Dan jika Allah Ta'ala mahu menarik nikmat, sekelip mata pun boleh terjadi.Sehelai kain pelikat dibentang Mahfuz di ruang tamu rumah. Biliknya yang berselerak tidak pun dijejaki kerana di dalam sana masih terdapat kepingan gambar sendiri yang jijik pada pandangan mata. Kaki lelaki itu menapak ke atas bentangan kain dan mula mengangkat takbir. Seiring dengan itu, hati mengqasadkan niat solat fardhu subuh. Dia telah pastikan masuknya waktu subuh dengan melihat keadaan langit di luar sana. Jam dinding membantu menguatkan lagi keyakinan telah tiba waktu subuh.
17 Rukun solat dibuat tanpa satu pun tertinggal. Ada perbuatan sunat yang dilakukan untuk menambahkan lagi pahala solat. Turutan dilakukan dengan tertib lalu disudahi dengan ucapan salam kiri dan kanan.
Agak sukar untuk menerima kehidupan baharunya. Lama Mahfuz berfikir dan melihat ke sekeliling. Jawapan tidak juga dijumpai lalu dia memilih untuk duduk diam sahaja dan menunaikan ibadah yang wajib. Tidak kisah dia dalam jasad sesiapa pun, masih diri itu hamba Allah. Maka perlu ditunaikan tugas seorang hamba.
"Ya Allah, ampunkan dosa aku, dosa kedua ibu bapaku, dosa rakan-rakanku..." Tatkala ibu bapa disebutkan, yang terlintas ialah wajah walid dan ummi. Kemudian, wajah Arif pula berganti. Kedua-dua belah tangan kekal menadah doa dengan hati yang merundum sedih bersulam keliru.
" Aku tahu aku masih Mahfuz. Cuma yang berbeza ialah kehidupan yang sekarang ini. Engkau berikanlah aku jalan keluar dari kekusutan ini..." Disudahkan doa itu dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad.
Usai solatnya pada jam 6 pagi itu, Mahfuz kekal duduk di ruang tamu. Kain pelikat itu dilipatnya seumpama ridak lalu diletakkan pada bahu. Dia melabuhkan punggung di atas sofa yang ada.
Sejak tadi ada sepasang mata yang memerhati. Tidak berkelip Mawar melihat abangnya itu. Dia jadi ragu-ragu untuk menegur abangnya kerana ditakuti itu hanyalah satu lembaga yang menyerupai wajah Luth. Tubuh gadis itu tersorok di sebalik dinding, hanya sebahagian wajahnya kelihatan.
"Mawar?" tegur Mahfuz.
Mawar bertaut mata dengan lelaki itu.
"Dah solat?" Cepumas sungguh soalan Mahfuz.
Gadis itu pun keluar daripada tempat persembunyian. Dia memandang abangnya tepat di wajah. Lain macam pula soalan itu.
"Kenapa pandang macam tu?" Mahfuz mengerutkan keningnya. Si gadis terus melangkah mendekati Mahfuz lalu duduk bersimpuh di sebelah.
"Sejak bila abang solat ni?" soal Mawar. Dia meletakkan kekura tangan pada dahi abangnya.
"Solat kan wajib?" jawab Mahfuz dalam nada yang turut juga hairan.
"Abang dah nak mati ke? Tiba-tiba je solat ni..." Dahi abangnya tidak panas. Mawar mengecilkan mata memandang lelaki itu. Pelik bin ajaib sungguh. Baru hendak panaskan air di dapur, dia dikejutkan pula dengan si abang yang sedang solat subuh.
YOU ARE READING
LUTH MAHFUZ : JALAN TAUBAT ✓[C]
RomanceBOOK #4 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 Bismillah LUTH. Seorang lelaki yang diibaratkan budak jalanan sejak kecil. Membesar di setiap lorong bagi mencari sesuap nasi. Tiada kasih sayang ibu bapa. Larinya dari rumah anak yatim kerana satu trajedi. MA...