BAB 5

2.4K 71 6
                                    

DESIRAN ombak di pesisir pantai begitu mendamaikan jiwa. Sekawan burung camar yang bertenggek di batu-batuan menarik perhatiannya. Kemudian perhatiannya terarah ke arah seekor helang laut yang terbang melayah tinggi di langit biru. Dia terpegun dengan kecantikan burung helang yang terbang bebas di udara itu. Alangkah bagusnya kalau hidupnya juga boleh sebebas burung helang laut itu. Hidup bebas tanpa kekangan sesiapa. Tanpa tanggungjawab yang memberat di bahunya.

Danish menarik nafas dalam sambil mendepakan tangannya. Dia membiarkan bayu yang berpuput lembut itu terus menyapa mukanya. Langit biru serta lautan yang terbentang luas di depan matanya berjaya membuatkan fikirannya kembali lapang. Ini adalah hari ketiga dia lari dari hiruk pikuk kota raya. Jauh daripada gangguan nenda dan juga orang di sekelilingnya. Keputusannya untuk menyendiri di Pulau Sipadan mencari ketenangan diri membuahkan hasil.

Terasa malas pula untuk pulang ke rumah. Tiada mood juga untuk ke pejabat. Buat pertama kali di dalam hidupnya, Danish mendengar bisikan hati sendiri. Sebelum ini, dia amat menurut kata nenda. Jika A yang nenda kata, maka A jugalah tindak tanduknya. Peristiwa Damia bermain kayu tiga di belakangnya berjaya membuka matanya luas-luas terhadap dunia di sekelilingnya itu. Selama mana lagi dia akan membiarkan nenda mengatur urusan hidupnya? Sanggupkah dia memperjudikan nasibnya sendiri?

***

LAIN pula ceritanya di Kuala Lumpur. Anisah sudah tidak senang duduk dek kerana tindakan cucu kesayangannya itu. Sudah tiga hari Danish menghilang tanpa khabar berita. Puas sudah dia cuba menjejaki Danish setelah cucunya itu tidak membawa telefon pintarnya itu.

Mindanya berputar ligat untuk mencari jalan penyelesaian bagi menjejaki tindak tanduk cucunya itu. Dia bimbang andai Danish akanbertindak di luar jangkaannya. Segera dia meminta Bushra, orang kanannya untuk mempercepatkan jadual temuduga dengan bakal P.A yang akan ditugaskan di bawah Danish. Entah kenapa cucunya itu sering saja memecat P.A yang dilantik olehnya. Mungkinkah cucunya itu sudah mengetahui bahawa P.A yang dilantik itu adalah mata-mata yang dipasang olehnya? Anisah semakin resah. Dia mengurut pelipis akibat pening kepala memikirkan masalah cucunya itu. Hasratnya untuk melihat cucunya itu berumah tangga tidak kesampaian. Nampak gayanya lambat lagilah dia dapat menimang cicit. Nak harapkan Zayyad, cucunya yang sebaya dengan Danish itu jauh panggang daripada api. Si Zayyad itu memang terkenal dengan sikap nakalnya. Dia tidak dapat mengawal Zayyad seperti mana dia mengawal Danish. Maklumlah si Zayyad itu masih ada ibu bapa. Manakala Danish itu dibesarkan sejak kecil olehnya.

Dia mencapai telefon dan mula menghubungi Bushra. "Bushra, boleh percepatkan interview dengan calon P.A yang kita terpaksa tunda hari tu?"

"Boleh nenda. Bila nenda nak jumpa?" Dia tersenyum nipis mendengar jawapan orang kanannya itu.

"Hmm...pagi esok? Pukul 10. Office nenda." Anisah memberi arahan ringkas sebelum mematikan talian. Dia menghela nafas berat cuba melepaskan keresahan yang berhimpun di dadanya itu.

***

"YES!!!" Khayla melonjak gembira bangun berdiri dari kerusi kerjanya itu. Dia menggenggam kedua tangan kemas sebagai tanda meraikan kejayaannya untuk melangkah satu tapak ke hadapan. Misi penting di dalam hidupnya untuk menegakkan keadilan untuk kakaknya itu bakal terlaksana. Tak sia-sia dia berusaha mendekati Bushra beberapa bulan lepas.

Bebola matanya kembali terarah ke arah skrin komputer riba yang memaparkan email yang dihantar oleh Bushra agar dia datang untuk temuduga di pejabat Tengku Anisah, nenek kepada satu-satunya lelaki yang dicarinya sejak beberapa tahun lepas itu.

SEPARUH CINTA SEPARUH DENDAM (READY STOCK)Where stories live. Discover now