BOOK #4 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓
Bismillah
LUTH. Seorang lelaki yang diibaratkan budak jalanan sejak kecil. Membesar di setiap lorong bagi mencari sesuap nasi. Tiada kasih sayang ibu bapa. Larinya dari rumah anak yatim kerana satu trajedi.
MA...
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Kepala mahu diangkat namun tak sampai sesaat rasa sakit menyerang. Luth mengerang kesakitan tatkala belakang kepalanya disentuh. Dia kembali berbaring di atas bantal putih yang sejak tadi mengalas kepala dan batang lehernya.
Alangkah terkejutnya langit di luar sana telah menggelap. Dia bagaikan tidak percaya walhal siang baru terasa seminit yang lalu. Mata digosok sekali dua. Benar, hari sudah malam.
Bilik kosong itu diamati Luth dengan baik. Dia tidak dapat berfikir banyak kerana baru sedar daripada tidur yang lama. Anak matanya jatuh pula pada dompet di atas meja lampu berdekatan katil. Lantas Luth memeriksa segala yang ada dalam dompet itu. Nahas mahu menolong, wang terakhirnya habis dikebas. Yang tinggal hanyalah sekeping kad pengenalan biru dengan wajahnya.
"Aku dekat mana?" bisik Luth perlahan. Dipaksa juga tubuhnya yang masih lemah melangkah ke arah pintu. Malang sekali tombol pintu itu dikunci dari luar.
Silap benar jika mereka mahu kurung Luth dengan pintu sebegitu. Luth memegang kepalanya sambil sebelah tangan menyah kunci dengan mudah. Tombol itu dipulas lalu dia melangkah keluar bilik. Matanya tak sudah melilau ke kiri dan kanan. Tangan pula berpaut pada bingkai pintu kerana takut terjatuh. Kepala Luth masih sakit.
Ini bukan rumah dia.
"Luth?" Seorang wanita sentengah abad kaku di muka pintu yang bertentangan. Wajah bertelekung putih itu berjaya membuat Luth hilang segala kata.
"I-Ibu?"
"Ni ibu, Luth," balas Puan Dalila. Usai solat Maghrib niat di hati mahu memeriksa keadaan Luth. Tahu-tahu Luth terlebih dahulu telah bangkit.
"Ibu?" Luth mengatur langkah satu per satu. Anak mata tidak lepas melihat wajah tua itu. Segalanya sudah berkedut dan malah dia tidak lagi perlu mendongak bagi melihat wajah ini. Tanpa disedari matanya telah berkaca menyaksikan seorang insan yang pernah dianggap keluarga. Langkahnya berakhir apabila lutut mencium lantai. Dia mula menangis teresak-esak seperti anak kecil.
"Luth pergi mana selama ni?" soal Puan Dalila lembut. Tubuhnya diturunkan mengusap wajah itu. Dia tak mampu mengawal air mata daripada terus mengalir. Setitik demi setitik jatuh membasahi putih suci telekung solatnya.
Luth memegang tangan wanita itu. Dirapatkan kekura tangan itu ke dahinya. Tangisan tidak berlagu pecah. Sejujurnya dia merasakan tiada lagi guna untuk hidup sebegini. Makan dan tidur kemudian membuat dosa ke sana ke mari. Hati itu merasakan terlalu banyak kekosongan. Pernah Luth terfikir untuk membunuh dirinya sahaja apabila Mawar melangkah keluar rumah. Kehidupannya di sini sudah tiada erti.
"Jangan menangis, sayang," pujuk Puan Dalila. Sudah lama dia tidak menatap wajah si kecil ini. Rambut panjang separa bahu masih tidak berubah, Luth kekal menjadi anak kecil di matanya.
Luth menggeleng berkali-kali. "Ibu cari Luth?" soal pemuda itu. Egonya habis runtuh, air mata yang ditahan selama ini laju menuruni bagaikan air terjun. Nafas hangat saling menampar wajah maskulinnya. Dicium kekura tangan ibunya tak mahu lepas. Dengan tangan ini dia merasakan manisnya kasih sayang seorang ibu.