HUMAIRA Aulia melabuhkan kepalanya pada bantal di atas katil bersaiz king itu. Jam loceng di atas meja dikerling. Jarum jam sudah tepat menunjukkan pukul 10 malam tetapi kelopak mata masih sukar untuk ditutup. Humaira Aulia mengeluh perlahan sebelum meletakkan lengan kanannya di atas dahi.
Anak mata merenung kosong siling hotel. Dingin pada malam itu sedikit membuatkan Humaira Aulia tenang. Tetapi dia tetap tidak mengantuk! Agaknya dia terlalu penat bekerja seharian hari itu sehingga dia tidak mengantuk.
Pintu gelangsar yang tidak tertutup rapat itu membuatkan angin malam yang dingin itu meniup langsir merah yang menghiasi bilik mewah itu. Bulan pada malam itu bersinar terang ditemani bintang-bintang.
Humaira Aulia mula teringat akan Ian Cheah. Sudah seminggu dia tidak berbual dengan jejaka kacak itu. Bersua muka pun hanya sekali dua kerana lelaki kacukan itu terlalu sibuk menguruskan pembukaan hotelnya yang bakal dibuka di Perancis.
Humaira Aulia menghela nafas berat. Pagi tadi dia ada juga terserempak dengan Ian Cheah di kaunter penyambut tetamu. Niat mahu menegur jejaka kacak itu terbatal apabila melihat raut wajah penat dan tegang milik Ian Cheah. Maklumlah dia asyik berulang alik ke Perancis.
Humaira Aulia mengeluh lagi. Dia mengiring ke kanan sambil memeluk bantal peluk. Anak matanya memandang iPhone di atas meja kecil di sisi katil bersaiz king itu. iPhone itu adalah pemberian Ian Cheah kepadanya. Sudah puas dia tolak tetapi jejaka kacak itu tetap berkeras untuk memberikan juga telefon pintar itu kepadanya. Siap pakej mengajar cara-cara menggunakan telefon bimbit lagi.
Seketika kemudian, iPhone itu bernyala dan berkumandang lagu You Are The Reason.
Humaira Aulia berkerut sebentar sebelum mencapai iPhone dan direnung skrin besar itu dengan kelopak mata yang berkelip-kelip. Dipejam mata seketika sebelum dicelik kembali. Dicubit pipi kanannya.
Dia tidak bermimpikan? Anak matanya kembali memandang skrin iPhone yang masih bernyala.
Mr.Apek is calling...
Humaira Aulia menarik nafas sebelum menggesek ikon hijau untuk menjawab panggilan Ian Cheah. Skrin besar iPhone itu dibawa ke telinga. Menanti suara serak basah milik Ian Cheah berbunyi.
Namun sepi. Hanya bunyi deruan nafas yang sedikit kasar daripada si pemanggil sebelah sana.
Humaira Aulia menyelak selimut lalu ingin turun daripada katil besar itu. Disarung kasut Bunny putihnya yang comel sambil melangkah ke arah balkoni hotel. Dia menongkat lengan di besi penghadang balkoni sambil membiarkan angin malam menyapa wajahnya. Membuai rambut panjangnya.
"Maira." Suara itu. Suara yang dia.. Rindui?
Humaira Aulia mengukir senyuman nipis. "Ya, kenapa call malam-malam macam ni?"
Bunyi deheman dari sebelah sana juga. "Awak ada masalah ke?"
Humaira Aulia merenung bentangan langit yang bercahaya dengan kehadiran bulan dan bintang. Indah sekali.
Esakan kecil yang kedengaran di corong iPhone menyentakkan Humaira Aulia. Dia menajamkan pendengarannya sehingga berkerut-kerut keningnya.
Ian.. Ian menangis?
Humaira Aulia berdehem. "Encik Ian? Awak okey tak ni?"
Sedikit bergetar nada suara Humaira Aulia. Dia risau jika lelaki kacukan itu sedang mengalami masalah yang besar.
"I rasa I tak nak hidup lagi, Maira. I letih dengan semua ini. I nak bunuh diri,"
Terbuntang besar mata Humaira Aulia. Menggigil tangan kanannya yang memegang iPhone mendengar kata-kata Ian Cheah.
YOU ARE READING
Mr.Apek Limited Edition [EBOOK]
Romance💥VERSI TIDAK DIEDIT💥 💥AVAILABLE UNTIL BAB 25💥 Cinta itu sememangnya buta.Cinta itu satu perasaan yang sukar ditafsirkan dengan kata-kata..Sukar disampaikan dengan perbuatan..Hanya hati yang tahu apa itu cinta. Pertemuan Humaira Aulia,seorang gad...