18 [🔞]

4.3K 164 53
                                    

SEMUA orang terdiam.

Mereka yang sebentar tadi bergelak ketawa langsung menelan suara dan terkaku di saat itu. Lagi-lagi apabila melihatkan panorama yang baru berlaku di depan mereka. Setiap pasang mata dipakukan ke arah dua orang pelajar lelaki yang baru melangkah masuk ke kelas itu.

"Daniel?"

Daniel tidak mempedulikan panggilan itu. Dia terus membuntuti seseorang di depannya. Berpura-pura tidak mendengar. Berpura-pura tidak mempedulikan setiap padangan pelik yang menjilat jasadnya tika ini. Berpura-pura menidakkan rasa ingin melarikan diri.

Dia terus mengikuti langkah seseorang itu sambil menundukkan kepala. Beg galas milik seseorang di depannya itu masih dipeluk kemas. Tindakannya itu menimbulkan rasa kepelikan rakan-rakan sekelasnya. Hari ini dia berperilaku sungguh aneh.

Langkahnya terhenti apabila seseorang itu sudah duduk di tempatnya. Seseorang itu mengangkat sebelah tangannya ke arah Daniel yang masih berdiri.

Daniel tersentak sebelum memahaminya sesaat kemudian. Dia lantas menghulurkan beg galas itu. Setelah hulurannya disambut Danish terus membatukan diri.

"Duduk," arah seseorang itu, ringkas.

Daniel mengangguk kecil lalu mengambil tempat di sebelahnya. Hanya Tuhan tahu betapa dia bencikan situasi ini. Hanya Tuhan yang tahu betapa degupan jantungnya menyesakkan dadanya sendiri.
 
Mereka - rakan-rakan sekelasnya tidak tahu apa yang sebenarnya dihadapi Daniel ketika ini. Dia sedang berperang dengan perasaan sendiri namun semuanya tidak bermakna apa-apa kerana jasadnya...

...kini milik seseorang di sebelahnya.

"Daniel, apa kau buat ni?" Suara rakan sekelasnya menjengah di sebelahnya. Namun Daniel tetap menundukkan mukanya memandang meja yang kosong. Cuba untuk tidak mempedulikan Amri yang setia berdiri di sebelah mejanya.

Dalam masa yang sama, bisikan-bisikan rakan sekelasnya mengisi atmosfera kelasnya di saat itu. Sepastinya berbisik akan perilaku Daniel pada hari ini. Tiba-tiba menjadi pelik?

Rakan sekelasnya yang bernama Amri itu memegang bahu Daniel lalu mengajukan lagi persoalan, "Kenapa kau bawak beg dia? Kenapa kau duduk sebelah dia? Kenapa..."

"DIAMLAH!" tengking Daniel. Kini mukanya tepat-tepat dipakukan ke muka Amri bersama riak wajah yang bengis bagai ingin menelan Amri tika itu jua. Tanpa Daniel sedar, mukanya semakin berona merah dan badannya menggigil.

'Aku marahkah?' soal Daniel di dalam diri,  bagai tika itu masa terhenti sesaat membuka peluangnya untuk bermonolog sendiri.

'Bukan.' Hatinya menjawab

'Habis tu?'

'Kau sebenarnya ketakutan. Sangat ketakutan kerana tahu tiada siapa dapat selamatkan kau.'

Amri terkejut bukan kepalang dengan reaksi yang dihadiahkan oleh Daniel. Tidak percaya akan apa yang baru berlaku. Bukan sahaja dia yang terkejut tapi rakan-rakan sekelas lain turut memberi respons yang sama. Tambahan pula, tengkingan Daniel itu agak kuat.

"Daniel, apa yang..."

"Jangan cakap dengan aku! Mulai sekarang, jangan cakap dengan aku. Sesiapa pun," arah Daniel sambil memandang sekeliling dengan muka yang tertanam pandangan amaran.

"Apa maksud kau?" Amri bertanya lagi. Biarpun kata-kata Daniel ringkas dan padat namun secara dasarnya Amri tidak punya ide apa yang Daniel maksudkan ketika ini.

Kenapa Daniel tiba-tiba berubah? Daniel yang ceria dan banyak cakap itu mana? Siapa Daniel ini? Kenapa dia berubah menjadi orang lain?

Daniel tidak dapat menjawab soalan yang ditanya Amri itu apabila kebetulan pada masa tersebut guru subjek pada masa itu memasuki kelas mereka membuatkan semua orang kembali ke tempat masing-masing.

1+1Where stories live. Discover now