BAB 12

2.1K 80 14
                                    



SUARA orang berbual, tertawa riang mengisi pendengaran. Deria rasanya pula dihujani rempah ratus. Rendang daging dikunyah lumat sebelum ditelan. Rasa rindunya membuak-buak ke kampung halaman. Teringatkan mak dan abah yang berada nun jauh di Malaysia. Dia menikmati juadah nasi berlauk rendang, ayam penyet, taugeh goreng dengan penuh berselera. Laju tangannya menyuap nasi ke mulut.

"Semangat kamu makan Ika."

"Uhuk, uhuk!" Teguran ibu saudaranya, Rohani menyebabkan Zulaikha tersedak.

"Nah, minum air ni." Jatuh kasihan melihat keadaan Zulaikha yang terbatuk-batuk itu, Rohani menghulurkan segelas air jus oren kepada anak saudaranya itu.

Gelas bertukar tangan. Zulaikha menyedut straw senafas saja, cuba menelan beberapa butir nasi yang tersangkut di kerongkongnya itu.

"Ish, auntie ni. Sakit tekak Ika kena sergah dengan auntie." Zulaikha mengurut lehernya dengan tangan kanan bagi mengurangkan rasa perit di kerongkongnya itu.

"Haha. Habis tu Ika yang selera sangat makan nasi dengan rendang sampai tak ingat dunia tu kenapa?"

Rohani tertawa geli hati melihat keletah gadis berambut perang bermata hazel itu. Memang si Zulaikha itu mewarisi kecantikan turun temurun ibunya, Hasyimah, kakak sulungnya itu. Datuk nenek moyang mereka bersusur galur Belanda, Bugis dan Melayu. Maka terhasillah warna mata cantik yang masih diwarisi mereka sekeluarga itu.

"Alah...auntie ni. Ika laparlah. Dah lama tak makan nasi padang ni. Tambah pulak rendang di Restoren Nelayan ni memang tip top, kena dengan selera Ika. Lajulah Ika pulun."

Zulaikha membela diri sambil mengacau air jus dengan straw. Gelas panjang yang asalnya penuh itu sudah tinggal separuh dihirup olehnya.

"Ika dah lama tak makan nasi padang atau Ika rindukan masakan mak Ika?" Rohani sengaja menduga isi hati insan kesayangannya itu.

Putaran penyedut minuman itu terhenti. Zulaikha tertunduk memandang nasi yang masih berbaki di dalam pinggan. Dia menggeleng sebelum menyambung suapan nasi yang tergendala sebentar tadi.

Rohani cukup mengerti perasaan gadis di depannya itu. Sejak Zulaikha datang ke bumi Melbourne, dia menjadi terlalu rapat dengan anak saudaranya itu. Segala resah di hati Zulaikha, dialah yang menjadi pendengar setia. Segala duka di hati anak muda itu, dia sudah dapat meneka. Sejak kejadian hitam itu, anak buahnya itu tidak pernah sekalipun bersungut untuk pulang ke bumi Malaysia.

"Kalau rindukan mak kamu, Ika baliklah jumpa dia."

Pujuk Rohani lembut. Dia sering saja pulang ke tanah air tercinta bersama suaminya Robert dan dua anak lelakinya, Noah dan Isaac sekurang-kurangnya setahun sekali. Tapi, rajuk Zulaikha itu terlalu lama. Luka yang terlalu dalam itu membuatkan si gadis lebih senang memulakan hidup baru jauh dari orang tuanya.

"Semasa auntie balik dua bulan lepas, mak kamu asyik pesan dengan auntie supaya bawa kamu balik kampung."

Nasi di dalam mulut mula rasa berpasir. Seleranya mula patah disapa pujukan ibu saudaranya itu. Dia meluruskan pandangan ke hadapan, memandang kosong wajah ibu saudaranya itu.

"Ika..."

Rohani mencapai tangan Zulaikha dan meramas lembut jemari runcing itu. Dia merenung penuh kasih wajah putih yang dirias cantik itu. Rambut ikal berwarna perang paras bahu itu amat sesuai dengan bentuk muka bujur telur itu.

SEPARUH CINTA SEPARUH DENDAM (READY STOCK)Where stories live. Discover now