"Baik, Man. Kau kenal kan siulan tu? Dia dah dekat dah tu..", abangku bernada sinis. Seolah cuba menakutkan aku lagi. Aku sememangnya sudah lencun dibasahi peluh sejuk yang berjurai-jurai jatuh dari dahi.
Siulan itu semakin menggamatkan suasana. Seiring siulan itu, kedengaran bunyi parang yang sengaja diseret di dinding.
"Skreeeeek!"
"Kau dah bersedia, Man? Ini adalah peluang kau. Lindungi abang seperti mana kau mahukan dahulu.."
Aku menoleh ke arah abangku. Wajahnya tampak tenang. Beliau melutut di lantai seolah menanti sesuatu. Dengan nada bersahaja, beliau ujar, "Nyawa abang di tangan kau sekarang, Man. Kau yang tentukan hidup mati abang sekarang..".
Dadaku semakin berdegup kencang. Tiba-tiba terasa bagaikan tekanan hebat sedang melanda diriku. Secara jujur, aku merasa sungguh takut untuk berdepan dengan Si Tenang. Dan kini, abangku pula meletakkan nyawanya betul-betul di atas bahuku. Aku terasa dihimpit. Sukar untuk aku bernafas.
Dalam keadaan gusar ini, aku cuba sedaya upaya untuk menenangkan diriku. Jika aku berdepan dengan keparat itu dalam keadaan panik, peluang untuk aku gagal boleh dikatakan seratus peratus.
"Bam! Bam! Bam!"
Pintu bilik itu dihentak dengan kuat beberapa kali. Si Tenang kini sudah sampai. Dan beliau cuba untuk menceroboh bilik ini.
Aku memandang tepat ke arah pintu. Kelihatan terdapat retak di bahagian tombolnya. Tidak lama lagi, pintu itu pasti akan roboh. Kemudian aku menoleh ke arah abangku yang masih melutut di lantai. Wajahnya tetap tenang. Terdapat senyuman sinis di bibirnya.
"Here he comes..", ujarnya dalam nada yang mendatar.
Aku menelan air liurku beberapa kali. Wajahku semakin basah dihujani peluh yang tidak henti turun dari kepala. Dengan keadaan terketar, aku mula membuka kekuda. Cuba bersedia dengan apa jua yang akan berlaku. Nak tak nak, aku harus hadapi juga dengan Si Tenang ini.
"Mari.. mari.. mari.. aku sudah bersedia, celaka!", jeritku dalam hati. Cuba untuk menaikkan semangat dan motivasi.
"Bam! Bam! Bam!"
Dadaku begitu kencang sekali. Dalam keadaan panik begini, sukar untuk aku berfikir. Kucar kacir jadinya dalam mindaku. Aku mengangkat kedua tanganku sambil mengepalkan penumbuk. Posisi aku kini ibarat seorang ahli tinju di dalam gelanggang.
"Bam!! Prakkkk!! Boomm!!"
Akhirnya pintu itu roboh. Serpihan kayu daripada pintu itu terpelanting sehingga sedikit sebanyak mengenai badanku. Aku kunci pandanganku ke arah pintu yang sudah pecah itu. Terdapat kabus yang memasuki bilik. Kabus itu mengaburi penglihatanku.
"Selamatkan abang, Man..", suara abangku bergema di belakang kepala. Aku tidak menoleh langsung ke arahnya. Mataku fokus ke arah kabus itu.
Setelah beberapa ketika, kabus itu pun hilang. Dan di situ, berdirinya mimpi ngeriku. Traumaku. Dendamku.
Si Tenang berdiri dengan bersahaja di muka pintu dengan parang yang besar. Topeng, pakaian dan senjatanya tidak ubah seperti mana beliau kenakan di malam Annual Purge Day yang lepas.
Bangsat itu berdiri sahaja sambil melihat kami berdua. Aku dapat lihat dadanya turun naik. Barangkali hasil daripada kerja merobohkan pintu bilik tadi. Atau.. boleh jadi, semangat membunuhnya begitu berkobar sekali. Dan beliau tidak sabar untuk menghapuskan kami berdua.
Aku, yang masih dalam posisi bertinju tidak lekang pandangan ke arah Si Tenang. Bersedia untuk berentap dengannya. Aku cuba beri tumpuan sepenuhnya kerana aku tahu.. jika aku tersilap langkah, walau sekelumit mana pun, pasti parah jawabnya.
YOU ARE READING
The Purge: Tanahairku - Pembelaan
Mystery / ThrillerMelihat abangku dibunuh kejam depan mata merubah diri aku serta merta. Aku bukan lagi budak lelaki yang memandang dunia ini di sudut yang baik. Bagi aku, apabila manusia diberi peluang untuk bebas daripada undang-undang, semuanya akan menjadi binata...