"Zaiza! Zaitun! Cepat ambil senjata...", arah ayah Zaitun apabila dapat memastikan terdapat sebuah kereta yang sedang parking di hadapan rumah mereka. Melalui celah langsir itu, bapanya dapat melihat dua orang yang bertopeng seakan badut dan anjing memerhatikan rumah mereka di situ. Di tangan mereka terdapatnya senjata berupa senapang dan parang yang besar. Mereka berdua tidak bergerak selagi Annual Purge Day edisi ke-4 itu belum diisytiharkan. Mereka tidak sabar untuk turut serta di malam yang gemilang bagi golongan seperti mereka itu.
Salah seorang ternampak bapa Zaitun yang sedang mengintai di langsir itu. Beliau memandang dalam-dalam wajah orang tua itu sambil menghunuskan senjata di tangannya sebagai tanda ancaman. Jantung bapa Zaitun terus berdebar tidak keruan. Matanya terus melihat jam yang terdapat di dinding rumahnya.
Tinggal 2 minit sahaja lagi sebelum Annual Purge Day diisytiharkan.
Kelihatan kedua-dua bangsat itu sedang bergelak ketawa sesama sendiri. Bapa Zaitun tidak menunggu lama. Beliau segera memeriksa segala keselamatan yang ada di rumahnya. Pagar sudah dikunci dengan grill, pintu disandangkan dengan almari, meja dan kerusi. Tingkap-tingkap dipasang dengan kelengkapan keselamatan yang terbaru. Setiap isi keluarganya dibekalkan dengan senjata bagi melindungi diri.
Bagi mereka yang berkehidupan sederhana, mereka tidak mampu untuk membeli senjata api yang agak tinggi nilainya ketika itu. Jadi, mereka semua dilengkapi dengan senjata "malee" seperti parang, pisau dan kapak. Walaupun senjata berada di samping, kesemua isi keluarga Zaitun berada dalam ketakutan. Mereka seperti keluarga aku juga. Tidak pernah mencari pasal dengan mana-mana orang. Hidup menyara diri sendiri tanpa menyakiti sesiapa. Mereka orang yang baik-baik sahaja. Cuma menjadi mangsa keadaan.
Sedang mereka mempersiapkan diri masing-masing dengan keselamatan, tanpa disedari pengisytiharan Annual Purge Day sudah pun diumumkan menerusi media. Siren sudah pun dibunyikan sebanyak 7 kali. Di luar sana, terdengar hilaian ketawa serta bunyi mangsa-mangsa melarikan diri.
Keluarga Zaitun berkumpul di ruang tamu dalam serba ketakutan. Mereka berpelukan sesama sendiri bagi menghadapi kemungkinan yang akan datang.
Tiba-tiba kedengaran seperti dua orang yang menanti di luar tadi jejak kaki mereka di hadapan pintu rumah kecil itu. Bapa Zaitun membuat isyarat supaya senyap menggunakan jarinya. Dalam kesunyian itu, kedengaran sesuatu yang dibaca oleh mereka berdua yang di luar sana.
"Terima kasih kerajaan kerana menghadiahkan kami kerestuan untuk turut serta dalam Purge Day kali ini. Izinkan kami untuk menjernihkan jiwa kami. Rahmat kepada NFFM dan Malaysia. Negara dilahirkan semula".
Ia merupakan satu chant atau "doa" sebelum mereka menjalankan "pembersihan" jiwa mereka. Seolah satu ritual dalam satu kultus sampah. Ketika itu, Zaitun bukanlah seperti sekarang ini. Beliau seorang gadis yang innocent. Taat kepada ibubapanya. Jaga pertuturan kata serta adab dan budi pekerti. Aku mengagak, perubahan diri beliau terjadi malam itu. Malam itulah yang meragut segalanya.
"BAM! BAM!"
Pagar rumah mereka bergegar apabila dihentak dengan kuat dari luar. Mereka sekeluarga tersentak. Seolah ianya dihentak dengan menggunakan tukul yang besar. Bapa Zaitun merupakan seorang pekerja am di sebuah syarikat swasta. Gajinya tidaklah tinggi mana. Jadi, dengan apa yang ada, beliau hanya mampu untuk memasang keselamatan yang sederhana sahaja untuk rumahnya. Tidaklah sekuat dan kukuh seperti golongan-golongan kaya di luar sana. Sebab itulah, golongan yang menjadi mangsa Purge Day adalah golongan bertaraf sederhana dan miskin. Salah satu sumpahan Purge Day yang betul-betul aku marahkan. Sistem najis!
Melihat pagar besi rumah itu semakin tidak tahan, bapa Zaitun mengarahkan semuanya untuk menyembunyikan diri di suatu tempat rahsia dalam rumah itu. Sememangnya segalanya telah dirancang rapi agar dapat menghadapi situasi sebegini. Di atas siling, ruang itu telah diubahsuai menjadi sebuah loteng rahsia yang hanya boleh dimasuki menaiki memanjat tangga. Dalam erti kata yang lain, ianya sebuah "panic room" yang boleh dikatakan serba daif. Mereka tidak bersembunyi di dalam almari, bawah katil atau mana-mana perabot kerana bagi bapa Zaitun, tempat-tempat sebegitu boleh diagak.
YOU ARE READING
The Purge: Tanahairku - Pembelaan
Mystery / ThrillerMelihat abangku dibunuh kejam depan mata merubah diri aku serta merta. Aku bukan lagi budak lelaki yang memandang dunia ini di sudut yang baik. Bagi aku, apabila manusia diberi peluang untuk bebas daripada undang-undang, semuanya akan menjadi binata...