Aku kira sudah 3 bulan berlalu semenjak kematian abangku. Gila. Sungguh aku tidak menyangka masa berlalu dengan amat pantas sekali. Pejam celik pejam celik, sudah hampir 100 hari aku hidup keseorangan di dunia ini.
Apabila aku memandang wajah jam dinding, ianya seolah mencemuh dan mengejek aku. Ibarat ianya sedang berkata, "Marilah tangkap aku! Hahaha..". Aku benci perasaan itu. Tetapi apa boleh buat? Walau bagaimana pun aku cuba, masa tetap tidak akan menunggu kita. Ianya akan terus berlalu. Samaada kita sedar atau tidak. Melihat detik ini, membuatkan aku gusar. Sempatkah aku bersiap sedia?
"Ye En.Firman... boleh awak kongsikan pendapat awak mengenai hasil daripada perjanjian TPPA antara negara Asean dan Amerika pada tahun 2016?", pensyarah kelas ekonomi aku, En. Masnan mengejutkanku.
Ah, sudah. Beliau telah menangkapku yang sedang mengelamun sendirian. Fokus aku langsung tidak ada pada kuliah beliau. Satu apa pun, tidak masuk dalam kepala otak aku sekarang ini. Aku berdiri dan memandang ke seluruh kelas aku. Ke semua pelajar sedang memandangku. Peluh mulai terbit di ubun-ubun aku. Aku tergagap-gagap.
"Err...errr..err..".
Wajah pensyarah itu sungguh sinis sekali. Aku nampak beliau menggeleng kecil.
"Sudah En. Firman. Duduk.. Adalah lebih baik awak tumpukan perhatian awak kepada pelajaran ini. Awak tentu tidak mahu repeat kelas ini, kan?", ujarnya dalam nada yang seakan memerli. Aku mengangguk perlahan-lahan dan duduk semula di kerusiku. Rakan-rakan sekelas aku ada yang buat tidak tahu, dan ada juga yang mula senyum-senyum ke arahku. Seolah memandang aku seorang yang bodoh. Celaka betul.
Entah kenapa, aku kini lebih banyak memikirkan mengenai dendam berbanding kepentingan diri aku sendiri.
Kadang-kala aku terfikir, apakah berbaloi aku mencari pembelaan di kala aku hampir pasti terlepas perkara yang lain? Dendam kesumat yang aku pendam nun jauh di hatiku ini sememangnya mengubah diriku. Dari segi sosial, aku sudah mulai jauh daripada orang ramai. Seperti yang pernah aku katakan, persepsi aku terhadap masyarakat telah banyak berubah. Jika dahulu aku memandang mereka di sudut yang baik, dalam pra sangka yang positif, kini aku hanya dapat melihat kejahatan mereka ada. Hanya perlu diberi sedikit tolakan dan kebebasan, mereka akan menjadi binatang.
Maaf.. Aku rasa binatang lebih mulia.
Perlukah aku bertemu dengan therapist untuk memeriksa jiwaku? Ah, aku rasa tidak perlu. Apa yang aku perlukan adalah seorang kawan untuk berkongsi. Dan aku punyai Zaitun untuk itu. Tetapi berkesankah?
Zaitun dan aku mempunyai karekter dan perasaan yang sama. Penuh dengan pergolakan. Berkesankah untuk aku perbaiki sisa-sisa intipati yang asli diriku?Adakah akan bertambah baik atau sebaliknya? Aku kekacauan.
Tatkala aku memikirkan diriku sudah rosak, mindaku terus mencari jalan untuk menyucikannya. Membaiki diriku secara automatik. Apa boleh buat? Tuhan menciptakan jasaf manusia ini dengan penuh keajaiban. Mampu perbaiki diri sendiri. Seperti mana badan merasa demam apabila didatangi virus untuk mengusir anasir itu keluar. Dan entah kenapa, bayangan Si Tenang terkujur kaku tak bernyawa hasil daripada tanganku menjadi pilihan minda. Ianya menenangkanku. Memberikanku suatu kepuasan yang sukar aku gambarkan.
Aku akui. Kini aku juga seperti mereka-mereka yang menyertai The Purge. Menjadi durjana. Dan lebih teruk lagi, aku merasakan ianya baik untuk mengikut kata hati ini.
Biar pembelaan menjadi penyuci jiwaku.
Dan kini, aku akan mula memburu. Aku harus mencari siapakah Si Tenang ini sebenarnya. Aku akan rancang jalan kematiannya yang sungguh cantik. Aku tidak mahu beliau mati begitu sahaja. Oh, tidak. Aku ingin melihatnya menderita. Aku inginnya merayu kepadaku. Aku ingin beliau rasakan apa aku rasakan. Aku ingin melihatnya terseksa di depan mataku sendiri. Biar si bangsat itu menangis. Aku tidak peduli.
Bagi yang lain, mungkin ini kejam. Tetapi pada aku, kematiannya itu akan aku cipta bagaikan sebuah karya teragung persis portrait hasil tangan Picasso atau Leonardo Da Vinci. Biarkan ianya menjadi pencapaian peribadi aku yang paling indah sekali. Ye, aku bukan seperti yang dulu. Aku kini melihat keindahan dalam sesebuah kekejaman.
**********
Kelas ekonomi aku baru sahaja bersurai. Memang benar, selama 2 jam kelas itu berlangsung, tiada satu pun yang masuk dalam kepalaku ini. Merewang entah ke mana. Sambil berjalan di hallway kolej, mataku terkilas ke arah satu kelas yang tidak jauh dari tempatku berada. Pintu kelas itu mempunyai kaca yang membolehkanku melihat ke dalamnya. Terdapat seoang pensyarah yang sedang mengajar kelas itu. Di papan putih di belakangnya tertera satu tulisan yang besar.
"THE ACT OF SOCIOPATH"
Aku tertarik. Apa isi pelajaran dalam kuliah ini? Sayang sekali, aku mengambil jurusan bisnes. Tidak mungkin pelajaran ini akan menjadi salah satu subjek yang akan aku ambil kelak.
Aku merasakan pelajar di dalam kelas itu mengambil jurusan medik. Kalau tidak pun, undang-undang. Ah, itu tidak penting. Yang pasti, aku harus mengikuti kelas ini. Aku ternampak satu peluang untuk mengenali Si Tenang. Dari cara beliau berfikir. Cara beliau bertindak. Dan mungkin, aku boleh tahu apa kelemahannya. Ya.. aku harus pelajari ini! Jika tidak dapat masuk ke dalam kelas ini, paling tidak, aku harus berkawan dengan salah seorang daripada pelajar kelas tersebut. Untuk berkongsi ilmu.
Sedang aku termenung ke arah kelas itu, pensyarah di dalam terlihat aku. Beberapa detik berlalu sebelum aku terperasan. Ah, sudah. Pensyarah itu buka pintu tersebut.
"Ye? Cari siapa?", soalnya membuatkanku kaget.
"Err..err.. tiada siapa", jawabku dalam nada terketar-ketar dan tersangkut-sangkut. Pensyarah itu memandangku dengan wajah kehairanan.
"Maafkan saya..", aku terus berlalu tanpa menoleh ke belakang. Telingaku menangkap bunyi pintu kembali ditutup.
Langkahku kini tiba di pintu luar kolej. Aku teruskan berjalan menuju ke arah motorsikal yang aku letak di kawasan parking pelajar. Badanku terasa lesu. Semalam aku lepak bersama Zaitun hingga ke lewat malam. Aku tidak cukup tidur. Niat di hati, mahu sahaja aku terus pulang dan berehat. Namun, segalanya berubah dengan satu nada dering telefon bimbitku yang menandakan satu pesanan ringkas masuk.
"Beb, kau free tak? Ada sesuatu yang aku nak tunjukkan pada kau.."
Aku melihat sms itu dengan kening yang berkerut. Apakah yang ingin ditunjukkan oleh Zaitun ini? Berbaloikah aku korbankan masa rehatku untuk berjumpanya?
"Aku free. Tapi ngantuklah.. Ada apa kau nak tunjukkan kepada aku tu?", aku balas kembali sms itu. Tidak lama kemudian, Zaitun membalas kembali,
"Kau kena tengok dengan mata kau sendiri. Baru kau tahu....".
YOU ARE READING
The Purge: Tanahairku - Pembelaan
Mystery / ThrillerMelihat abangku dibunuh kejam depan mata merubah diri aku serta merta. Aku bukan lagi budak lelaki yang memandang dunia ini di sudut yang baik. Bagi aku, apabila manusia diberi peluang untuk bebas daripada undang-undang, semuanya akan menjadi binata...