"Ba..bagai..mana.. Abang.. Bu..Bukankah.. Abang..", aku gagap dengan suara terketar-ketar. Aku sungguh keliru ketika itu. Tidak tahu sama ada aku sedang berada di dalam dunia realiti atau fantasi. Masakan abangku yang telah terbunuh beberapa bulan lalu, muncul di depanku?
Abangku berdiri tegak sambil memandangku dengan wajah yang sayu. Bajunya penuh dengan darah tetapi wajahnya bersih. Pakaian yang dikenakan adalah pakaian di malam kematiannya.
"Macam mana abang...", belum sempat aku habis menyoal, abangku melutut dan meletakkan jarinya di mulutku agar aku berhenti bersuara.
"Man.. kau ni banyak cakap.. Bertenang..", ujarnya lembut. Lalu beliau mula bersila di lantai itu dan memberi isyarat supaya aku melakukan benda yang sama.
Aku ketika itu masih lagi bingung. Tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi. Melihat abangku di depan mata merupakan suatu yang amat pelik sekali. Terasa janggal. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Walhal, ketika itu aku amat merinduinya. Entah kenapa, aku hanya mampu tergamam. Terasa ingin memeluknya tetapi aku tidak lakukan.
"Kau pasti rindukan abang, kan?"
"Sudah tentu, bang! Abang tak tahu betapa remuknya hati Man bila tengok abang dibunuh malam tu.."
Abangku hanya menundukkan kepalanya. Wajahnya terbit kesedihan ibarat penyesalan yang amat. Beliau menarik satu nafas yang dalam sebelum menghembusnya perlahan-lahan.
"Abang minta maaf, Man. Abang dah cuba sedaya upaya tetapi dia jauh lebih kuat.."
Hatiku terasa ingin pecah apabila mendengar ungkapan maaf itu. Ia menambahkan lagi kekesalan terhadap diriku sendiri. Apa yang berlaku bukanlah salahnya. Tidak sedikit pun.
Kami berdua hidup tenang bersama. Tidak pernah kacau sesiapa. Disebabkan akta yang di-implement oleh NFFM, sesiapa sahaja boleh berlaku kejam. Dan oleh sebab itu juga, abangku mati. Kebaikannya abangku terhadap diriku, yang menjaga aku dengan begitu baik sekali, tidak selayaknya menerima semua ini.
"Jangan cakap begitu, bang. Sebenarnya Man yang sepatutnya melindungi abang! Man kesal.. Man tidak cukup kuat untuk pertahankan abang.. Man lemah.. Man sepatutnya menghalang si keparat tu daripada membunuh abang!", ujarku sambil air mata mula bergelinangan.
"Kau dah lakukan sebaik mungkin, Man.. Jangan salahkan diri kau.. Abang tahu.. Jauh di sudut hati kau, kau mampu lakukan. Tetapi mungkin takdir abang begini.."
Air mata abangku pula kini mula bergenang.
"Man kesal bang! Kesal sangat kerana hanya mampu melihat abang malam tu..", aku sudah tidak dapat menahan kesedihan lagi. Aku menangis semahu-mahunya. Sambil teresak-esak, aku menyambung, "Kehidupan serba tidak kena sejak abang takde.. Man rasa sesat, bang! Sesat!"
Abangku mendongakkan kepalanya, melihat wajahku dalam-dalam. Matanya redup. Kelihatan penat.
"Man.. Tiada apa yang kau boleh buat untuk mengubah segalanya. Apa yang terjadi, sudah pun terjadi. Abang redha.. Biar abang yang terkorban dan bukannya kau.."
Aku menyeka air mataku. Dadaku yang berombak, cubaku redakan secepat mungkin. Aku tidak setuju dengan apa yang abang aku katakan.
"Tidak, bang.. Tidak. Man takkan lepaskan keparat tu. Man berdendam, bang. Disebabkan dia, Man sudah kehilangan abang!"
"Lupakan sahaja dendam kau, Man. Lupakan.. Jangan kau ikutkan perasaan kau. Kelak nanti kau yang binasa.."
Kepalaku tertunduk. Bagaimana aku dapat lepaskannya? Sedangkan selagi aku tidak membalas dendam, jiwaku tidak akan tenang.
"Mana boleh, bang.. Man takkan lupakan apa dia lakukan terhadap abang. Dia sungguh kejam sekali! Orang macam dia tak patut hidup!"
Abangku mula meninggikan suaranya. Beliau tidak setuju denganku.
YOU ARE READING
The Purge: Tanahairku - Pembelaan
Mystery / ThrillerMelihat abangku dibunuh kejam depan mata merubah diri aku serta merta. Aku bukan lagi budak lelaki yang memandang dunia ini di sudut yang baik. Bagi aku, apabila manusia diberi peluang untuk bebas daripada undang-undang, semuanya akan menjadi binata...