BAB 19

1.2K 55 3
                                    

           

BAB 19

Danish bercekak pinggang. Keluhan kasar berlari laju di celah bibirnya. Matanya  melilau melihat hasil kerja kontraktor yang tidak memuaskan itu. Projek hotel lima bintang di tengah-tengah kota raya itu mengalami kelewatan. Tarikh asal untuk projek itu dilancarkan terpaksa ditunda. Dia terpaksa membuat lawatan mengejut. Lagipun kos pembinaan mencanak naik. Huh! Memang nak kena pecat si Kadir ni! Buat kerja sambil lewa. Ketua pengurus projek dikutuk dalam diam. Rahangnya bergerak-gerak menahan diri daripada menjerit kepada pekerja-pekerjanya itu. 

"Macam mana orang kau buat kerja ni Bakar?"

"Err...boss, sub-contractor yang lama tu muflis. Jadi kita terpaksa tukar kontraktor baru." Bakar tergagap menjawab. Dadanya hampir pecah dipanah sorotan tajam milik Danish.

Sementara itu, Khayla menikus melihat air muka Danish yang tegang bagaikan singa lapar. Mutiara peluh kecil yang menitis di dahi Danish itu diperhati penuh minat. Lelaki itu tampak cukup maskulin walaupun muka tengah merah menahan marah. Kacak!

"Habis tu macam mana kau cari ganti ni? Kerja lagi teruk daripada sub-con dulu!" Suara Danish sudah meningkat satu oktaf. Getar amarahnya mengalir ke seluruh urat saraf. Dadanya berombak. Bengang!

"Boss... ni subcontractor yang Tengku Razin rekomen." Sekali lagi Bakar terpaksa menjawab dalam keadaan tertunduk, menikus di depan ketua syarikat itu. Dia tiada kuasa. Kadir itu orang kuat Tengku Razin!

"What? Jadi kau dengar cakap dia?" Danish bertempik marah. Bakar semakin kecut perut. Kenapa dia yang dipersalahkan?

"Tapi boss. Dia kan direktor. En. Kadir pun tak boleh buat apa-apa." Sengaja Bakar menyebut nama Kadir, ketuanya yang sepatutnya bertanggungjawab di atas keputusan yang dibuat itu. Dia hanya kuli. Bakar rasa tertindas. Dia cuma ikan bilis. Memang habis dibakar rentung kalau digoreng lama-lama. Dia mati kutu.

"Huh. Apalah yang orang tua tu nak. Tak habis-habis kacau projek aku."

Danish menggeleng sambil menghela nafas berat. Pening memikirkan campur tangan bapa saudaranya yang sering saja mengganggu kerjanya itu. Dia melangkah laju meninggalkan tapak projek yang baru lima puluh peratus siap itu.

Khayla dan Bakar hanya menuruti dari belakang. Biarpun tumit kasut tingginya itu sesekali tenggelam dalam tanah, Khayla tidak pernah berani merungut. Sedari tadi dia hanya menurut setiap langkah kaki Danish yang melawat setiap ceruk tapak projek yang amat sibuk itu. Sudah hampir satu jam dia terpaksa bertahan di bawah panas terik matahari. Habislah kulit mukanya kena selaran matahari nanti. Dia pun kurang pasti kenapa Danish mengheretnya bersama ke tapak projek. Usai mesyuarat dengan Tan Sri Nordin, Danish tiba-tiba tukar fikiran dan buat lawatan mengejut. Huru hara tapak projek gara-gara kehadiran CEO muda itu.

Belakang badan lelaki itu sudah lencun dibasahi peluh. Kemeja putih itu sudah melekat ke tubuh Danish dan menampakkan susuk belakang serta otot-otot belakangnya. Khayla menelan liur segan. Dia menarik nafas panjang. Getaran di dadanya semakin hebat. Sejak semalam dia bagaikan tergoda dengan lelaki itu. Wake up, Khayla. Dia lelaki jahat!

Laju langkah kaki tegap milik Danish bergerak meninggalkan Khayla dan Bakar. Dia perlukan ruang untuk menenangkan fikiran. Rimas. Dia membuka topi keselamatan dan mengepit di celah lengan. Hatinya membahang panas.

Ketika itu mereka sedang melalui rangka bangunan yang sudah naik lima tingkat itu. Tiba-tiba, Danish terlihat satu objek panjang sedang jatuh menjunam dari atas bangunan separa siap itu. Segera matanya menangkap susuk tubuh seorang lelaki separuh abad sedang memikul beberapa bongkah kayu berjalan ke depan. Danish panik. Jantungnya berhenti berdegup sesaat dua. Tanpa berfikir panjang, dia berlari laju menolak tubuh lelaki itu jauh daripada bahaya.

SEPARUH CINTA SEPARUH DENDAM (READY STOCK)Where stories live. Discover now