BAB 3

2.5K 68 10
                                    



BENGKAK di juring bibir Danish serta belahan luka di atas kening itu direnung dalam oleh sepasang mata Tengku Anisah. Bibirnya disimpul geram melihat keadaan cucunya yang tidak terurus dan terabai itu. Hatinya mendongkol marah dengan apa yang terjadi. Tebal mukanya terpaksa mencemar duli ke balai polis untuk mengikat jamin cucu kesayangannya itu.

Sementara itu, Danish memejam mata rapat sambil menyandarkan badan ke kerusi kereta. Sakit berdenyut-denyut di seluruh tubuh serta luka di beberapa bahagian mukanya itu tidak setanding dengan luka di hati. Masih terbayang aksi manja si Damia bersama jantan tidak guna itu! Sekali lagi urat sarafnya tegang serta merta. Kedua rahangnya dikacip rapat. Kalau tidak ingat hukum hakam dunia, sudah lama dia membelasah Damia kerana begitu berani menduakannya.

Pandangan Anisah masih terpacak memerhati setiap riak di wajah cucunya itu. Tampak cukup terganggu. Dia tidak dapat menyelami perasaan Danish. Dia perlu menyelongkar isi hati cucunya itu nanti. Bukan sekarang. Bimbang pertengkaran hebat akan tercetus di dalam perjalanan untuk pulang. Risau jika cucunya yang dulunya amat mendengar katanya itu akan semakin berang.

Sampai di kediaman tiga tingkat miliknya itu, barulah dia menyuruh Danish supaya berjumpa dengannya di bilik studi. Dengan keluhan berat, Danish membuntuti langkah kaki nenda. Sedar dia akan dibelasah dengan leteran panjang lebar nanti. Dikerling sekilas ke arah muka nenda yang masam mencuka itu. Dia sebenarnya tiada mood untuk bersemuka dengan nenda sekarang. Namun, nenda itu keras kepala orangnya. Kalau tidak diturutkan kehendak nenda, sudah pasti dia tidak akan dapat tidur lena. Sudah pasti nenda akan mengganggunya sampai ke pagi.

Pintu bilik studi tertutup rapat. Nenda menghela nafas berat sebelum memusingkan badannya menghadap Danish. Tajam panahan sinar mata nenda membuatkan Danish mula melarikan pandangan ke arah lain. Perlahan-lahan, Danish mula duduk ke kerusi kayu yang berdepan dengan meja studi nenda itu.

"Kenapa kau malukan nenda, Danish? Apa masalah kamu sebenarnya?" Anisah cuba mengawal suaranya supaya mendatar tidak meninggi nyaring. Dia sedar waktu sudahpun lewat malam. Dia tidak mahu seluruh penghuni banglonya itu sedar akan apa yang terjadi.

"Nenda tanya Dan apa masalah sebenar Dan? Kenapa nenda tak tanya saja kenapa Damia sanggup buat Dan macam ni?" Kasar suara Danish menempelak nenda. Dia masih gagal mengawal emosi. Amarahnya masih berbaki di saluran nadinya. Sepasang matanya begitu berani menentang panahan mata nenda.

"Apa maksud kau Dan? Kenapa nenda perlu tanya Damia sedangkan kamu yang buat masalah sekarang? Malukan nenda. Mengamuk di rumah Damia tu buat apa?" Berkerut seribu dahi nenda tatkala mendengar jawapan sinis cucunya itu.

Danish tersenyum herot sambil mengurut tengkuknya yang tegang itu. "Nenda ingat Dan ni baik sangat ke? Boleh sabar dengan apa yang Damia dah buat belakang Dan? Dan bukan malaikat, nenda!"

Nenda semakin hairan dengan jawapan pedas Danish itu. "Jangan cakap berbelit-belit Danish! Beritahu nenda kenapa kamu mengamuk di rumah Damia? Pukul orang sampai masuk hospital? Habis patah riuk anak orang!" Semakin tinggi nada suara nenda meminta penjelasan daripada Danish.

Si anak muda menghela nafas keras sebelum menentang cerlungan tajam milik nenda itu. "Damia ada affair dengan lelaki lain, nenda. Damia, calon isteri yang nenda puji tinggi melangit tu. Calon isteri yang nenda carikan untuk Dan itu berani main kayu tiga di belakang Dan!" Keras suara Danish meluahkan punca kemarahan yang berpusar hebat di dadanya itu. Dia mengacip rahang rapat cuba mengawal amukan emosi yang membakar sekeping hatinya itu.

Terlopong mulut nenda tatkala mendengar jawapan balas yang dilontar oleh Danish itu. Terasa seperti ada bongkah batu menghantuk kepalanya. Pijar matanya membayangkan si anak dara yang diwar-warkan sebagai perempuan melayu terakhir oleh kenalan rapatnya itu sanggup berbuat perkara terkutuk itu.

SEPARUH CINTA SEPARUH DENDAM (READY STOCK)Where stories live. Discover now