Kami berdua tersentak. Sama-sama rasa berdebar. Abang aku berdiri dan mendapatkan aku.
"Man.. kau masuk ke dalam bilik dan pergi ambil pistol kita.. Lekas!", arahnya dalam keadaan berbisik.
Aku berasa sangat takut. Selama ini, tidak pernah sesiapa kacau kami sewaktu Purge Day. Siapa yang ingin apa-apakan kami? Aku terkaget sebentar sebelum abangku mengulangi arahannya dengan nada yang lebih tinggi. "Lekas!".
Aku berlari ke dalam bilik untuk mengambil pistol di dalam laci almari. Aku ambil pistol itu dan memeriksa samaada ianya telah diisi dengan peluru. Kosong. Diriku semakin panik. Sambil aku mencari peluru di semua laci yang ada, grill kami dihentak berkali-kali. Boleh kedengaran kekuatan grill itu semakin lemah.
"Man! Cepat!", abangku teriak sambil memandang aku dari luar bilik. Di tangannya terdapat sebatang kayu besbol kepunyaannya. Aku menyumpah kepada diri sendiri. Macam mana dalam keadaan Purge Day ni, langsung kami tidak bersedia dengan senjata? Terlalu mengharapkan grill besi depan rumah sahaja sebagai benteng. Aku mengeluh berulang kali.
Setelah jenuh mencari, akhirnya aku menjumpai kotak yang berisi peluru di dalam salah satu laci yang aku selongkar. Aku terus memasukkan peluru-peluru itu ke dalam pistol. Tanganku menggigil. Beberapa peluru terjatuh daripada tangan aku.
"Celaka!", aku memaki diri sendiri. Tanpa berfikir panjang, aku menundukkan badan untuk mengutip peluru yang terjatuh.
Tiba-tiba terdapat satu bunyi seakan letupan di pintu depan rumah. Aku terkejut. Aku seakan tidak dapat menggerakkan badan. Abangku yang berada di depan tiba-tiba berlari masuk ke bilik dan mengunci pintu. Beliau terus mendapatkan aku dan terus membuka almari baju. Kami berdua masuk bersembunyi di situ. Aku dapat merasakan badan abang aku menggigil. Melihatnya begitu membuatkan aku turut sama. Tangannya menutup mulutku supaya aku tidak bersuara, takut-takut nanti didengari.
"Grill rumah kita dah pecah, Man.. Jangan bersuara apa-apa.. nanti dia dengar...", abangku berbisik dengan nada terketar. Kemudian, beliau cuba mengamati pergerakan daripada penceroboh yang masuk itu. Sunyi dan sepi. Tidak kedengaran apa-apa selain bunyi tembakan dan jeritan manusia di luar seperti sebelum ini.
"Mana pistol tu?", tanya abangku. Dengan tangan yang menggigil, aku menghulurkan pistol yang telah aku isi dengan peluru separuh.
"Peluru tak penuh.. Ada yang terjatuh tadi..", aku beritahunya.
"Shhh!", abangku memberi isyarat senyap menggunakan jarinya. Kemudian beliau memeriksa barrel pistol tersebut. Ada 3 peluru yang berjaya aku isi. Abang aku menggelengkan kepalanya sambil menutup mata. Aku tahu beliau kecewa dengan aku.
"BAM!!", pintu rumah kami dihentak sehingga berlubang. Boleh kedengaran bunyi kayu bersepai melanggar dinding dan jatuh ke lantai. Kejutan itu membuatkan kami makin terperosok di dalam almari itu. Dada aku semakin kencang. Di pintu almari itu terdapat lubang-lubang kecil yang membolehkan aku melihat keluar. Aku cuba amati melalui lubang itu. Terdapat bunyi tapak kaki yang berjalan di ruang tamu. Sambil melangkah, kakinya memijak kayu-kayu pintu yang pecah.
"Klakk Klakk Klakk..", tapak kaki itu kedengaran semakin menghampiri. Aku menelan air liur. Bibirku terketar. Dari lubang itu aku boleh melihat pintu bilik yang ditutup abangku tadi. Di bawahnya, aku ternampak satu bayangan yang berjalan melintasi bilik itu. Tuhan saja tahu bagaimana kencangnya jantungku ketika itu.
"Skreett..", kedengaran dinding dilalukan dengan objek yang keras. Penceroboh itu seakan mengejek. Beliau bersiul sambil berjalan. Siulan itu seakan alunan lagu "Merdeka" nyanyian asal Sudirman.
YOU ARE READING
The Purge: Tanahairku - Pembelaan
Mystère / ThrillerMelihat abangku dibunuh kejam depan mata merubah diri aku serta merta. Aku bukan lagi budak lelaki yang memandang dunia ini di sudut yang baik. Bagi aku, apabila manusia diberi peluang untuk bebas daripada undang-undang, semuanya akan menjadi binata...