BAB 14

2.2K 50 7
                                    


USAI solat zuhur di surau, Khayla menempek bedak ke muka sebelum disudahkan dengan mencalitkan lip ice ke bibir. Dia melilitkan tudung ke kepala dan disemat dengan beberapa pin. Setelah berpuas hati dengan kemasan tudungnya itu, dia menarik nafas panjang mencari kekuatan di dalam diri.

Hari itu dirasakan terlalu panjang untuknya. Sejak ketemu dengan Danish, dia rasa seperti sudah hilang kawalan dalam perjalanan hidupnya itu. Rancangan yang direncana untuk membuat onar di dalam hidup lelaki itu bagaikan terlalu sukar untuk dilaksana. Sebaliknya, dia rasa sekeping hatinya yang huru hara. Aura lelaki itu terlalu kuat sehinggakan dia rasa seperti dia yang sebenarnya ditarik dan bakal tenggelam di dalam hidup lelaki itu.

Dia bergerak ke tempat parkir dengan fikiran yang sarat. Siapa Tengku Danish Tengku Razin yang sebenarnya?

Belum sampai sehari bekerja dengan pemuda itu, dia sudah pening kepala. Sekejap si Danish itu seperti seorang lelaki yang garang dan tidak berperasaan. Sekejap kemudian, peribadi lelaki itu bagaikan boleh dipuji pula. Danish menjaga solat. Danish juga belanja dirinya makan dan belikan kasut untuknya. Jadi siapakah Danish sebenarnya?

Sudah insafkah lelaki itu? Atau dia memang syaitan yang bertopengkan manusia? Minda Khayla mula diasak keliru. Dia menapak ke tempat parkir dengan perasaan yang berbelah bahagi. Perlukah dia meneruskan pencariannya untuk membuktikan siapakah si Tengku Danish itu? Adakah Zulaikha akan menghargai segala usahanya ini? Adakah ini yang terbaik untuk Daniel?

Khayla bingung. Keliru.

Pon! Pon! Tiba-tiba bunyi hon kereta membingitkan telinga Khayla sehingga dia terlompat kecil, terkejut dengan bunyi hon kereta yang amat kuat dan hampir dengannya itu. Matanya melingas memandang sekeliling. Kelihatan deretan kereta di tempat parkir itu. Dia kalut. Dia sudah lupa di manakah petak letak parkir kereta Danish!

"Hoi, cik adik! Duduk berangan apa lagi? Naik kereta cepat. Kita dah lambat ni!" Danish menurunkan cermin sebelah pemandu pacuan empat roda yang dinaiki dengan hati yang agak panas. Sudah lama dia menunggu kedatangan pembantunya itu. Kini dia mula jengkel apabila mendapati si Khayla itu asyik berangan sahaja. Huh! Dia tidak suka pekerja yang tidak memberi tumpuan di waktu bekerja.

Sementara itu, Khayla mula mempercepatkan langkah ke arah pacuan empat roda Mercedes-AMG GLC milik majikannya itu yang diparkir beberapa petak dari tempat dia berdiri tadi. Dia membuka pintu kereta dengan perasaan yang kalut. 'Matilah aku kena marah nanti'.

Khayla menutup pintu kereta dengan penuh berhati-hati.

"Err...boss, I am so sorry. Saya tak ingat boss park kereta kat mana tadi." Khayla terpaksa memberi alasan bodoh sedangkan dia sebenarnya tenggelam dalam fikirannya sendiri.

Danish hanya diam membeku. Dia malas hendak melayan kerenah perempuan di sebelahnya itu. Dia hanya mengerling sekilas sebelum meneruskan pemanduannya ke pejabat. Dia memang lebih senang memandu sendiri. Tidak pernah menggunakan khidmat pemandu.

Sekali lagi Khayla diterjah resah. Dia tidak dapat mengagak perasaan Danish sekarang. Adakah lelaki itu sememangnya seorang yang garang dan dingin? Tiada lagi sepatah perkataan yang keluar daripada mulut Danish walaupun mereka sudahpun berada di pejabat.

Khayla melangut di depan meja kerjanya. Dia tidak tahu hendak bermula daripada mana. Fail-fail yang bertimbun itu perlu diteliti. Namun, mindanya masih lagi berselirat dan berserabut. Dia tidak dapat memberi tumpuan sedangkan otaknya masih memikirkan tentang lelaki di dalam bilik CEO itu.

SEPARUH CINTA SEPARUH DENDAM (READY STOCK)Where stories live. Discover now