BAB 18

1.3K 84 9
                                    

BAB 18

Usai solat maghrib, Danish menapak ke ruang kerjanya. Sempat lagi dia mengerling ke arah Khayla yang sedang tekun menekan kekunci komputer riba itu.

"Khayla, dah lewat ni. Kau dah solat maghrib?" Sengaja Danish menegur kerana sedari tadi dia perasan pembantunya itu tidak bergerak dari mejanya.

Tatkala mendengar suara garau Danish, Khayla segera mengangkat mukanya yang sudah berona merah jambu.

"Kau dah solat maghrib ke?" Danish mengulang soalannya buat kali kedua. Khayla menyimpul bibir sambil rona merah di pipinya semakin bertambah satu lapisan. Danish mengerutkan dahi tanda tidak faham dengan reaksi Khayla itu.

"Err...saya cuti bos." Rasa malu menyentak jantung Khayla.

"Oh..." Danish mengulum senyum, menyembunyikan rasa lucu yang hadir di dalam dirinya. Dia berlagak selamba dan meneruskan langkah ke biliknya. Comel pula reaksi si Khayla tadi. Danish menggeleng sambil menutup daun pintu bilik kerjanya. Dia kembali menumpukan perhatiannya ke arah dokumen penting yang perlu diteliti.

Selang sejam, perutnya sudah berkeroncong kelaparan. Dia mematikan komputer riba dan mula bangun meregangkan badannya. Dia mencapai beg bimbit dan melangkah santai keluar dari ruang kerjanya. Sewaktu dia menutup daun pintu, kelihatan si Khayla tertunduk-tunduk sedikit di kerusinya.

"Kau tak balik lagi, Khayla?" Usul Danish sambil berjalan merapati gadis itu.

Khayla tersentak mendengar suara Danish itu. Entah mengapa, setiap kali dia mendengar suara itu, darahnya gemuruh satu macam. Tangannya masih lagi menekan perutnya yang terasa sebu itu. Bergulung-gulung angin menyerang badannya.

"Kau sakit ke Khayla?" Suara Danish berubah cemas sewaktu melihat keadaan Khayla yang pucat lesi itu.

"Err...saya okey boss." Ujar Khayla, cuba menyembunyikan rasa sebu yang mencucuk-cucuk perutnya itu.

"Betul ni?"

"Ya..." Tak semena-mena, Khayla bangun dan berlari anak ke sinki di pantri. Rasa loya yang membuak-buak itu membuatkan dia rasa ingin memuntahkan seluruh isi perutnya keluar. Namun, tiada apa yang keluar.

Danish yang terperanjat dengan tindakan Khayla tadi segera merapati tubuh gadis itu. Kelihatan Khayla kembali menekan perutnya sambil sebelah tangannya lagi menutup mulut menahan loya.

"Betul ke kau okey ni?" Hampir saja tangan kekar Danish singgah di belakang badan Khayla, namun tergantung di udara setelah dia menyedari dia hanyalah majikan gadis itu. Bukannya ada talian yang menghalalkan mereka berdua. Lantas dia kembali menyimpan tangannya ke dalam poket seluar. Entah mengapa, sejak mengenali Khayla, sisi dirinya yang ingin menjaga dan melindungi seorang kaum hawa mula kembali terbit.

Khayla mengangguk perlahan. Air matanya sudah bertakung di kelopak mata, menahan perti asakan angin di seluruh tubuhnya itu. Nafasnya juga semakin sesak. Semakin pendek. Semakin susah untuk menghantar oksigen ke jantung.

"Jom, kita pergi klinik." Danish sudah tidak senang duduk memerhati keadaan Khayla yang jelas kelihatan tidak sihat itu.

Pada mulanya, Khayla ingin menolak. Tapi dia menukar fikiran setelah menyedari dia tidak boleh terlalu keras kepala. Nanti tak pasal-pasal, kena marah dengan Danish.

Si jejaka bergerak ke meja kerja Khayla dan mengambil tas tangan gadis itu lalu disangkut ke bahunya. Tersentuh hati Khayla melihat aksi majikannya itu. Kemudian, Danish menarik sebelah lengan Khayla yang masih terbongkok-bongkok menekan perutnya itu.

"Kau sakit perut ke? Gastrik?"

"Ha'ah. Terlupa nak bawak ubat gastrik saya."

Jawapan Khayla itu disambut dengan helaan nafas kasar oleh Danish. Dia masih lagi memegang lengan Khayla, memberi sokongan kepada gadis itu yang tampak amat lemah itu.

SEPARUH CINTA SEPARUH DENDAM (READY STOCK)Where stories live. Discover now