Bab 24

187 10 3
                                    

"Bamm!!", Aku menumbuk dinding dengan sekuat hati. Mataku berair, tidak dapat menahan kesenakan yang aku rasai di dalam kalbu. Aku tertunduk cuba mengawal diri. Tanganku mungkin sakit, tetapi tidak dapat menandingi keperitan yang hatiku rasai.

"Kau harus memilih, Man. Samaada pembelaan abang kau atau... Zaitun."

"Bamm!!" Aku menumbuk lagi. Suara Fairuz terngiang-ngiang di telingaku. Perjumpaan aku dan beliau sebentar tadi meninggalkan aku di dalam dilema.

Aku lihat di dinding yang kini terpalit darah hasil lepasan amarahku. Terdapat rekahan di tapak tumbukan itu. Darah pada tangan ini pula menitis jatuh ke lantai.

Aku menjerit sekuat hati. Cuba melepaskan kekabutan di kepala. Apa yang dikatakan Fairuz memilukan aku.

"Zaitun cuba memujuk aku supaya hentikan segala usaha yang telah kau buat di sini.."

"Ta..pi kenapa?" Soalku terus.

Aku tidak faham. Kenapa Zaitun sekarang nak tarik semuanya setelah apa aku lalui di sini merupakan idea beliau sendiri? Lagi pula, beliau tidak berbincang dengan aku mengenai hal ini. Yang aku tahu, beliau cuma risau tentang diri aku saja.

"Semuanya kerana satu elemen yang telah aku katakan sebelum ini, Man. Cinta..", Fairuz mula berdiri dan melangkah menuju ke satu meja yang beliau jadikan sebagai pantri.

"Kerana cinta adalah sesuatu yang akan tarik kau ke belakang dalam perjalanan menuju kejayaan."

Keningku berkerut, cuba mentafsir penjelasannya. Apa diujarkan Fairuz itu seakan tidak masuk akal. Bukankah cinta itu suci? Suatu pemangkin kepada semangat kepada diri manusia supaya terus berjalan? Kerana cintalah bumi ini berputar.

Aku memandang tajam wajah Fairuz.

"Apa maksud Fairuz? Saya tak faham."

Lelaki di hadapan aku itu mengisi sebiji cawan dengan air jernih. Beliau meneguknya sekali lalu. Usai saja minum, beliau menjawab.

"Aku telah jadikan kau seorang yang kuat. Seorang yang kini mempunyai keyakinan tinggi dalam dirinya. Seorang yang tahu apa yang dimahukannya.."

Fairuz menuang air jernih ke dalam cawan itu lagi. Kemudian beliau membawa cawan itu ke arahku.

"Zaitun sudah tidak percayakan kau, Man.. Dia tidak mahu kau membela kematian abang kau. Dia ingat kau akan 'rosak' nanti.."

Beliau menghulurkan cawan itu kepadaku. Aku sambut dan pegang cawan itu tanpa menghirup air tersebut. Aku tak rasa dahaga.

"Dia mahu kau jadi diri kau yang dulu.."

Aku masih berdiam diri.

"Adakah itu yang kau mahu?" Soal Fairuz sambil duduk di kerusinya semula. "Adakah kau ingin hentikan segalanya dan kembali ke kehidupan asal kau?"

Nada Fairuz itu menggerunkan aku. Tegas dan mendatar. Aku tidak tahu untuk menjawab soalan itu. Sesungguhnya kedua-dua pilihan adalah apa yang aku mahukan. Pembelaan buat abangku, dan juga Zaitun. Kekasih yang membina taman di dalam hati ini.

"Sebelum kau jawab soalan itu, aku harap kau ingat balik sewaktu kau mula-mula datang ke sini. Ingat balik apa yang aku katakan dulu."

Darah terus menitis dari tanganku. Ia mula membuat satu tapak di lantai. Aku hembus satu nafas yang berat. Lalu terus berjalan menuju ke tingkap. Di situ, aku boleh nampak permandangan yang serba kelam.

"Ye.. saya ingat Fairuz." Jawabku perlahan.

"Ingat Man. Aku pernah katakan pada kau, aku hanya setuju ambil kau berlatih di sini jika kau sanggup tinggalkan dunia lama kau. Jika kau sanggup buat pengorbanan itu."

The Purge: Tanahairku - PembelaanWhere stories live. Discover now