"Man.. Man.. Bangun.. Dah pagi ni..", pipiku ditampar lembut oleh Zaitun pagi itu. Mataku terasa bagai terlekat. Masih lagi tidak puas tidur. Sudah sememangnya aku jenis bangun lewat. Hm.. Bukanlah lewat sangat, tapi tak adalah sampai bangun jam 7 pagi. Lainlah Zaitun. Beliau sememangnya seorang "morning person".
Dalam keadaan mamai, aku cuba menarik kembali selimut. Suasana dingin pagi memang membuatkan aku rasa seperti di awang-awangan. Cepat sahaja angin pagi yang bertiup dari tingkap membelaiku untuk kembali tidur. Zaitun yang dari tadi melihat aku berdegil mula merasa bosan. Beliau cuba kejutkan aku sekali lagi. Namun reaksi aku masih lagi sama.
Disebabkan tidak boleh tunggu lagi, Zaitun menarik ke semua selimut dan membaluti badannya. Beliau bangkit dari katil, meninggalkan aku terlentang tanpa seurat benang.
"Ah!", aku menjerit kecil apabila terasa angin dingin berhembus ke seluruh badanku. Semua otot-ototku dari atas hingga ke bawah terasa kecut.
"Hey.. Apa kau buat ni?", soalku dalam keadaan mamai. Secara spontan, aku terduduk di katil itu sambil menutup bahagian badanku yang patut.
"Kau tu la.. aku dah kejut berapa banyak kali pun tak nak bangun. Kan.. rasakan. Padan muka.."
"Aku ngantuk lagi la.."
"Aku tak tau dengan kau, tapi aku perlu pergi kerja kejap lagi. Kau tak nak keluar sekali ke?"
Aku menggosok-gosokkan mataku. Mentari mulai terbit dan menyuluhkan cahayanya tepat ke dalam bilikku. Dalam keadaan kepala masih belum stabil, aku cuba mengingati agenda aku untuk hari itu. Seingat aku, aku tiada kuliah di kolej. Jadi aku agak lapang hari ini. Kalau ada pun, kelas Muay Thai pada waktu malam.
"Hari ni aku takde apa-apa la Zaitun. Malam kang je la ada kelas tomoi.."
"Hm.. ok la kalau macam tu. Cuma.. Kalau kau tak keluar dengan aku, kau kena jalan kaki naik bas untuk pergi ambil motorsikal kau tu.."
Mataku terbuka luas. Tak ye juga. Motor aku masih lagi di mapley semalam. Macam mana nak pergi ambil kalau tak tumpang si Zaitun ni? Ah, sudah.. Masak aku kalau nak naik bas semata pergi ambil motor di sana.
"Eh, beb.. tunggu. Aku ikut kau.."
Zaitun tersenyum. Selepas memandangku dengan sekilas, beliau berlalu ke bilik air. Sebelum pintu bilik air itu ditutup, beliau sempat ujar, "Kalau macam tu, baik kau bangkit dan bersiap"
Aku sekadar mengangguk sendirian dan turun dari katilku. Selepas mengeliat, aku memakai tuala dan terus menuju ke bilik air tingkat bawah. Aku tidak mahu Zaitun menungguku untuk bersiap. Dia tu bukannya aku tak kenal. Mulutnya boleh tahan pedasnya bila membebel.
Setelah 45 minit berlalu, kami berdua sudah pun bersiap dan sama-sama menuju ke restoran mapley untuk mengambil motorsikalku. Aku menawarkan Zaitun sarapan tetapi beliau menolak. Sudah lewat ke tempat kerja katanya. Sesudah itu, aku membawa motorsikalku dan pulang kembali.
Seharian aku duduk termenung memikirkan keputusan yang bakal aku ambil. Patut atau tidak aku terima ujian terakhir Fairuz itu? Ini adalah satu langkah yang besar. Tidak boleh dibuat main. Melibatkan nyawa. Bukan boleh ambil kemudian tarik kembali. Kalau aku nak pun, tak mungkin Fairuz akan bagi. Dia tidak seperti itu. Aku tak rasa beliau boleh toleransi benda-benda macam ni.
Ah.. Daripada memeningkan kepala sendiri, baik aku sambung tidur. Cukupkan rehat aku untuk malam ini. Lagipun bukannya aku ada apa-apa nak buat.
Begitulah kehidupan aku yang saban hati semakin sia-sia. Aku baru terperasan, aku semakin tidak produktif. Kadang tu aku risau juga. Duit simpanan yang aku ada sekarang entah tinggal berapa. Pihak insuran telah beri pampasan kembali kepada aku atas kematian abangku. Tetapi tidaklah sampai berjuta nilainya. Dan aku gunakan untuk jalani hidup aku tanpa apa-apa usaha untuk beranakkan duit itu lagi. Kalau dah habis macam mana? Apa yang boleh buat? Dengan keadaan kolej yang aku dapat rasakan bakal tendang aku disebabkan rekod kedatangan buruk serta prestasi akademik yang semakin merosot, aku barangkali akan berakhir menjadi seorang penganggur tanpa sijil. Kerja apa aku boleh dapat? Kerja-kerja budak SPM? Sampai bila? Nak buat bisnes sendiri aku tak reti. Kerja sambilan yang aku ada sekarang ni pun entah ada lagi atau tidak. Ye, mereka bayar gaji per hari. Tapi, aku sudah lama tidak hadir. Mungkin mereka sudah pun mempunyai pengganti tempatku.
YOU ARE READING
The Purge: Tanahairku - Pembelaan
Mystery / ThrillerMelihat abangku dibunuh kejam depan mata merubah diri aku serta merta. Aku bukan lagi budak lelaki yang memandang dunia ini di sudut yang baik. Bagi aku, apabila manusia diberi peluang untuk bebas daripada undang-undang, semuanya akan menjadi binata...