Setia Yang Terluka 3

3K 309 114
                                    

🌱🌱🌱

Teragak-agak kaki mahu melangkah ke aras tersebut. Kalau tak mengenangkan ini adalah urusan kerja, rasanya aku dah tak sanggup nak jejakkan kaki ke situ lagi.

Daun pintu pejabat itu, aku kuak perlahan. Kaki menapak masuk, mencari seraut wajah yang perlu aku temui untuk menyelesaikan tugas yang diberi. Sesaat dua, pandanganku terhenti pada figura seseorang yang sedang tekun menghadap laptop di atas meja.

Aku tarik nafas dalam-dalam sebelum dihembus perlahan.

Saat kaki berdiri di hadapan mejanya, aku terasa lembik. Sempat aku paut hujung sisi meja bagi mengimbangi tubuh.

Adha mengangkat wajah. Mata kami beradu.

Janggal. Itu yang aku rasakan ketika ini.

Adha berdehem. Mungkin juga berusaha mengusir rasa asing di antara kami.

"Ya, Qis?" Tegurnya.

Spontan, aku hulurkan fail yang entah bila aku peluk kemas. Pandangan Adha jatuh kepada objek yang sudah berada di tangannya sebelum kembali ke wajahku. Keningnya diangkat sedikit.

"Tuan Anas minta saya hantar laporan kewangan ni pada Encik Adha. Tuan Anas nak Encik Adha semak balik penyata.." jawabku perlahan, sedikit gugup.

Encik Adha. Pertama kali aku gunakan nama formal begitu di pejabat bila berdua dengan lelaki di hadapanku ini. Kebiasaannya aku bahasakan abang sahaja. Adha juga tidak kisah sebelum-sebelum ini.

Samada mata aku silap atau aku memang sempat menangkap reaksi terkejut Adha saat panggilan formal itu meluncur keluar dari mulutku. Namun, Adha lebih bijak dan pantas menyembunyikan ekspresinya.

"Oh, okay. Nanti abang semak. Thank you, Qis.."

Aku tak menjawab. Mataku hanya tertancap pada wajah Adha.

"Qis?" Tegurnya lagi.

Tersentak, aku cepat-cepat menggeleng. Melarikan pandangan dari melihatnya lagi. Aku tak kuat!

"Saya pergi dulu, encik.." balasku berbasa basi.

"Qis, sekejap.." Adha bersuara.

Dari ekor mataku, aku melihat lelaki itu bangun dari kerusinya lalu mendekati aku. Aku jarakkan sedikit ruang antara kami apabila menyedari Adha berdiri agak rapat.

"Ada apa-apa lagi ke, Encik Adha? Saya nak kena naik atas. Banyak kerja lagi nak kena buat.." dalihku.

"Qis macam mana? Sihat?" Soalnya, kedengaran prihatin.

"Macam yang encik tengok. Alhamdulillah, sihat je. Belum rasa nak mati lagi.." bidasku kasar. Aku sendiri terkejut dengan kelancangan mulut sendiri apatah lagi Adha. Jelas riak terkejut dan tersentaknya. Aku rasa bersalah tetapi entah kenapa aku tak rasa mahu meminta maaf.

"Qis, abang minta maaf.." Adha sebaliknya yang menuturkan ungkapan tersebut.

"Rasanya kita takda apa-apa urusan lagi. Saya minta diri dulu..." ujarku dan terus berlalu pergi.

Tidak terus kembali ke pejabat, aku ke toilet seperti biasa. Menghamburkan segala kesedihanku di situ. Entah bagaimana harus aku gambarkan perasaanku ketika ini. Sungguh, aku tak kuat!

SHORT STORY 🎬 Where stories live. Discover now