BAB 15

2.1K 57 7
                                    

            

    


TALI leher dililit ke leher. Beberapa kali memutar ke atas, bawah, kiri dan kanan, dia masih gagal membentuk simpulan yang dikehendaki. Di saat itulah dia mula teringatkan nenda. Kebiasaannya nenda yang akan membantunya menyimpul tali leher sejak dari sekolah rendah lagi.

            Dia mengecilkan mata dan menjuihkan sedikit bibirnya, cuba memintal tali leher berwarna merah pekat itu sebaik mungkin. Masih ditakuk lama. Dia mengeluh resah. Sudah beberapa minit dia menghabiskan masa mengikat tali leher itu, tapi dia masih gagal.

            "Nenda!" Dia terjerit kecil memanggil nama nendanya. Namun, suasana sunyi sepi. Dia mengangkat wajah memandang sekelilingnya. Bilik tidur di kediaman yang baru didiaminya sejak beberapa hari lepas itu terasa kosong. Seperti mana jiwanya yang terasa hambar itu. Sekeping hatinya mula rindukan kehadiran nenda dan juga Mak Uda.

            Huh! Dia menggeleng kasar. Kembali fokus memintal tali leher yang dirasakan satu cabaran besar di dalam hidupnya itu. Memang dia sering keliru, terutamanya sewaktu mengikat tali leher atau pun tali kasut. Tugas kecil buat orang lain itu adalah tugas besar buatnya. Entah kenapa, sedari kecil dia rasakan perkara itu cukup sukar untuknya. Puas mencuba, barulah terbentuk simpulan yang dikehendakinya. Dia menarik nafas panjang.

            Jarum jam di tangan dikerling sekilas. Dia sekali lagi membetulkan ikatan tali lehernya sebelum mencapai blazer hitam yang tersadai di atas katil. Beg bimbit yang berisi dokumen penting juga turut dijinjing dengan tangan kiri. Kunci kereta yang diletak di atas meja bulat di ruang tamu diambil dengan tangan kanan. Dia melangkah keluar dari rumahnya dengan perasaan yang hambar.

            Terngiang-ngiang suara nenda semalam yang meleterinya kerana dia tidak pulang ke rumah nenda seperti yang dijanjikan. Ya, dia sengaja tidak pulang ke rumah nenda. Dia tahu, kalau dia pulang ke sana, sudah pasti nenda akan menyuruhnya tidur di rumah nenda. Sedangkan dia ingin berdikari dan seboleh mungkin ingin mengelak daripada terus dikongkong oleh nenda. Langkah kakinya yang berat itu diheret juga ke tempat parkir.

            Sewaktu dia memandu ke pejabat, ingatannya menerawang ke arah peristiwa yang terjadi petang semalam. Sekali lagi dia menghela nafas kasar. "Aku kasar sangat ke dengan Khayla tu?" Dia menyoal diri sendiri.

            Selepas dia menghempas pintu bilik kerjanya sekuat hati semalam, dia mula rasa serba salah. Wajah Khayla yang keruh serta sinar mata yang berkaca-kaca itu mengganggu perasaannya. Dia kembali menarik daun pintu dan menjengukkan mukanya ke luar. Kelihatan kelibat Khayla yang sedang berlari anak sambil menekup mulutnya.

Rasa bersalah memaksa Danish menghabiskan masa di pejabat sampai ke malam. Rasa kasihan pula membiarkan pembantunya itu bersendirian di pejabat pada waktu malam. Namun, setelah menahan lapar dan menunggu sampai pukul 9.30 malam, dia akhirnya mengarahkan Khayla pulang ke rumah. Si gadis itu kelihatan takut-takut sewaktu berdepan dengannya semalam.

"Huh! Apa aku nak buat ni? Semalam janji dengan nenda untuk beri peluang kepada budak tu..." Danish menggaru kepalanya yang tidak gatal. Setelah sampai di tempat parkir yang dikhaskan untuknya di Menara Kerjaya itu, dia memanjangkan kaki ke O'Briens. Di situ, dia membeli sandwich dan kopi. Satu untuknya dan satu lagi untuk Khayla. Dia ingin berdamai dengan pembantunya itu. Mungkin dengan sarapan pagi itu, dia dapat memulihkan keadaan yang tegang antara mereka berdua.

JAM di dinding menunjukkan angka 7.45 pagi. Kelihatan seorang tukang cuci sedang mengelap meja kerja di luar bilik tuan CEO. Manakala, si gadis melangkah masuk ke tempat kerja dengan azam yang penuh di dada. Dia akan membuktikan kemampuan dirinya kepada majikannya itu. Enggan membenarkan dirinya dipandang rendah oleh mana-mana lelaki terutama lelaki yang memandang remeh kemampuan dirinya itu.

SEPARUH CINTA SEPARUH DENDAM (READY STOCK)Where stories live. Discover now