DANIEL tersenyum sendiri malah senyumannya tak pernah putus dari tadi.Hatinya pula bersiul senang. Rasa gembira masih memeluk sekeping hatinya. Ada sesuatu bermain di fikirannya. Yang pasti sesuatu itulah yang membuatkan taman hatinya berkumandang melodi riang.
'Zulkhairi...' Hatinya berbisik nama itu. Ternyata nama itu punya kuasa sendiri sehingga saat nama itu diseru dalam rerelung hati, daratan jiwanya dihujani perasaan yang menyenangkan. Langkah kakinya masih terus menapak.
Sudah lama dia tak merasai perasaan gembira dan tenang. Sehingga satu tahap, dia hampir melupakan bagaimanakah dua perasaan itu akan terasa. Dia dah terlupa bagaimana ingin menghidupkan kembali dua perasaan itu.
Namun hanya dengan kehadiran Zulkhairi sahaja, dia terus dapat merasakan kembali betapa hebatnya perasaan itu memberikan kesan dalam kehidupannya. Lihat sajalah bagaimana dengan mudahnya dia melemparkan semua rasa hiba dan pilu yang selama ini hampir mewarnai segenap raganya.
Semuanya kerana seniornya.
Dia masih ingat momen sebentar tadi. Dia dan senior itu bersama-sama berebutkan bola untuk dijaringkan sambil bergelak ketawa dan saling mengusik. Sudah lama dia tak menghamburkan tawa yang banyak sebegitu.
Dalam saat Zulkhairi sedang melantun-lantunkan bola keranjang itu di atas lantai gelanggang, Daniel berjaya merampas bola tersebut lalu membawanya jauh daripada Zulkhairi sambil terkekek ketawa.
Daniel sudah hampir dengan tiang jaring, dia mendonggakkan kepalanya. Menetapkan sasarannya. Dia pasti akan menjaringkan bola keranjang itu dan mengalahkan Zulkhairi dalam perlawanan tidak serius ini.
Dia tersenggih. Ya pasti Zulkhairi akan kalah dengannya. Dia memulakan kiraan di dalam hatinya. Berakhir saja kiraan yang ketiga, dia mula melompat namun tanpa dapat disangka saat dia sedang melompat itu Zulkhairi memeluknya dari belakang membuatkan tapak kakinya kembali menginjak di atas lantai.
Bola keranjang itu sudah melantun entah ke mana. Berguling-guling keluar dari gelanggang.
Daniel tersentak. Saat dia dipeluk oleh Zulkhairi dari belakang, tika itu jua denyutan jantungnya terhenti buat sesaat; menenggelamkannya di dalam keadaan terpempan. Muka Zulkhairi dipandangnya dengan riak sedikit bungkam. Dekat sekali jarak muka mereka.
"Kau main tipu," desis Daniel yang masih dalam pelukan Zulkhairi. Suara sedikit bergetar angkara rasa gementar yang menular dalam diri.
Andai saja Zulkhairi bisa mendengari gemaan degupan jantungnya yang agak kuat itu, pasti saja dia berasa malu.
Zulkhairi cuma tersenggih lalu menjelirkan lidah.
"Aku tak nak dikalahkan oleh kau." Dia menghentikan seketika ayatnya seraya merenung anak mata Daniel dalam-dalam sebelum kembali menyambung, "Dan aku pasti kau akan kalah dengan pelukan aku kan," dengan muka nakal.
Membahang pipi Daniel dibuatnya. Dia menelan air liur. Malu sebenarnya. Hakikat yang Zulkhairi tidak tahu, sememangnya tepat apa yang dia katakan. Daniel kalah dengan pelukan Zulkhairi. Dipeluk oleh crush sendiri. Tiada yang lebih indah daripada itu.
"Muka kau dah merah! Comelnya hahahah," tambah Zulkhairi lagi lalu ketawa sesuka hatinya
Daniel malu nak mati. "Mana ad--"
Bukk!
Lamunannya berkecai saat bahunya dilanggar dengan kuat dari belakang. Dia yang sedang berjalan sedari tadi tergerak ke hadapan secara paksa. Sambil kerutan di dahi menebal, dia menoleh ke arah si empunya bahu yang melanggarnya dengan kuat sebentar tadi.
YOU ARE READING
1+1
Romance"Oh, dan saya ni gay!" Alex; baru hari pertamanya di sekolah sudah mengaku dia seorang gay di depan semua orang. Danish yang menyimpan rahsia besar mula resah dengan kehadiran Alex. Sampai bila dia boleh menyimpan rahsia itu? Dan apa akan terjadi ap...