BAB 8

2K 64 7
                                    


SUASANA hening. Khayla tertunduk bungkam. Jantungnya tidak berdegup sesaat dua. Nafasnya tersangkut. Air liurnya berpasir di dalam mulut. Matanya masih terpaku memanah kad perniagaan seterunya itu.

Resah.

Kelu.

Apa yang perlu dia lakukan? Bukan ini yang dia rancang! Persiapan rapi yang diatur sejak lima tahun lepas untuk memerangkap Danish musnah dalam sekelip mata.

Peluh sejuk merecik di dahi. 'Think! Think, Khayla!

Dia menggenggam pengepal sambil menarik nafas panjang. Pandangannya ditebar ke arah pokok-pokok bunga yang berbunga indah menghiasi taman mini di puncak Menara Kerjaya Group itu. Dapat dirasakan deruan angin bertiup lembut menyapa mesra kulit tubuhnya.

Khayla berbolak balik memikirkan idea bernas untuk meneruskan rancangan untuk menuntut keadilan itu. Adakah dia akan mengalah? Sudah pasti si Danish akan benci melihatnya.

Perkelahian maha hebat itu terjadi tanpa disangka. Dia menggigit bibir geram. Argh, pantang anak melayu menyerah kalah sebelum berjuang!

Dia bercekak pinggang sambil mendongak muka ke langit biru. Matanya dipejam rapat sambil nafas panjang ditarik sedalam mungkin. Terbayang raut wajah Zulaikha yang sugul. Tangisan kakaknya itu menggetarkan sekeping hatinya.

Lantas dia mengumpul keberanian di dalam diri. Tidak mungkin dia mengalah begitu saja.

***

DANISH menolak kasar daun pintu tandas yang terletak di belakang bilik kerjanya itu. Segera dia membuka baju kemeja yang tersarung di badan dan diletak di tepi sinki. Jelas kelihatan kesan merah tanda kulit di dadanya sudahpun melecur akibat tumpahan air kopi panas itu.

Dia memutar pili air dan membasahkan tuala kecil sebelum diratakan ke dadanya. Giginya diketap sekuat hati menahan sakit.

Kemudian barulah dia mencapai peti pertolongan cemas yang tersimpan di dalam almari kecil di tepi cermin itu. Dia membelek beberapa botol krim ubat, mencari-cari krim yang bersesuaian untuk disapu ke atas kesan melecur itu.

Dia membaca penerangan di belakang kotak pek krim yang diperbuat daripada aloe vera yang disarankan untuk merawat kesan terbakar itu. Dia membuka penutup botol dan menyapu krim dengan berhati-hati.

'Ini semua sebab minah sewel tu! Harapkan muka saja lawa, perangai buruk gila!' Sempat lagi Danish mengutuk gadis yang bertanggungjawab di atas apa yang terjadi sebentar tadi.

Usai menyapu krim ke dada bidangnya, dia melangkah gontai ke dalam bilik kerjanya. Dibiarkan bahagian tubuhnya terdedah dengan kesejukan penghawa dingin. Barulah lega sedikit denyutan pedih di kulitnya itu.

Dia bergerak ke arah penyangkut baju yang menempatkan sepasang persalinan sut hitam serta baju kemeja yang tergantung sepi di penjuru bilik kerjanya itu. Dia menghela nafas keras sewaktu menyedari terdapat kedutan kecil di baju kemeja biru itu.

Kedua tangannya naik bercekak pinggang tidak berpuas hati dengan kedutan seribu itu. Bajunya mana pernah tidak bergosok. Inilah kesannya jika tidak mempunyai pembantu peribadi! Rasa kesal mula menyelinap ke dasar hati kerana dia telah memecat Athirah, bekas P.A yang menjadi mata-mata untuk nendanya itu.

Hanya disebabkan nenda, dia memecat Athirah yang dirasakan tidak boleh diharap untuk menyimpan rahsia dirinya. Dia tidak mahu nenda menjejaki setiap langkah hidupnya. Dia rimas.

SEPARUH CINTA SEPARUH DENDAM (READY STOCK)Where stories live. Discover now