tertanam nun jauh di sudut hati. Dan walau macam mana aku buat sekali pun, ianya tidak akan hilang.

Tinggal di dalam rumah ini bukan seperti tinggal di hotel. Ini bukan percutian. Ia adalah suatu latihan yang Fairuz sediakan kepadaku. Setiap pagi aku akan dikejutkan oleh butler Fairuz dan latihan fizikal seperti seni pertahanan diri akan diadakan sejurus selepas itu. Kadang-kala aku akan dikejutkan pada jam 3 pagi. Kadang-kala pukul 5 pagi. Tidak menentu. Fairuz ingin aku bersedia tidak kira waktu.

Fairuz tidak pernah sertai aku di dalam kelas pertahankan diri itu. Semuanya dikendali oleh orang-orang yang digajikan olehnya. Jika dilihat hubungan antara mereka, seolah mereka telah lama kenal.

Selain daripada fizikal, Fairuz juga melatih mentalku. Beliau ingin melatihku menjadi lebih berani. Supaya tidak teragak-agak di masa-masa yang genting. Beliau sekali-sekala akan bersembang denganku untuk mengkaji mindaku. Kadang-kala pula beliau akan memberikan aku menonton video-video keganasan The Purge yang terdahulu. Di situ aku dapat lihat, aku bukan keseorangan. Terdapat ramai lagi orang ya g senasib denganku. Yang kehilangan seseorang yang disayangi. Menjadi seorang pendendam dan ingin membalas dendam. Ramai yang telah Fairuz tolong.

Sepanjang aku tinggal di sini, aku tidur di sebuah bilik yang disediakan Fairuz. Bilik itu sememangnya sebuah guest room, yang disediakan untuk tetamu yang ingin bermalam di rumah itu. Memandangkan tiada tetamu Fairuz yang berkunjung ke rumah besar itu buat masa ini, maka bilik itu diberikan kepadaku sehingga segalanya selesai.

Di dinding bilik itu terdapat kertas manila yang besar ditampal kemas. Di atas kertas itu terpampang carta-carta organisasi The Sweeping League yang diketuai oleh Encik Salleh. Siapa Encik Salleh? Ya.. Orang yang telah aku bunuh itu.

Di bawah gambar Encik Salleh, terdapat beberapa nama kuncu-kuncunya yang diberi kepercayaan untuk menjalankan agenda mereka. Dan of course, salah satu nama itu adalah Si Tenang.

Di sebelah kiri dan kanan nama Si Tenang itu, terdapat beberapa nama lagi ahli kumpulan The Sweeping League. Aku tidak hiraukan nama-nama yang lain kerana sememangnya mereka tidak ada kena mengena dengan dendamku. Yang aku fokus sekarang adalah Si Tenang.

Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan Fairuz, petunjuk-petunjuk mengenai diri si bangsat itu dikumpulkan di bawah namanya. Daripada saiz fizikal, lokasi operasi dan sebagainya. Cuma sekarang, apa yang perlu dicari adalah identiti, siapakah tuan empunya badan di sebalik topeng itu.

Identiti mereka disimpan dengan begitu rapi sekali. Ahli-ahli kumpulan itu sememangnya dirahsiakan demi melindungi mereka tatkala di luar waktu The Purge. Mereka takut andai orang macam aku akan mula memburu ahli-ahli kumpulan itu. Tetapi dengan maklumat yang diperolehi, aku tak rasa menjejaki Si Tenang akan mengambil masa yang lama. Itulah sebabnya aku bertungkus-lumus untuk mempersiapkan diriku. Setiap hari aku bisik kepada diriku sendiri, "Tak lama lagi Tenang.. Jaga kau.. Jaga!"

"Haih.. duk tenang papan dinding kenapa? Tak sabar ke?", segah Fairuz dari belakang. Aku tak perasan langsung beliau memasuki bilikku disebabkan terlalu fokus.

The Purge: Tanahairku - PembelaanWhere stories live. Discover now