BAB 1

5.8K 101 15
                                    

SUASANA hiruk pikuk di depan lobi gedung membeli belah itu dirasakan sunyi sepi tiba-tiba. Dunia bagaikan berhenti berputar. Nafas Tengku Danish tanpa sedar tertahan di rongga hidung. Sepasang matanya terpaku ke arah susuk tubuh seorang gadis yang berpakaian merah terang berambut lurus paras bahu itu. Blausnya amat seksi mendedahkan bahu dan lurah dendam yang sepatutnya ditutup daripada pandangan lelaki bukan muhrim. Kulit putih mulus Damia itu tidak sepatutnya terdedah bebas untuk santapan sesiapa. Peha putih itu tidak sepatutnya menjadi tumpuan semua lelaki!

Dadanya berombak kencang. Buku limanya dikepal erat sehingga menampakkan jajaran urat di kedua-dua belah tangannya. Rahangnya diketap kuat tatkala matanya terpandang sepasang tangan lelaki kacukan cina sedang memeluk erat pinggang Damia. Berlumba-lumba deruan nafasnya berlari anak keluar melalui celah bibirnya itu.

Amarahnya memuncak. Dunia yang terhenti berputar itu kembali berpusing laju di sekelilingnya. Tapak kakinya yang terpaku di lantai jubin itu mula bergerak tanpa disuruh. Dari perlahan semakin laju kedua kakinya mengejar jejak langkah sepasang merpati dua sejoli yang tanpa segan silu bermesra di khalayak ramai itu. Darah panasnya menyirap naik ke muka. Adrenalinnya dipam keluar tanpa henti.

Fokus matanya tertumpu ke arah pasangan yang sedang bergelak ketawa itu. Cemburunya menggunung tinggi. Dia rasa tertipu!

Langkahnya semakin hampir mendekati sasaran. Tidak semena-mena tubuh sasanya itu terlanggar susuk tubuh seseorang. Tubuh gadis bertudung warna firus itu terdorong ke belakang sebelum jatuh terduduk bagai nangka busuk. Impak pertembungan tanpa dijangka itu turut menyebabkan dua buah telefon pintar menjadi korban. Berdenting melantun berputar sebelum tersadai kaku di depan Danish.

Dia mengerling sekilas ke arah muka gadis yang sedang menyeringai kesakitan itu. Kemudian bebola matanya kembali naik mencari susuk tubuh Damia bersama kekasihnya itu. Melihatkan Damia sedang melangkah masuk ke dalam perut sebuah kereta Honda, terburu-buru dia tunduk mencapai telefon pintar sebelum berlari mengejar tunangnya itu.

Sementara itu, si gadis bertudung warna firus itu terpinga-pinga tidak percaya dengan reaksi kurang sopan lelaki bertubuh sasa itu. Huh! Harapkan muka saja kacak mengalahkan hero korea! Tapi perangai poyo nak mampus! Khayla mengerutkan dahi menahan kesakitan yang berdenyut-denyut hebat di bahagian punggung dan pinggangnya itu akibat terhentak kuat mencium lantai sebentar tadi. Tangannya terkial-kial cuba untuk bangun.

Beberapa orang remaja perempuan yang menyaksikan peristiwa itu mula mengerumuni Khayla. Salah seorang remaja belasan tahun itu menghulurkan tangan untuk membantu Khayla bangun.

"Kakak okay tak?" Soal anak remaja berambut tocang satu itu agak cemas.

Khayla tersenyum kelat cuba menyembunyikan kesakitan di tubuhnya itu. Dua tangannya mengibas debu di punggung. Mukanya berkerut-kerut menahan denyutan. 'Gila punya mamat sekor tu! Mata letak kat lutut ke?' Khayla mengetap bibir geram sambil matanya melilau mencari kelibat lelaki itu yang mula menghilang di dalam perut sebuah teksi biru. Dia mengeluh hampa sebelum matanya kembali menatap muka gadis remaja yang sedang memegang tangannya itu.

"Terima kasih, adik. Sudi tolong akak." Ujar Khayla lembut sambil menghadiahkan senyuman ikhlas buat gadis itu. Anak remaja itu turut membalas senyuman Khayla.

"Nah, telefon kakak yang jatuh tadi." Seorang lagi rakan remaja itu turut menghulurkan telefon pintar milik Khayla yang tercampak beberapa meter dari tempat mereka berkumpul itu.

"Tapi screen telefon kakak retak." Sampuk rakannya yang lain pula.

Keluhan kasar meniti di celah bibir merah jambu Khayla. Raut wajahnya yang merah menyala tadi berubah mendung tiba-tiba. Dia mengerutkan dahi mengamati skrin telefon pintar iPhone 8 Plus yang retak seribu itu. Nampak sedikit pelik berbanding telefon miliknya dulu. Menyedari kelainan itu barulah matanya membulat sedikit.

SEPARUH CINTA SEPARUH DENDAM (READY STOCK)Where stories live. Discover now