01 Hai, Mawar

10.4K 739 87
                                    

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Dengan nama Allah, aku menulis picisan karangan cerita. Semoga yang menulis dan yang membaca peroleh manfaat bersama.
.
.
.

Jatuhan hujan ke atap rumah kecil itu menarik minat kanak-kanak lelaki berkenaan untuk menjenguk ke luar tingkap. Bibirnya mengoyak senyuman riang. Nafas dalam ditarik panjang bagi menghirup udara lembap bercampur baur dengan aroma kebiasaan hari hujan.

Di luar sana ada pagar yang mengelilingi rumah. Tak dilupakan dua biji kereta yang diguna buat mengangkut dia ke sini. Indah juga jika ada tempat untuk berteduh apabila hujan. Walhal selama ini anak itu amat sukar buat mencari teduhan.

Anak mata hitamnya membulat disebalik redupan mata bundar. Terkelip-kelip dia mendagu di bingkai tingkap. Kerusi kecil tadi utuh menjadi pijakan.

Namun, tangisan seseorang mengganggu dia dari terus menikmati suasana senja.

Luth menjatuhkan pandangannya ke dalam ruang rumah itu kembali. Ini rumah yang baru dijejaknya tengah hari tadi. Orang-orang di sini nampak baik-baik sahaja. Siap beri dia makanan lagi hingga kenyang.

Hairan. Pelipis yang tidak gatal digaru.

Tiada sesiapa pun yang menangis. Kanak-kanak yang sebaya dengannya sedang bermain dengan permainan masing-masing.

Hati itu amat yakin yang didengari tadi adalah bukan imaginasi. Luth melangkah menuruni kerusi. Matanya meliar ke segenap ruang. Penuh teliti langkahannya. Setiap wajah diamati.

Sekali lagi esakan itu kedengaran. Terus dia melangkah ke penjuru ruang yang terdapat sebuah meja kopi panjang. Luth menjatuhkan lututnya lalu membongkokkan badan. Sukar untuk menceritakan perasaan takut kerana dia telah melihat pelbagai ragam manusia di lorong kota.

Sepasang mata bertaut. Luth tidak berganjak sedikit pun. Malah dia turut memencilkan diri ke bawah meja itu lalu berbaring di sebelah seorang kanak-kanak.

"Kenapa menangis?" bisik Luth. Kayu meja dipandang sepi.

"Tsk..."

"Kenapa?"

Langsung kanak-kanak perempuan di sebelahnya mendiamkan diri. Hati kecil itu takut untuk mengadukan apa-apa kepada siapa-siapa pun. Dia berganjak menjauhi Luth sedikit demi sedikit.

Luth menoleh ke kiri. Sukar untuk melihat wajah rakan baharunya di sebalik samar-samar cahaya senja. Namun, Luth yakin itu seorang kanak-kanak perempuan. Mata bulatnya menampung air mata yang banyak. Tanpa esakan pun, air mata si gadis mengalir dengan sendiri.

"Jangan menangis," pujuk Luth. Tangannya naik menyeka tangisan itu.

"Nama awak siapa?" Lembut sahaja Luth memujuk.

"Ma- Mawar." Akhirnya suara kecil rakannya kedengaran.

"Nama saya Luth. Umur saya tujuh. Awak?" Desiran bisikannya tidak kuat mana di bawah meja itu.

"Tak- Tahu-"

"Tak apa. Nanti kita tanya ibu."

Mata Mawar membulat. Dia menggeleng ketakutan.

Perubahan drastik Mawar apabila 'ibu' disebut menghairankan Luth pula. Kenapa Mawar begitu takut sedangkan rumah itu ibarat syurga buatnya? Baru jejak ke sini pagi tadi, dia telah dilayan bagaikan putera. Makanan pun boleh tahan sedap, ayam goreng pula tu. Selepas selesai makan boleh tidur bersama-sama rakan.

Semuanya berbeza jika nak dibandingkan dengan kehidupannya di lorong. Untuk mencari makanan sesedap ini perlu tunggu mana-mana badan bukan kerajaan memberi agihan sumbangan makanan. Bulan Ramadhan ialah bulan yang paling Luth suka kerana hampir setiap hari akan ada orang beri makanan kepadanya.

Kepala Mawar diusap Luth dengan sebuah senyuman. "Jangan takut. Semua orang baik dekat sini. Kalau dekat luar sana bahaya. Sini ada ramai orang untuk jaga Mawar."

"Tak," potong Mawar.

Kanak-kanak lelaki itu mengetap bibir. Dia menarik tangannya kembali lalu menoleh ke belakang. Masih dalam keadaan berbaring di bawah meja, matanya mengerling situasi di ruang tamu. Derapan tapak kaki seorang wanita dewasa menghampiri meja itu mendiamkan mereka berdua.

Mawar sudah terkelu. Dia menggenggam erat baju Luth disebelahnya. Peluh merinik ke seluruh ruas dahi.

"Luth?" panggil satu suara disusuli tangan yang cuba menarik lengan kanak-kanak lelaki itu.

Cepat-cepat Luth merangkak keluar kerana sedar Ibu rumah anak-anak yatim itu sedang menantinya.

"Kenapa duduk bawah meja?" soal Ibu.

Lirikan mata Luth yang tadi berada pada wajah Mawar beralih kepada sang Ibu. Dia sedikit berkerut kerana mula mempunyai perasaan syak wasangka.

"Takde apa." Luth menggeleng. Tubuh Mawar kekal di bawah meja, agak jauh untuk dilihat dari pandangan mata Ibu. Esakan Mawar pun telah didiamkan. Mungkin Ibu tidak sedar keberadaan Mawar di sebalik bayang-bayang.

"Luth pergi mandi dulu. Sekarang ni masa mandi. Nanti kita makan malam sama-sama," ujar Ibu.

"Ada makan malam?" Mata hitam Luth bersinar-sinar. Teruja sungguh dapat makan lagi.

"Ada. Dekat sini kita makan lima kali sehari. Luth suka?"

Laju Luth mengangguk. "Suka."

"Kalau ada apa-apa benda tak kena, Luth beri je tahu dekat ibu." Dengan penuh ramah Ibu membelai jiwa kanak-kanak terbiar itu. Jemarinya menyikat helaian rambut Luth yang tidak terurus.

Luth mula merelakan tangannya ditarik, langkahnya seiring dengan sang Ibu. Hati mahu mengajak Mawar untuk ikut sekali namun dia memilih untuk mendiamkan diri.

Kanak-kanak lain sedang diuruskan oleh dua orang gadis pengasuh. Ini masa mandi, bukan?

Nanti Luth boleh kembali ke bawah meja lagi selepas mandi untuk lihat Mawar. Jumpa lagi, Mawar.

Senyuman terbentuk. Giginya jarang. Tidak tahu adakah ini syurga yang telah menjemputnya. Baru semalam dia tidur di atas helaian surat khabar di hentian bas terbiar. Sesuailah untuk anak terbiar seperti dirinya.

Ini kisah Luth. Bukan Mahfuz.

Apa yang telah tertulis di Luh Mahfuz itu satu ketetapan, hanya Allah yang tahu di mana permulaan dan pengakhiran seorang manusia bernama Luth.

"Takpe ke Luth nak panggil 'ibu'?"

.

.
.
.
.

***
Selamat datang! Insya Allah saya kerjakan buku ni sebab saya baru habis exam. Alhamdulillah lulus semuanya. Terima kasih yg mendoakan.

vote x komen

komen sikit bab 1 kita. Pendek je sebab baru nak panaskan tangan.

LUTH MAHFUZ : JALAN TAUBAT ✓[C]Where stories live. Discover now