Mahabbah Rindu 2

4.5K 331 103
                                    

🍃🍃

Sedang aku ralit menonton tv di ruang tamu sambil meriba Eiyad, daun pintu utama dikuak dari luar. Shahril muncul dengan wajah penatnya. Sebelah tangan merungkai tali leher yang seharian menjerut tengkuknya.

Tubuhnya direbahkan di atas sofa tanpa mengendahkan Eiyad seperti kebiasaan rutinnya setiap kali pulang dari kerja. Penat sangat agaknya.

"Baru balik, Aril?" Tegur mama yang muncul dari dapur menatang dulang berisi segelas susu dan beberapa keping biskut untuk hidangan minum petangku ketika dalam pantang. Beberapa hari lagi, cukuplah 44 hari aku menjalani fasa ini.

"Hmm.."

"Banyak kerja ke harini?" Soal mama lagi. Dulang tadi diletakkan di atas meja di hadapanku.

"Terima kasih, ma.." ucapku.

Shahril bangkit lalu duduk. Soalan mama hanya dijawab dengan anggukan.

"Dah, pergilah naik atas. Mandi. Rehat. Nanti dah siap makan malam, mama panggil.."

"Hmm..yalah.." jawabnya.

Mama berlalu kembali ke dapur. Shahril bangun. Langkahnya mampir ke arahku. Kemudian, dia menunduk mencium Eiyad yang masih berada di ribaku. Perbuatan Shahril membuatkan aku tersentak, kaku. Jarak kami terlalu dekat.

"Sorry, sayang. Daddy penat.." bisiknya sebelum menjarakkan tubuh lalu melangkah ke tingkat atas.

Aku menghela nafas yang panjang setelah Shahril pergi.

Daddy? Ini kali kedua aku dengar dia membahasakan dirinya daddy pada Eiyad. Ah, Aisha. Mungkin dia tidak mahu Eiyad terasa kehilangan seorang ayah. Dia cuma mahu memberikan kasih sayang sebagai seorang bapa. Eiyad juga darah dagingnya.

Malam itu, tengah malam Eiyad terjaga. Menangis. Agak lama sehingga aku buntu.

Tok! Tok!

"Boleh aku masuk?" Suara Shahril kedengaran. Aku hanya sempat menjawab ya.

Shahril masuk tetapi membiarkan pintu terbuka. Tidak mahu mengundang fitnah.

Aku yang sedang mengendong Eiyad dihampirinya.

"Kenapa ni?" Soal Shahril. Tangannya disuakan. Mengambil Eiyad dariku.

"Tak tahu. Dia tiba-tiba bangun, menangis.."

Shahril mendukung Eiyad. Cuba memujuk.

"Dah bagi susu?"

Aku angguk.

"Kembung perut kot.." telah Shahril.

"Tak tahulah. Mungkin juga.."

"Mana minyak telon?"

Aku mengambil minyak tersebut lalu diberikan kepada Shahril. Tubuh Eiyad dibaringkan di dalam babycot. Shahril menyelak baju anak kecil itu lalu disapu minyak telon dengan penuh kelembutan. Sambil itu, mulutnya terkumat-kamit membaca ayat yang dia tahu.

Booties Eiyad juga ditanggalkan. Urutan lembut di tapak kaki dan belakang betis Eiyad dilakukan penuh tertib. Tangisan Eiyad juga semakin reda. Mungkin kerana sudah selesa, Eiyad akhirnya terlena kembali.

SHORT STORY 🎬 Where stories live. Discover now